
TERAPKAN sifat-sifat Harimau Malaya iaitu berani, garang dan bersemangat juang sambil membantu usaha memulihara legasi mamalia belantara itu, kata Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Mesej Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu disampaikannya pada majlis persefahaman antara majlis dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan, Sungkai, Perak.
Katanya, “menerusi kerjasama ini, MSN berharap semangat Harimau Malaya itu akan dapat diserap ke dalam diri atlet-atlet negara untuk berjuang mengharumkan nama negara dalam semua pertandingan yang disertai.
“Harimau Malaya melambangkan keberanian, sifat garang dan semangat juang kukuh yang sentiasa dipamerkan atlet-atlet negara setiap kali turun berjuang di gelanggang,” katanya dalam siaran media MSN.
Timbalan Ketua Pengarah (Pemuliharaan) Perhilitan, Datuk Fakhrul Hatta Musa yang menghadiri majlis itu, berterima kasih kepada MSN yang sudi bekerjasama dalam kempen ini.

“Harapan saya juga ialah atlet-atlet negara turut dapat membantu usaha memulihara legasi Harimau Malaya,” katanya dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) atlet-atlet negara itu sempena Hari Belia Negara 2022 dan Kempen Selamatkan Harimau Malaya.
Arena sukan negara tidak asing untuk dikaitkan dengan Harimau Malaya seperti nama julukan buat pasukan bola sepak negara terkenal manakala skuad hoki kita pula digelar Harimau Malaysia (Malaysian Tigers) atau Harimau Tangkas (Speedy Tigers).
MSN juga merupakan pemilik kepada paten corak belang harimau ‘Panthera Tigris’ yang digunakan pada kelengkapan atlet-atlet negara dalam pelbagai jenis sukan di pentas antarabangsa.
Program CSR yang melibatkan atlet negara sebagai ikon ini merupakan kerjasama dalam membantu Perhilitan menjayakan kempen Selamatkan Harimau Malaya dan membangkitkan kesedaran tentang populasi Harimau Malaya di negara ini yang kian diancam kepupusan.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Perhilitan Perak, Yusoff Shariff; Pengarah Bahagian Perancangan dan Korporat Perhilitan, Haidar Khan Mokbolhassan dan Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pembangunan SUkan MSN, Suhardi Alias serta Timbalan Ketua Pengarah Pengkomersialan dan Pemasaran MSN, Abdul Rashid Yaakub.
Hadir memeriahkan majlis termasuk atlet negara seperti Mohd. Al-Jufferi Jamari, Mohd. Taqiyuddin Hamid, Luqman Laji (silat), Tan Cheong Min (wusyu), Mohd. Syarul Azman Mahen Abdullah (bina badan), R. Partiben dan Muhammad Faiz Haizat Rosli (olahraga para). — BebasNews

[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.