chicken, poultry, free running
Photo by Alexas_Fotos on Pixabay Gambar hiasan.

KABINET hari ini memutuskan untuk menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan mulai 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil dengan memberikan keutamaan kepada rakyat negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu merupakan antara lima langkah jangka pendek dalam menangani isu bekalan dan harga ayam yang berlaku sekarang.

“(Langkah) kedua, mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan agensi;

“Ketiga, memansuhkan Permit Kelulusan (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam bagi meningkatkan peluang penglibatan pengimport untuk menyediakan lebih banyak sumber bekalan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Susulan pengumuman sebelum ini berkaitan pemansuhan AP bahan makanan katanya, Kabinet hari ini juga bersetuju supaya AP gandum dibatalkan.

“Semua kementerian juga diminta menyenaraikan AP bagi barangan lain yang boleh dimansuhkan untuk menjaga kepentingan pengguna Keluarga Malaysia,” katanya.

Langkah seterusnya kata Ismail ialah mempermudah proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam dan menambah serta mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam.

“Kerajaan mengambil berat dan memandang serius isu peningkatan harga dan bekalan ayam semasa yang menghimpit seluruh Keluarga Malaysia,” katanya.

Kerajaan tegas Ismail turut kesal dan kecewa terhadap tindakan beberapa syarikat yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran.

Kerajaan katanya, telah menetapkan harga siling ayam standard pada RM8.90 seekor dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu.

“Walau bagaimanapun kerajaan mendapati beberapa syarikat besar tidak berminat memohon subsidi dan mahukan kerajaan membiarkan harga ayam ditentukan sendiri oleh pasaran. Setakat ini, hanya RM50 juta subsidi telah dibayar kepada penternak yang kebanyakannya syarikat kecil,” jelas beliau.

Selain itu kerajaan menurut Ismail, sedar terdapat laporan bahawa wujudnya kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar.

“Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat perkara ini dan siasatan dijangka selesai Jun ini. Jika didapati wujud kesepakatan kartel tersebut, kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka,” katanya.

Peguam Negara kata beliau, juga dipanggil pada mesyuarat Kabinet hari ini dan telah memberikan nasihat agar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dikuatkuasakan jika terdapat sebarang aktiviti menyorok, menyimpan atau unsur-unsur sabotaj terhadap bekalan ayam.

“Tindakan boleh diambil di bawah akta tersebut dan lesen mereka juga boleh dibatalkan serta-merta. Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-ehwal Pengguna (KPDNHEP) diminta memantau, memeriksa dan mengambil tindakan tegas.

“Mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974 ) akan menghadapi tindakan seperti,
i. Individu – didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun (atau kedua-duanya sekali);
ii. Perbadanan/syarikat – didenda tidak melebihi RM2 juta.”

Tegas Ismail, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjejaskan kehidupan rakyat selain akan mengurangkan peranan orang tengah yang selama ini memanipulasi bekalan dan harga.

“Kerajaan akan memperkenalkan semula ‘Jihad Memerangi Orang Tengah’ seperti pada 2014. Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diberikan peranan untuk mengetuai jihad ini,” katanya yang pernah menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dari 2013 hingga 2015.

Mesyuarat Kabinet juga menerima beberapa pandangan daripada ahli Jemaah Menteri berkaitan penanaman jagung dan hampas isirung kelapa sawit (PKC) untuk menjadi alternatif kepada makanan ayam, ujarnya.

Kabinet juga bersetuju meminta kerjasama kerajaan negeri, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menyediakan tanah Lesen Kependudukan Sementara (TOL) bagi jangka masa panjang, tambahnya.

“MAFI dan KPDNHEP juga diminta membentangkan pelan-pelan tersebut dalam masa terdekat bagi projek penanaman jagung, PKC dan sebagainya. GLC, agensi-agensi kerajaan, pertubuhan-pertubuhan peladang dan koperasi juga digalakkan untuk terlibat dalam penternakan ayam.

“Kerajaan akan mengkaji bantuan kepada mereka yang terlibat yang merupakan sebahagian pelan jangka sederhana dan jangka panjang yang akan dirangka MAFI dan KPDNHEP,” kata beliau.

Beliau juga memohon agar Keluarga Malaysia menyokong tindakan kerajaan ini demi menjaga kepentingan mereka yang terhimpit dengan peningkatan harga dan kos sara hidup serta kekurangan bekalan.

Kenyataan media — FINAL KENYATAAN MEDIA BEKALAN AYAM

— BebasNews

Leave a Reply