AHMAD Shapawi Ismail (kiri). - Foto MSN

PENCAPAIAN hanya 39 pingat emas oleh kontinjen negara yang dianggotai 584 atlet pada Sukan SEA Vietnam 2022 lebih disebabkan kekurangan pendedahan pertandingan antarabangsa gara-gara pandemik Covid-19.

Pencapaian itu dianggap hambar oleh ramai pemerhati sukan tanah air apatah lagi kerana Malaysia di kedudukan keenam pungutan pingat temasya ke-31 itu dan di belakang Singapura yang dianggotai 476 atlet.

“Faktor kurangnya pendedahan pertandingan di luar negara untuk atlet-atlet negara sebelum ke Sukan SEA Vietnam memang diakui dan dinyatakan ketika rumusan prestasi kontinjen Malaysia, Ahad lalu,” kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Kebanyakan kejohanan antarabangsa berkenaan menjelang Sukan SEA Vietnam, sama ada terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan oleh penganjur sejak pandemik itu melanda dunia pada penghujung 2019.

Beliau dalam kenyataan media hari ini, turut menegaskan pencapaian di Hanoi itu bukanlah kerana kekangan kewangan atau pemotongan elaun latihan sepenuh masa atlet-atlet negara.

AHMAD Shapawi Ismail (kiri) ketika memberikan taklimat prestasi kontinjen negara dalam Sukan SEA Vietnam 2022 kepada Ahmad Faizal Azumu di Hanoi, baru-baru ini. – Foto MSN

“Hasil inisiatif Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang turut disokong rakan-rakan menteri yang lain, Jemaah Menteri telah bersetuju mengembalikan peruntukan sebanyak RM60 juta setahun bagi membiayai program latihan mereka.

“Arahan pembayaran penuh elaun latihan telah dikeluarkan kepada MSN pada pertengahan Januari lalu dan semua atlet kembali menikmati bayaran mengikut kelayakan masing-masing, serta-merta,” katanya.

Setiap pemenang pingat emas Sukan SEA katanya, menerima elaun latihan RM2,000 sebulan, diikuti RM1,500 sebulan untuk pemenang pingat perak dan RM1,000 untuk pemenang pingat gangsa.

Pemenang-pemenang pingat emas Sukan Asia dan Sukan Komanwel pula ujarnya, menerima elaun latihan bulanan sebanyak RM4,500, pemenang pingat perak RM4,000 dan RM3,500 untuk pemenang pingat gangsa.

“Jumlah elaun bulanan pemenang pingat emas Sukan Olimpik pula ialah RM7,500 (setakat ini tiada lagi), pingat perak RM7,000 sebulan manakala RM6,500 untuk pingat gangsa,” jelas Shapawi. — BebasNews

Leave a Reply