Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR — Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) pada  dasarnya bersetuju dengan cadangan untuk melaksanakan dasar penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan tersebut dicapai semasa beliau mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu semalam.

“Namun ia perlu dibawa untuk perbincangan dengan Kabinet sebelum mengadakan sesi libat urus dengan parti-parti politik. Skop dasar bagi RUU baharu berkaitan pengawal seliaan sumbangan politik dipersetujui untuk dibentangkan di mesyuarat Kabinet.

“RUU ini penting kerana sehingga kini tiada undang-undang atau peraturan yang mengawal selia pembiayaan politik dan ia dapat mengelak risiko rasuah serta penyalahgunaan kuasa melibatkan ahli politik yang memberi impak negatif kepada imej negara dan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam masa yang sama katanya, mesyuarat itu turut membincangkan mengenai pengasingan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara.

Jelasnya lagi, mesyuarat turut bersetuju supaya kajian yang lebih mendalam dilakukan kerana ia melibatkan perlembagaan, undang-undang dan kewangan.

“Kerajaan sentiasa komited untuk menambah baik tadbir urus dan integriti dalam usaha memerangi rasuah di negara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa Pelan Tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance) akan diperkenalkan di semua agensi kerajaan termasuk badan berkanun kerajaan.

Jelasnya lagi, MyGovernance bertujuan meningkat dan memperkukuh keupayaan penyampaian perkhidmatan awam ke arah mencapai visi nasional serta menangani isu-isu kelemahan tadbir urus aspek kerajaan termasuk badan berkanun, berdasarkan empat prinsip tadbir urus baik iaitu ketelusan, akauntabiliti, kecekapan, dan keberkesanan.

“Satu jawatankuasa akan diwujudkan bagi pembangunan MyGovernance ini. Selaras dengan pembangunan tersebut, pengukuran tahap kualiti tadbir urus sesebuah institusi kerajaan akan dibuat melalui Malaysian Governance Index (MGI).

“Mesyuarat bersetuju dengan pembangunan MyGovernance dan mengesyorkan supaya kajian dan sesi libat urus dilaksanakan oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) melibatkan pelbagai pihak berkepentingan untuk dibincangkan dalam mesyuarat JKKMAR akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bahawa mesyuarat bersetuju dengan cadangan supaya Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) menjadi agensi berpusat bagi pengurusan harta disita dan dilucut hak.

Katanya, keperluan menjadikan NFCC sebagai sebuah agensi berpusat adalah amat penting dan perlu disegerakan ke arah usaha yang lebih berkesan bagi membanteras jenayah kewangan dan mengekang ketirisan hasil kerajaan.

“Sebanyak 26 daripada 53 akta berkaitan dengan dasar pengurusan harta yang disita dan dilucut perlu diberi keutamaan untuk dipinda bagi melaksanakan dasar tersebut.

“Dasar pengurusan harta yang disita dan dilucut hak ini akan membolehkan agensi penguatkuasa lebih fokus kepada pelaksanaan siasatan bagi kes-kes jenayah khususnya jenayah kewangan,” katanya. — BebasNews

Leave a Reply