Mumtaz dan Rajesh Khanna dalam 'Do Raaste' keluaran 1969. Kredit- Facebook

APABILA aktres jelita Mumtaz, 75, mendirikan rumah tangga dan mengucapkan selamat tinggal kepada dunia lakonan pada 1974, bukan sahaja peminat merindui, tetapi pengundurannya amat dirasai oleh aktor superstar, mendiang Rajesh Khanna.

Ini kerana mereka merupakan pasangan yang sangat serasi di layar perak dan rakan baik di luar filem. Mereka telah membintangi sekurang-kurangnya 10 buah filem bersama sebagai hero dan heroin, kebanyakannya filem pecah panggung.

Antara filem tersebut ialah Do Raaste, Dushman, Apna Desh, Aap Ki Kasam, Prem Kahani, Sachaa Jhutaha, Roti, Aina, dan Bandhan. Kerana itu bagi Rajesh, ketiadaan Mumtaz seumpama dia kehilangan tangan kanan dalam kariernya.

Untuk rekod, Mumtaz yang pernah digosipkan bercinta dengan Jeetendra berkahwin dengan ahli perniagaan, Mayur Madhvani pada 1974. Rajesh Khanna yang berkahwin dengan Dimple Kapadia pada Mac 1973 meninggal dunia pada 18 Julai 2012.

Salah seorang anak Mumtaz, Natasha Madhvani berkahwin dengan aktor Fardeen Khan, anak aktor Feroz Khan. Feroz Khan ialah produser dan pengarah Qurbani, filem blockbuster yang turut dibintangi oleh Zeenat Aman, Vinod Khanna dan Amjad Khan.

Nama Mumtaz mula terkenal setelah membintangi filem Brahmachari bersama Shammi Kapoor sebagai pelakon pembantu. Heroin filem itu ialah Rajshree. Lagu latar ‘Aaj Kal Tere Mere Pyar Ke’ yang dinyanyikan secara duet dengan Shammi (suara asal Mohamad Rafi dan Lata Mangeshkar) dianggap lagu hit istimewa bagi seorang pelakon pembantu.

Mumtaz dahulu ( kiri) dan kini.
Kredit- India.com

Lakonannya dalam filem ini mengangkat nama Mumtaz di Bollywood. Kejayaan cemerlangnya bermula apabila muncul sebagai heroin dalam Do Raaste (1969) bersama Rajesh Khanna. Selain berlakon, Mumtaz adalah juga seorang penari hebat dan tidak kekok apabila menari dalam filem.

Bermula dari situlah Mumtaz tidak menoleh ke belakang. Namanya terus menyinar dan sebaris dengan aktres popular lain seperti Asha Parekh, Sharmila Tagore, Babita, Waheeda Rehman, Saira Banu, Sadhana, Mala Sinha, Tanuja dan lain-lain.

Dia juga bergandingan dengan ramai hero popular Bollywood seperti Jeetendra, Dharmendara, Shashi Kapoor, Feroz Khan, Sanjay Khan sepanjang kariernya.

Tetapi paling ketara kejayannya ialah melalui filem-filem di mana dia bergandingan dengan Rajesh Khanna. Mumtaz menyifatkannya kejayaannya di layar perak bersama Rajesh sebagai ‘tuah’ dan kemunculan mereka bersama sentiasa dinantikan oleh peminat.

Memetik indianexpress.com, Mumtaz memberitahu, apabila dia berkahwin dan meninggalkan Bollywood untuk tinggal di London, Rajesh Khanna memberitahunya bahawa di (Rajesh) telah kehilangan tangan kanan.

Mumtaz sangat bangga tetapi terharu dengan ucapan yang keluar sendiri daripada mulut superstar itu. Namun apakan daya, kerana dia bakal menempuh hidup baharu dan mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga. Baginya dia telah bertemu jodoh dengan insan yang sangat dicintai.

Mumtaz kemudian dapat tahu bahawa Rajesh sangat merinduinya dan amat merasai kehilangannya. Rajesh sangat sedih kerana selama ini mereka adalah pasangan ideal di layar perak. Perasaan ini dikongsi oleh Mumtaz. Dia sendiri sangat gembira membintangi banyak filem bersama Rajesh.

Sejak kejayaan Do Raaste, keserasian mereka di layar perak mendapat perhatian produser dan pengarah di Bollywood. Lantaran itu gandingan mereka sering kali menjadi pilihan.

Menurut Mumtaz, tidak ada satu pun filem lakonannya dengan Rajesh gagal di pasaran, daripada pertama kali mereka bersama dalam Do Raaste (1969) hinggalah Prem Kahani (1975). Filem Prem Kahani turut membariskan aktor Shashi Kapoor.

Bagi Mumtaz, keserasian berganding dengan Rajesh lebih terasa. Dia menyifatkan Rajesh sebagai aktor yang bagus dan telah bergandingan dengan ramai aktres jelita, dengan beberapa buah lagu latar hit didendangkan di layar perak.

Bagaimana pun menurut Mumtaz, kelebihan dan keistimewaannya dengan Rajesh bukan sahaja lagu latar nyanyian mereka mengusik jiwa, tetapi setiap filem lakonan mereka meletup di pasaran. Kejayaan ni memang sukar dicapai.

Seperti mana erat dan mesranya mereka di layar perak, begitulah juga hubungan persahabatan Mumtaz dan Rajesh di luar filem. Ketika Rajesh sakit dan kesihatannya semakin merosot, Mumtaz menziarahi rakan lamanya itu.

Ketika itu Anju Mahendroo, bekas kekasih Rajesh Khanna sebelum berkahwin dengan Dimple ada di situ, begitu juga dengan Dimple. Menurut Mumtaz, keluarga Rajesh menjaganya dengan baik ketika dia sakit. Mendiang mempunyai dua anak dengan Dimple, iaitu aktres Twinkle Khnna yang merupakan isteri aktor Akshay Kumar dan Rinke Khanna.

Menurut Mumtaz, dia sendiri amat merindui Rajesh. Apabila menonton filem lakonan Rajesh di TV, dia (Mumtaz) selalu tertanya-tanya kenapakah dia (Rajesh) pergi terlalu cepat.

Mumtaz tidak pernah muncul dalam filem sejak filem sejak membintangi Aandhiya pada 1990, yang merupakan filem comeback selepas Aaina pada 1977.

Pada masa ini, Mumtaz yang mempunyai kediaman antaranya di Mumbai, London dan Uganda hidup bahagia bersama suami, anak dan cucu. Sekali pun meninggalkan dunia filem ketika namanya sedang di kemuncak, Mumtaz tidak pernah kesal. Dia telah merasai kegemilangan dan semua itu akan tersimpan dalam kenangan.

— BebasNews

Leave a Reply