Kuala Lumpur — Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan harapan yang tinggi agar kerjasama antara negara-negara Asean dapat dirancang dengan lebih rapi dan sistematik supaya Bahasa Melayu kembali dijadikan ‘lingua franca’.

Menurut Perdana Menteri, kerjasama tersebut merangkumi aspek penyelidikan, penerbitan dan pemupukan Bahasa Melayu.

“Bahasa Melayu memiliki keunikan dan kelebihan tersendiri khususnya dalam kalangan negara Asean dan ia diyakini boleh dijadikan salah satu bahasa rasmi Asean,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini.

Ismail Sabri berkata, di peringkat Asean penyatuan sistem ejaan Rumi dan peristilahan telah tercapai melalui forum kerjasama seperti Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA).

Sejajar dengan itu katanya, Bahasa Melayu perlu dimartabatkan dalam negara, termasuk meminda Akta DBP 1959 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan pengunaan bahasa berkenaan.

Mengulas lanjut beliau menegaskan, peranan dan tanggungjawab DBP sebagai badan perancangan bahasa, sastera dan penerbitan negara perlu diperincikan dengan lebih jelas supaya pelaksanaan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan dan undang-undang lain yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan lebih berkesan.

“Usaha sewajarnya juga perlu dilakukan untuk memperluaskan pengajaran dan penggunaan Bahasa Melayu di institusi pendidikan tinggi di negara ini.

“Malaysia dan rakyatnya sepatutnya mempunyai jati diri dan membuktikan bahawa mendaulatkan Bahasa Melayu tidak mengekang kemajuan negara kerana banyak negara yang mencapai status negara maju dengan mendaulatkan bahasa sendiri,”katanya.

Harapannya, seluruh Keluarga Malaysia terutamanya penjawat awam memberikan komitmen untuk melaksanakan usaha memartabatkan bahasa berkenaan. — BebasNews

Leave a Reply