PARA pemimpin Astaf dan Istaf serta MSC bergambar dengan pegawai-pegawai teknikal serta sukarelawan sepak takraw Sukan SEA Ke-31, Hanoi 2022 di Gimnasium Hoang Mai.

ACARA baharu campuran sepak takraw ditetapkan dengan seorang pemain lelaki dan dua pemain wanita bagi antara regu manakala jantina dua pemain simpanannya bergantung kepada pemilihan atau strategi jurulatih.

Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Abdul Halim Kader berkata, ‘servis sulung’ menerusi dua acara campuran iaitu beregu dan kuadran bakal dapat disaksikan dalam Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke-35 di Bangkok dari 23 hingga 31 Julai ini.

“Bagi acara antara regu campuran, pemain lelaki dan wanita juga bebas bermain di posisi pilihan masing-masing sama ada tekong atau apit kanan perejam atau apit kiri pengumpan.

“Juga tiada batasan atau larangan tertentu untuk sesiapa pun dalam melakukan rejaman, tampanan dan servis bagi acara-acara campuran ini.

ABDUL HALIM KADER

“Hanya pertukaran pemain acara campuran yang dihadkan kepada sesama jantina, tidak boleh jika berlainan,” katanya di Gimnasium Hoang Mai, Hanoi, Vietnam sempena Sukan SEA Ke-31.

Walau bagaimanapun Jawatankuasa Teknikal Istaf yang dipengerusikan Timbalan Presiden Istaf, Boonchai Lorhpipat membuat sedikit pindaan pada undang-undang permainan sepak takraw antarabangsa berhubung peralatan yang digunakan bagi acara baharu ini.

“Bola sepak takraw dalam acara ini mestilah yang digunakan kategori wanita iaitu 160 gram namun paras ketinggian jaring yang direntang ialah seperti kategori lelaki, 1.55 meter di tiang dan 1.52m di tengahnya,” katanya.

Bagi keanggotaan acara kuadran Istaf kata Halim, menetapkan dua pemain lelaki dan dua pemain wanita di gelanggang manakala dua simpanannya mestilah terdiri daripada kedua-dua jantina.

Ujarnya, bagi beregu campuran, seorang pemain lelaki dan seorang pemain wanita diwajibkan di dalam gelanggang manakala dua pemain simpanannya, mestilah daripada kedua-dua jantina itu sebagai langkah berjaga-jaga jika kecederaan.

ABDUL Halim Kader (dua dari kiri) mengalu-alukan kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Presiden Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC), Datuk Indera Suhaili Abdul Rahman ke Gimnasium Hoang Mai, Hanoi – venue sepak takraw Sukan SEA Ke-31, 2022.

“Setiap negara peserta hanya layak menyertai satu daripada dua acara campuran yang dipertandingkan dalam Piala Raja Thailand iaitu sama ada beregu campuran atau kuadran campuran,” kata Halim yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

Bagi regu berpasukan campuran katanya, setiap regu mesti mengandungi seorang pemain lelaki dan dua pemain wanita sementara jurulatih mereka boleh menetapkan mana-mana jantina bagi kuota tiga simpanannya.

“Setiap negara peserta wajib mendaftarkan sembilan pemain (menurut keanggotaan antara regu campuran itu) dan maksimumnya termasuk simpanan, 12 pemain.

“Setiap pemain regu berpasukan campuran ini hanya boleh bermain dalam sesebuah regu dan setiap regu dibenarkan membuat dua penggantian pemain tetapi yang telah ditukar, tidak boleh lagi bermain regu berikutnya,” katanya.

Regu berpasukan campuran akan membuat penampilan sulungnya dalam Sukan Dalam Dewan dan Seni Tempur Asia Keenam pada 17 hingga 26 November 2023 di Bangkok dan Chonburi.

Sepuluh lagi acara atau pingat emas sepak takraw yang dipertandingkan di sana ialah regu berpasukan lelaki, regu berpasukan wanita, beregu campuran dan beregu campuran berpasukan.

Lain-lain termasuk antara regu campuran, kuadran campuran, kuadran campuran berpasukan, gelung lelaki, gelung wanita dan gelung campuran. — BebasNews

Leave a Reply