
SUDAH tiada Thailand, laluan sejak Kumpulan E juga jauh lebih mudah dan tiga kali Indonesia dibatalkan pengadil namun beregu lelaki sepak takraw negara masih gagal memanfaatkan peluang terhidang itu.
Noraizat Nordin (Afifuddin Razali) dan Aidil Aiman Azwawi kempunan pingat emas acara ini pada Sukan SEA Ke-31, Hanoi 2022 selepas finalnya selama sejam 42 minit di Gimnasium Hoang Mai, hari ini.
Mereka tumpas 17-21, 22-20, 23-25 kepada gandingan Saiful Rizal (Rusdi) dsn Hardiansyah Muliang untuk sekadar mengucupi pingat perak – mengulangi pencapaian Malaysia di Kuala Lumpur 2017.
Malaysia tidak menyertai beregu dalam Sukan SEA Filipina 2019 di Subic malah ketika acara tersebut diperkenalkan di negara kepulauan itu pada 2005, hanya meraih gangsa.

Difahamkan Indonesia mengurniakan 500 juta rupiah (RM150,432) kepada setiap seorang atlet yang merangkul pingat emas temasya serantau dwitahunan ini walaupun dalam sukan berpasukan seperti sepak takraw ini.
Terdahulu Malaysia mengatasi Filipina 21-18, 21-12 pada separuh akhir selain menumpaskan Kemboja 21-9, 21-12 untuk menjuarai Kumpulan E selepas turut menjinakkan Indonesia 21-19, 21-8, semalam.
Indonesia pula mengatasi Myanmar dalam satu lagi separuh akhir, 21-11, 21-17.
Esok hanya skuad wanita negara yang akan kembali beraksi bagi acara kuadran (berempat).
Ini juga peluang terakhir kita untuk mungkin mengintai sebutir lagi pingat biarpun diundi dengan kuasa utama Thailand dan Myanmar dalam Kumpulan D.
Setakat ini pencapaian tiga pingat perak termasuk regu berpasukan dan antara regu skuad lelaki sudah mengatasi sasaran awal, satu perak dan dua gangsa yang diletakkan jurulatih.
Kedua-duanya selepas tumpas kepada musuh tradisi yang juga kuasa utama, Thailand 0-3 dan 0-2 (18-21, 13-21) pada 13 Mei dan kelmarin.
Wanita kita pula telah mengumpul dua pingat gangsa dalam regu berpasukan dan antara regu, setakat ini.
Tiga tahun lalu di Subic, skuad lelaki membawa pulang dua perak regu berpasukan dan antara regu manakala skuad wanita meraih gangsa antara regu.
Kedudukan pingat beregu lelaki
Emas: Indonesia
Perak: MALAYSIA
Gangsa: Filipina & Myanmar
— BebasNews

[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.