SPRM - Foto blogspot.com

KOTA KINABALU — Seorang pegawai kanan jabatan kerajaan negeri dan seorang pesara kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai meminta dan menerima rasuah berjumlah RM700,000.

Wang berkenaan dipercayai diperoleh daripada sebuah kilang sawit sebagai balasan melindungi aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan minyak sawit mentah setiap bulan kepada Kementerian Kewangan Sabah.

Sumber berkata, tindakan kedua-dua suspek menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan Sabah dan mereka ditahan ketika hadir di pejabat SPRM Sabah kira-kira jam 11 pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy, ketika dihubungi  mengesahkan tangkapan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Kedua-dua suspek ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu esok.

“Mungkin ada beberapa tangkapan susulan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.

Sumber asal — https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/05/956859/sprm-tahan-pegawai-kanan-pesara-kerajaan

— BebasNews

Leave a Reply