Tengku Permaisuri Norashikin berdukacita kucing dianiayai individu tidak bertanggungjawab. FB: Selangor Royal Office

SHAH ALAM — Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa amat sedih dan dukacita susulan beberapa kejadian terbaharu yang membabitkan kezaliman terhadap haiwan-haiwan peliharaan dan terbiar.

Kenyataan Selangor Royal Office (SRO) menyatakan, baginda sangat kecewa kerana masih ada lagi insan yang tidak berperikemanusiaan dan tergamak berlaku kejam terhadap haiwan-haiwan secara terbuka.

“Baru-baru ini, media melaporkan kejadian berasingan melibatkan beberapa ekor kucing peliharaan dan terbiar yang ditemui mati dipercayai diracun oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Penaung Diraja Program Stray Free Selangor (SFS) di bawah kendalian Persatuan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor menggesa agar pihak berwajib melakukan siasatan sehingga pelakunya dapat dikenal pasti dan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Baginda juga menyarankan agar mana-mana ahli masyarakat yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian seumpamanya supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa,”jelas kenyataan Facebook SRO hari ini.

Jelas kenyataan Facebook itu, baginda ingin mengingatkan bahawa kezaliman terhadap haiwan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 772 iaitu Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Katanya lagi, Akta 772 memperuntukkan beberapa seksyen khusus bagi kesalahan-kesalahan tersebut, iaitu Seksyen 29 untuk penganiayaan haiwan, Seksyen 30 (pembunuhan haiwan), Seksyen 31 (pemberian racun).

“Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

“Baginda menyeru agar ahli masyarakat lebih prihatin, mempunyai perasaan belas kasihan dan terus menyemai sifat empati dan perikemanusiaan serta sayangkan haiwan peliharaan dan terbiar,”katanya.

Mengulas lanjut, baginda berharap kebajikan haiwan-haiwan ini sentiasa diberi perhatian terutamanya keperluan persekitaran yang sesuai, dilindungi daripada ancaman penyakit serta keperluan mempamerkan corak kelakuan semula jadi.

Dalam masa sama, Baginda terus menggesa masyarakat dan para sukarelawan penyelamat haiwan untuk mengkasi (neuter) kucing dan anjing terbiar agar haiwan ini tidak membiak dalam persekitaran yang tidak sesuai. — BebasNews

Leave a Reply