Effa Rizan

PENYANYI popular era 1970-an, Datin Effa Rizan adalah antara artis yang tampil menyanyi lagu ‘Lebaran’ berjaya memeriahkan suasana rumah terbuka Aidilfitri 1443 Hijrah (2022) anjuran Persatuan Peminat Seni Warisan Tan Sri Dr. P. Ramlee Malaysia (Perwalee) di Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada 21 Mei 2022.

Lagu ‘Lebaran’ nyanyian Effa Rizan itu mula popular pada tahun 1977 dan masih menjadi pilihan kebanyakan stesen radio menyiarkannya pada setiap kali musim Hari Raya Aidilfitri. Lagu irama pop ‘Rasa Hati’ nyanyian Effa Rizan juga masih digemari peminat hingga kini.

Effa Rizan yang mempunyai saluran YouTube masakan masih aktif menyanyi hingga kini juga dikenali sebagai isteri kepada penyanyi ‘superstar’ Allahyarham Datuk Dhalan Zainuddin begitu popular dengan lagu ‘Kisah Seorang Biduan’ meninggal dunia akibat serangan strok pada 28 Mei 2019.

Antara tetamu yang menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2022anjuran Persatuan Peminat Seni Warisan Tan Sri Dr. P. Ramlee Malaysia (Perwalee) di Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada 21 Mei 2022. – Gambar oleh HARRIS FADILAH YUSOF

Turut menghiburkan tetamu rumah terbuka Perwalee yang bermula dari petang hingga ke malam di Dewan Terbuka Silat Gayong Kebangsaan itu ialah penyanyi serta pelawak Mat Over, S. Azli, Rosli Derani dan beberapa lagi.

Hadir sama memeriahkan majlis ialah Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan dan Ahli Jawatankuasa Perwalee serta sebahagian daripada ahli persatuan itu terutama yang berada di sekitar Kuala Lumpur.

Sementara itu Penaung Perwalee, Datuk Mad Aris Mad Yusuf dalam ucapan di majlis Aidilfitri itu berharap Perwalee akan terus berperanan menghidupkan karya seni P. Ramlee terutama dalam kalangan generasi baharu agar ia terus mekar di sepanjang zaman.

Menurutnya, pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh Perwalee adalah bertujuan supaya seni warisan P. Ramlee boleh mencetuskan motivasi dan inspirasi bukan sahaja kepada penggiat seni, malah membabitkan para peminat seniman agung itu.

Dalam pada itu Presiden Perwalee, Jaafar Abas berkata, mungkin bagi sesetengah orang menyangka Perwalee adalah persatuan baharu yang dikaitkan dengan nama P. Ramlee itu.

“Sebenarnya Perwalee ialah pertubuhan berdaftar sudah berusia 14 tahun selepas ditubuhkan pada 2008 yang mulanya mendapat sokongan bekas Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Zakiah Hanum Abd. Hamid serta Nasir selaku anak Tan Sri P. Ramlee,” jelasnya.

Kata Jaafar, hingga kini Perwalee mempunyai lebih 700 keahlian dan terus terbuka kepada masyarakat umum untuk menyertai persatuan tersebut.

Untuk aktiviti Perwalee pada masa depan, Jaafar berkata, Perwalee mungkin akan mengundang penyanyi Fairuz Misran dari Labuan yang popular dengan gaya dan suara nyanyian mirip P. Ramlee itu.

Fairuz menyanyi lagu baharu ‘Indahnya Raya’ rakaman tahun 2019 dan beliau juga pernah mewakili Sabah menjadi juara Bintang P. Ramlee peringkat kebangsaan anjuran RTM Sarawak (2012). — BebasNews

Leave a Reply