V. RUVENTHIRAN daripada PJ City FC dan pemain Terengganu FC, Shahrul Nizam Ros Hasni diserapkan ke dalam skuad 30 pelatih Harimau Malaya bagi dua perlawanan persahabatan dan Kelayakan Piala Asia.
Mereka yang sebelumnya hanya dalam senarai bersedia, akan menggantikan pemain Negeri Sembilan FC, Khair Jefri Jones manakala Nizam dipanggil bagi menggenapkan senarai 30 pelatih ke kem bermula hari ini.
Khair terpaksa digugurkan selepas tercedera buku lali ketika perlawanan Liga Super 2022 bertemu Kedah Darul Aman FC, Selasa lalu, kata ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon.

“Senarai bersedia mulanya menamakan rakan sepasukan Nizam, Arif Fadzilah Abu Bakar sebagai pengganti Khair namun dia juga disahkan tercedera.
“Disebabkan itu, saya memilih untuk memanggil Ruventhiran,” jelas warga Korea Selatan itu dalam laman Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini.
Sebelum ini, Pan-gon menamakan 29 pemain namun kemunculan Nizam turut memberikannya peluang menguji dan menilai kemampuan benteng itu.
Harimau Malaya turun menjalani sesi latihan pertama di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor, petang tadi dengan mendapat kehadiran 30 pelatih.

Skuad Pan-gon bakal menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2022 Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Malaysia akan berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain, 11 Jun dan Bangladesh, 14 Jun.

Sebelum itu mereka bakal memanaskan badan dengan persahabatan tahap satu antarabangsa menentang Brunei pada 27 Mei dan Hong Kong, 1 Jun juga di Bukit Jalil.
— BebasNews

[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.