KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan pentingnya semua sektor menggunakan Bahasa Melayu dengan seluas-luasnya.

Menurutnya, ia disebabkan Bahasa Melayu adalah bahasa urusan rasmi kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Awam.

“Perluasan penggunaan Bahasa Melayu perlu dilaksanakan di semua jabatan dan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta.

“Jadikanlah peribahasa “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung” sebagai pegangan kerana cara itu barulah Bahasa Melayu benar-benar boleh dijadikan alat perpaduan negara,” katanya.

Ismail Sabri berkata, beliau juga memaklumkan usaha mengantarabangsakan Bahasa Melayu di persada dunia sudah menjadi dasar kerajaan, dan ia antara bidang keutamaan kerangka Dasar Luar Negeri Malaysia yang dilancarkan pada 7 Disember tahun lalu, iaitu diplomasi kebudayaan.

Jelasnya lagi, ketika sidang kemuncak khas Asean-Amerika Syarikat di Washington baru-baru ini beliau juga bercakap dalam bahasa kebangsaan termasuk pada sesi rundingan dua hala dengan negara lain pada sidang itu.

“Semua surat yang dihantar kepada pemimpin dunia juga dalam bahasa kebangsaan, dengan terjemahan Bahasa Inggeris,”katanya.

Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang bermula hari ini hingga 24 Mei adalah kerjasama antara Pejabat Perdana Menteri dengan DBP serta Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Simposium itu membabitkan tiga Ucap Utama, 15 Sidang membabitkan pembentangan kertas kerja oleh 60 tokoh dari Malaysia, negara ASEAN dan antarabangsa serta dua forum membabitkan 12 tokoh. — BebasNews

Leave a Reply