mosque, architecture, abu dhabi
Photo by apassingstranger on Pixabay Gambar hiasan

Hari ini sudah masuk 8 Syawal 1443H. Semoga amalan kita di sepanjang Ramadan diterima Allah S.W.T.

Apabila masuknya Syawal, antara amalan penting yang disarankan oleh Baginda S.A.W ialah puasa enam hari.

Nabi S.A.W bersabda:

“Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian meneruskan dengan enam hari di Bulan Syawal sepertinya dia berpuasa selama setahun.”

(Riwayat Imam Muslim)

Hukum puasa enam
Di sana terdapat perselisihan antara mazhab feqah mengenai puasa enam.

Ada yang mencadangkan supaya berpuasa enam dilaksanakan di penghujung bulan Syawal dan ada yang mencadangkan supaya ia dilakukan berpisah-pisah tidak berturut turut selama 6 hari.

Walau bagaimanapun Mazhab Syafie menghukumnya sebagai sunat sepanjang Syawal, sama ada berturut ataupun berpisah.

Dalam permasalahan ini, Imam Nawawi R.A menyimpulkan di dalam syarahnya bagi Hadis Shahih Muslim mengatakan;

“Ulamak Mazhab Syafie menyatakan: Yang paling afdhal dalam melaksanakan puasa sunat enam hari di dalam bulan Syawal adalah secara berturut-turut yang dimulakan selepas Aidil Fitri, jika sekiranya tidak berturut-turut, (misalnya sehari puasa dua hari tidak, kemudian puasa lagi, asalkan genap enam hari dalam bulan Syawal) atau melewatkannya hingga ke hujung bulan, maka itu juga turut mendapat fadhilat al-Mutaba‘ah (puasa yang mengiringi) kerana ia benar-benar berniat untuk menyambung enam hari di Bulan Syawal.

Ulama berkata, dan amalan ini bersamaan berpuasa selama setahun kerana setiap kebaikan itu akan diganjari 10 kali ganda, maka puasa Ramadan bersamaan 10 bulan, dan 6 hari Syawal bersamaan 2 bulan.”

Puasa enam boleh digabungkan niat dengan puasa qadha.

Terdapat perbincangan mengenai keharusan menggabungkan niat puasa qadha dengan enam hari di Bulan Syawal.

Para ulama ada menghuraikannya seperti Imam Bujairimi di dalam Hasyiah al Bujairimi, Imam Ibn Hajar al-Haitami di dalam Fatawa al Kubro, Imam Romli di dalam Fatwanya, dan banyak lagi.

Sesungguhnya puasa enam banyak fadilatnya jika dikerjakan.

Selain diganjari pahala seumpama puasa setahun, puasa enam mendekatkan lagi kita kepada Allah SWT.

Puasa enam hari di bulan Syawal juga melengkapkan kekurangan dan kecacatan yang terdapat sewaktu melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan.

Selain itu, terdapat beberapa pandangan ulama dari mazhab al- Syafi’e antaranya Imam Nawawi, berpendapat seseorang yang telah lengkap berpuasa Ramadan perlu menyambung puasanya (enam hari bulan Syawal) secara serta-merta dan berturut-turut setelah merayakan Aidilfitri.

Ini adalah untuk mencantikkan lagi puasa Ramadan yang lepas.

Dengan mensyariatkan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal, umat Islam akan terlatih untuk meneruskan puasa sunat yang lain.

Kemungkinan umat Islam akan terlupa untuk meneruskan ibadah puasa sunat lain setelah menyambut hari raya Aidilfitri.

Tepuk dada tanya iman adakah kita ingin mensia-siakan pahala berganda hanya kerana ingin ke rumah terbuka, pejabat terbuka atau sebarang majlis Aidilfitri yang memakan masa sebulan.

Apa salah diselitkan enam hari puasa Bulan Syawal yang begitu besar ganjarannya. In sha Allah. — BebasNews

Leave a Reply