Fumio Kishida - Foto Wikipedia.

PUTRAJAYA — Lawatan kerja rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Jepun bermula hari ini hingga 28 Mei sebagai satu kepentingan hubungan dua hala antara negara ini dan Jepun.

Menerusi kenyataan Kementerian Luar, Perdana Menteri dijadual bertemu dengan rakan sejawat beliau, Fumio Kishida yang merupakan pertemuan bersemuka pertama antara kedua-dua pemimpin sejak menyandang jawatan pada tahun lalu.

“Pertemuan itu memberi peluang kepada kedua-dua pihak membincangkan inisiatif dalam memperkukuh hubungan antara Malaysia-Jepun yang lama terjalin serta kerjasama dalam pelbagai bidang.

“Antara perkara-perkara utama yang akan dibincangkan termasuk memperingati Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT), pengukuhan hubungan antara rakyat dan kerjasama pasca Covid-19.Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai kepentingan ketenteraman antarabangsa dan kestabilan serantau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wisma Putra memaklumkan, Malaysia dan Jepun akan memuktamadkan Memorandum Kerjasama dalam tiga bidang melibatkan industri pesawat, pekerja mahir serta belia dan sukan.

Dalam masa sama, Perdana Menteri juga dijadualkan bertemu dengan wakil-wakil komuniti perniagaan di Tokyo, selain meraikan Sambutan Hari Raya Keluarga Malaysia bersama diaspora rakyat Malaysia di negara itu.

“Perdana Menteri juga akan menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-27 mengenai Masa Depan Asia di atas jemputan daripada Nikkei Inc. yang merupakan perhimpunan tahunan pemimpin-pemimpin politik, ekonomi dan industri dari rantau Asia Pasifik.

“Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama dengan tema ‘Redefining Asia’s role in a divided world’.Penyertaan Perdana Menteri di Persidangan Nikkei ke-27 ini akan menjadi platform untuk Malaysia berkongsi idea serta melibatkan diri dalam pelbagai inisiatif yang bertujuan mengembangkan kerjasama ekonomi yang lebih erat antara negara di rantau ini,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Luar menjelaskan, lawatan itu mencerminkan kepentingan hubungan dua hala Malaysia-Jepun, selaras dengan sambutan memperingati ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik dan ke-40 DPT yang disambut pada tahun ini.

Pada tahun lalu, Jepun merupakan rakan dagang ke-4 terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan bernilai RM149 bilion (USD36 bilion).

“Sehingga tahun 2021, Jepun adalah pelabur asing ke-3 terbesar di Malaysia dalam sektor pembuatan bagi projek-projek yang dilaksanakan berjumlah RM90.9 bilion (USD27.6 bilion),” katanya. — BebasNews

Leave a Reply