Sambungan dari SINI

Semenjak termeterainya Perjanjian Kerjasama Sempadan 1977, dua siri Operasi Bersama – Op Daoyai Musnah dan Op Cahaya Bena – telah dilancar pada tahun 1977. Persoalannya: adakah operasi-operasi tersebut berjaya membanteras kegiatan petualang negara? Jawapannya: Tidak! Ini diakui oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) seperti yang tercatat dalam buku terbitannya – ‘Tentera Darat 1933-2008.’ Petikan: “Operasi-operasi terdahulu telah gagal untuk memusnahkan secara menyeluruh semua kumpulan PGK yang bertapak di selatan Thailand.”

Soalan seterusnya: Kenapa? Kerana salah satu faktor kegagalan tersebut ialah tempoh kedua-dua siri Operasi Bersama itu agak pendek. Dengan kata mudah, operasi tidak berterusan. Situasi begini memberi masa untuk musuh mengkonsolidasi kedudukan mereka dan membina semula infrastruktur di lokasi yang lebih selamat.

Jadi, apa tindakan bagi mengatasi kepincangan ini? Ya, kedua-dua negara bersetuju untuk melancar Operasi Bersama untuk tempoh yang panjang. Justeru, pada 24 April 1978 Op Selamat Sawadee telah dilancar dan berakhir pada 5 Julai 1980. Objektif operasi ialah “…untuk memusnahkan Kompeni Ke-3 Rejimen ke-12, Kompeni ke-3, 4, 20 dan 25 PKM-ML dan PKM-KR yang berkonsepkan rondaan secara sistematik pada waktu siang dan serang hendap pada waktu malam dalam lingkungan jarak 1000 meter dari pangkalan PK.” Kawasan operasi di sekitar kawasan Betong di selatan Thailand dan Kroh serta Banding, Perak.

Perlu diingat, petualang negara juga mengambil iktibar daripada Operasi-operasi Bersama tersebut. Mereka menyaksi peranan Nuri sebagai ‘workhorse’ bagi menjayakan operasi tersebut. Jadi menghairankan mereka nekad menjadikan Nuri salah satu sasaran utama mereka. Lagi pun, mereka telah berjaya menembak jatuh sebuah Nuri yang mengorbankan kesemua 11 anggota keselamatan yang berada dalam pesawat malang itu di kawasan operasi Gubir pada 26 April 1976. Keazaman itulah yang terpaksa dihadapi oleh kru Nuri semasa Op Selamat Sawadee!

Pengganas komunis mempunyai kelebihan. Musuh mereka ‘menceroboh’ padang permainan mereka. Maka bila-bila masa mereka boleh menyerang penempatan anggota keselamatan. Tetapi mereka tidak mengambil kesempatan itu. Mengapa? Kerana mereka menunggu ketibaan Nuri. Ini terbukti dalam beberapa insiden di mana mereka telah menembak Nuri semasa pesawat dalam fasa ‘approach’ ke tempat mendarat (LP), terapung atau berlepas. Malahan dalam satu insiden, mereka telah menembak Nuri dari beberapa sudut LP berkaitan.

Keghairahan petualang negara telah berjaya menembak dua orang anggota komando yang bertugas sebagai anggota ‘Tim Penyelamat Udara (TPU) dalam pesawat dalam 2 insiden berasingan. L/Kpl Mohd Sibki bin Mat Noh terkorban dalam pesawat manakala L/Kpl Ismail bin Ahmad menyahut panggilan Ilahi dalam penerbangan ke Hospital Pulau Pinang. Bukan itu sahaja, dua orang kuatermaster udara Nuri, PW U I Mohsain bin Hashim (B) dan PW U II Patrick Lee (B), cedera akibat dicium peluru panas musuh.

Ancaman terhadap kru Nuri mendapat perhatian serius oleh pihak atasan TUDM. Selain prosedur Nuri diiringi oleh sebuah helikopter gempur ke LP, Panglima Operasi Udara telah memberi arahan supaya 2 buah helikopter gempur Nuri mengiringi Nuri ke LP tertentu. Sebelum penerbangan dilakukan, meriam 105 mm Howitzer dikehendaki membedil sasaran yang telah didaftar di kawasan itu. Nuri pula akan memasuki fasa approach apabila mendapat lampu hijau dari helikopter gembur setelah pesawat tersebut memuntahkan peluru 20 mm di laluan si Burung Besi.

Itu adalah arahan. Tetapi dalam keadaan tertentu, kapten pesawat perlu membuat keputusan berlandas kepada budi bicaranya. Seperti yang dialami oleh Kapt (U) Musa bin Hassan pada 4 Jun 1978. Beliau dan kru, Lt M Mohamed Mansor bin Md Zain dan F/Sjn Rahman bin Ros (Allahyarham) yang ketika itu membuat detasmen di Kroh, telah diberi tugasan casevac pada waktu malam; bersendirian! Mangsa merupakan seorang anggota komando yang cedera parah akibat terpijak jerangkap samar. Kapt (U) Musa boleh menolak tugasan itu kerana ia selari dengan arahan.

Tetapi misi ini melibatkan nyawa seorang wira negara yang bermatian menentang golongan anti-agama. Kelewatan mangsa mendapat rawatan sewajarnya dengan segera berkemungkinan keesokan hari misi bukan lagi casevac sebaliknya bodevac…mengeluarkan mayat! Lantas Kapt (U) Musa membuat keputusan untuk melaksanakan tugasan tersebut walaupun bertentangan dengan arahan dan terpaksa meredah kegelapan malam diburukkan lagi dengan angin kencang. Mangsa dinaikkan melalui kaedah winching. Dalam keadaan begitu, Nuri bak kata istilah Inggeris…‘sitting duck.’ Sebaik sahaja mangsa berada dalam pesawat, mereka berlepas ke Alor Setar. Mangsa diturunkan di kawasan parkir Stadium Darul Aman. Oleh kerana sudah lewat malam, mereka bermalam di Alor Setar dan terbang balik ke Kroh keesokan hari.

Kisah secara terperinci beberapa insiden kru Nuri diburu telah diabadikan dalam buku “[email protected] Besi Dalam Kenangan (2020)” dan “Imbauan Buku Log Penerbangan (2021).”

*****

Bagi menghadapi ancaman ini, kapten pesawat mempelbagai kaedah penerbangan untuk melaksanakan tugasan. Salah satu teknik yang sering diguna ialah ‘muslihat’ (deception) disusuli penerbangan taktikal rendah (low level tactical flying). Tidak menghairankan sekiranya terdapat penumpang yang baru makan mengalami makanan keluar semula apabila kapten pesawat secara tiba-tiba menjunamkan pesawat dari 3000 kaki ke 1000 kaki. Seterusnya terbang lebih kurang 50 kaki dengan kelajuan lebih kurang 100 knots (185 km/jam) naik-turun atas kanopi hutan mengikut kontur permukaan bumi.

Saya masih ingat satu penerbangan di mana seorang pegawai kanan TUDM mengikuti saya ke satu LP. Sebelum beralih sebagai juruterbang pesawat pejuang, beliau adalah seorang juruterbang Alouette III. Kira-kira orang lama dalam operasi helikopter. Sebaik sahaja mendarat semula di Kroh, beliau telah mengajukan soalan kepada saya: “Nor, siapa ajar kamu terbang macam itu?”

“Nak hidup, Tuan.” Isu mati di situ!

Bersambung…In syaa Allah.

— BebasNews

Leave a Reply