Menjelang 22 Mei 2022, khidmat Zakaria Abdul Hamid sebagai Pengerusi FINAS bersama Ahli Perbadanan penggal 2020 -2022 akan berakhir.

PADA 22 Mei ini genaplah dua tahun Zakaria Abdul Hamid berkhidmat sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Dalam tempoh tersebut, Zakaria mendapat kerjasama daripada Ahli Perbadanan FINAS yang lain iaitu Datuk Norman Abdul Halim selaku Timbalan serta ahli-ahli lain iaitu Prof. Datuk Razak Mohaideen, Datuk Norhyati Mohd Ismail, Ku Mohamad Haris Ku Sulong, Lina Tan Suan Jeu dan Denes Kumar a/l Ragupathy.

Zakaria melahirkan rasa bangga kerana bersama-sama Ahli Perbadanan yang mewakili Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) dan Kementerian Kewangan telah sedaya upaya membantu warga industri ketika negara menghadapi ujian getir pandemik Covid-19 bermula tahun 2020.

Katanya, dalam tempoh sama, pihaknya telah menjalankan kajian bagi menyediakan Pelan Pemerkasaan dan Transformasi FINAS 2022-2024 dengan fokus menjadikan FINAS sebagai badan berkanun yang lebih proaktif dan profesional dengan sokongan padu K-KOM.

“Menyingkap bermulanya khidmat kami pada tahun 2020, pelbagai inisiatif bagi membantu penggiat industri perfileman yang terkesan dengan pandemik Covid-19 telah dilaksanakan FINAS.

“Program Pemulih, Program Prisma, Mikro Outreach dan Dana Pemasaran yang bernilai lebih RM70 juta bagi penghasilan 1,307 projek dengan hak harta intelek (IP) dimiliki penerbit konten berkenaan. FINAS telah berjaya mewujudkan lebih 60,000 peluang pekerjaan melalui program-program tersebut,” katanya.

Menghurai lanjut, Zakaria memberitahu, program FINAS Prihatin yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik telah menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM5 juta dalam bentuk bantuan kewangan dan barangan kepada lebih 1,500 warga industri yang memerlukan bantuan.

Sepanjang tempoh sebagai Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid amat mesra dengan pihak media dan warga industri perfileman,

Selain itu, katanya, FINAS juga berjaya memudahcara proses permohonan 25 unit kediaman untuk penggiat seni yang layak berserta kelengkapan perabut asas melalui Projek Perumahan Rakyat (PPR) kendalian Jabatan Perumahan, KPKT.

“Sememangnya besar cabaran kami berdepan dengan pelbagai masalah yang belum pernah berlaku dalam industri perfileman dan negara sebelum ini.

“Selain aktiviti-aktiviti kebajikan bagi kesejahteraan warga industri perfileman yang memerlukan bantuan, FINAS tidak pernah lupa objektif utama penubuhannya iaitu memacu perkembangan industri perfileman tanah air ke persada antarabangsa,” katanya.

Menerusi kenyataan akhbar tersebut, Zakaria dan Ahli Perbadanan tidak lupa jasa Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa kerana memberi peluang kepada mereka menyelesaikan tugasan dengan sebaik mungkin sehingga tamat tempoh lantikan masing-masing.

“Sepanjang dua tahun ini juga, FINAS telah mewujudkan Program MyCAP sebagai platform pengkalan data industri dan melancarkan Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif (SPPIK) untuk urusan perlesenan secara digital yang juga berfungsi sebagai sistem saringan bagi dana kendalian FINAS.

“Sejak Oktober 2021, Ahli Perbadanan turut membuat pemantauan dan sesi libat urus dengan semua pengarah dan ketua unit di FINAS dengan tujuan mengukuhkan dasar, peraturan dan kawalselia ekosistem.

“Selain itu, kami juga telah mentransformasikan sistem, perkhidmatan dan tadbirurus organisasi melalui dasar berpandukan data (data driven policy) dan teknologi digital serta dan meningkatkan daya saing, ekonomi dan produktiviti industri berteraskan pemerkasaan modal insan ke arah menjadi jaguh di peringkat global,” kata beliau.

Tambah Zakaria, sepanjang tempoh pelantikan mereka dan syor-syor yang termaktub di dalam Pelan Pemerkasaan dan Transformasi FINAS telah diluluskan melalui Mesyuarat Khas Ahli Perbadanan pada 10 Mei 2022.

Zakaria harap syor-syor dalam Pelan Pemerkasaan dan Transformasi FINAS dapat dijadikan rujukan dan panduan kepada Ahli Perbadanan baharu.

“Pastinya ia bakal dijadikan rujukan Ahli Perbadanan baharu yang bakal dilantik, juga panduan kepada pihak pengurusan FINAS untuk meneruskan kesinambungan pembangunan industri dan organisasi.

“Matlamat utama dokumen ini adalah sebagai landasan halatuju FINAS yang akan bertahan dan menjangkau tempoh perkhidmatan mana-mana individu,” katanya.

Mewakili Ahli Perbadanan FINAS 2020-2022, Zakaria tidak lupa mengucapkan selamat maju jaya kepada semua warga industri perfileman dan kakitangan FINAS.

Beliau berharap agar warga industri perfileman dan warga FINAS akan terus berganding bahu untuk menjadikan industri kreatif sebagai salah satu penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dalam masa yang terdekat ini.

Malah Zakaria, turut memberi penghargaan kepada rakan-rakan media yang terus memberi sokongan padu dalam tempoh perkhidmatannya bersama rakan-rakan. — BebasNews

Leave a Reply