We were on a medical mission for spine surgery in Monterrey, México. Our team took care of more than 60 patients all over Mexico with a group of volunteers including doctors, nurses, admin team, and more…
Photo by Luis Melendez on Unsplash Gambar hiasan

KISAH doktor pelatih (houseman) dibuli dan menerima tekanan ketika menjalani latihan wajib sebelum disahkan sebagai pegawai perubatan (MO) sudah lama kedengaran. Tetapi umumnya ia berlalu begitu sahaja.

Namun peristiwa seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang (HPP) mati terjatuh dari tingkat 23 apartment sewanya di Jalan Datuk Keramat, pada 17 April lalu menyegarkan kisah buli ini.

Jika selama ini kisah ini dianggap biasa, insiden kali ini mendapat reaksi meluas. Ia bagai satu perpektif baharu dalam isu buli yang sebelum ini kurang mendapat perhatian walau pun sudah pernah disuarakan.

Walau pun polis masih menyiasat kejadian ini dan punca kematian belum disahkan, kematian doktor berkenaan turut dikaitkan dengan kemungkinan tekanan akibat buli di tempat kerja. Mangsa dikatakan pernah mengadu terbeban dengan tugas yang dipikul. Apa pun tunggu hasil siatan penuh.

Kerajaan negeri telah meminta pihak berkuasa melakukan sisatan terperinci mencari punca sebenar. Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Negeri, Dr. Norlela Ariffin, telah menghantar nama lima doktor di HPP yang didakwa mengamalkan budaya buli kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagaimana pun nama ini tiada kaitan dengan kes kematian doktor pelatih berkenaan memandangkan ia masih dalam siasatan.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, antara nama dalam senarai itu ialah doktor pakar. Sayang sekali doktor pakar yang sepatutnya menjadi pembimbing dan pelindung turut terlibat dalam kegiatan buruk tersebut.

Susulan itu, Kementerian Kesihatan menubuhkan satu pasukan petugas bebas bagi menyiasat kematian doktor pelatih itu. Pasukan itu juga berfungsi menyiasast budaya buli yang didakwa berlaku di hospital. Seelok-eloknya pasukan petugas ini turut mempunyai wakil doktor pelatih.

Dalam reaksi berhubung budaya buli ini, ada doktor yang pernah menjalani housemanship di Hospital Pulau Pinang sebelum ini menyifatkan budaya buli terhadap doktor pelatih di hospital tersebut adalah yang paling teruk di negara ini.

Kerana itu wajar sangat isu ini disiasat dan diatasi segera, bukan sahaja untuk HPP tetapi di mana-mana juga hospital seluruh negara.

Terdapat dakwaan doktor pelatih diherdik, dimaki, dipersenda dan dimarahi di hadapan pesakit dan kaki tangan lain termasuk jururawat. Perbuatan ini adalah tidak bertamadun dan menjatuhkan air muka. Malah ia boleh menyebabkan doktor pelatih dipandang rendah dan tidak dihormati. Dalam apa juga profesion, buli tidak boleh diterima sama sekali.

Buli bukan cara memberi latihan, sebaliknya memalukan. Apa ilmu yang boleh diperoleh dengan cara maki hamun, melainkan meletakkan taraf doktor pelatih ini seperti orang suruhan yang boleh disergah dan dilayan sesuka hati.

Ini belum termasuk laporan jadual tugas mereka yang padat dan ketat. Ada kala bekerja untuk tempuh waktu yang panjang tanpa waktu rehat mencukupi. Juga dilaporkan bekerja berterusan tanpa hari cuti sewajarnya.

Doktor pelatih adalah manusia biasa yang tahu letih, penat dan lelah. Jika diarah bertugas tanpa waktu rehat mencukupi, bagaimana mereka boleh memberi tumpuan kepada tugas? Bekerja dalam keadaan penat boleh memberi kesan negatif kepada diri sendiri dan pesakit.

Sering kali doktor pelatih tidak berani bersuara, apatah lagi membantah atau melawan doktor senior yang menjadi pengawas dan penilai. Ini kerana masa depan mereka banyak bergantung kepada doktor yang kononnya berperanan sebagai penunjuk ajar dalam latihan.

Bersuara atau membantah memberi risiko ke atas penilaian. Penilaian rendah dan tidak memuaskan mungkin menyebabkan tempuh latihan ditambah. Tidak mustahil doktor pelatih ini akan disenarai hitam dan terpaksa menempuh laluan yang lebih berduri selepas itu.

Kerana itu mereka hanya mendiamkan diri dan akur melaksanakan arahan, menyerap segala bentuk kemarahan, herdikan doktor senior. Harapan dan tumpuan mereka ialah latihan segera tamat dan disahkan sebagai pegawai perubatan.

Yang diharapkan oleh doktor pelatih ialah bimbingan dan tunjuk ajar dalam suasana kondusif. Setelah bertahun-tahun belajar dalam bidang perubatan, housemanship adalah medan latihan untuk mempraktikkan apa yang mereka pelajari selama ini.

Justeru mereka memerlukan bimbingan sewajarnya, bukan dibuli. Menjadi tugas doktor pengawas membantu dan menunjuk ajar agar doktor pelatih ini dapat menimba sebanyak mungkin ilmu yang perlu dalam perjalanan menjadi pegawai perubatan. Tidak mengapa menegur untuk kebaikan.

Tetapi jika sentiasa dibuli dan dibebani tugas tanpa rasa belas kasihan, itu bukan mendidik tetapi lebih untuk menyusahkan.

Mungkin doktor senior ini berpendapat mereka dahulu menempuh perkara sama. Jadi kali ini masa untuk balas dendam dan lakukan kepada orang lain.

Diharap dengan laporan yang diberi oleh kerajaan Pulau Pinang kepada Kementerian Kesihatan dengan disertai nama doktor pembuli, kementerian akan mengambil tindakan wajar dan pantas terhadap mereka yang terlibat.

Pada masa sama kementerian diharap meletakkan nokhtah bagi isu buli doktor ini walau di hospital mana sekali pun. Kita meletakkan kepercayaan dan harapan tinggi kepada Khairy Jamaluddin mencari penyelesaian tuntas.

Anggaplah ini satu permulaan positif yang mungkin membongkar lebih banyak kes lain di tempat lain. Kita tidak mahu kerana kejadian seperti ini, kerjaya kedoktoran yang dianggap berprestij bertukar menjadi kerjaya menakutkan sehingga mematahkan semangat pelajar untuk menjadi doktor. — BebasNews

 

 

 

 

 

Leave a Reply