PAT 2022 @ Hibrid mempamerkan pelbagai aktiviti kesenian untuk generasi muda agar tidak dilupakan.

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama Kerajaan Negeri Perlis, menganjurkan program Pesta Angin Timur Perlis 2022 @ Hibrid (PAT 2022 @ Hibrid) edisi ke-10, pada 21 dan 22 Mei lalu.

Pada tahun ini, PAT dilaksanakan secara hibrid dan disiarkan secara maya melalui platform digital Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara iaitu Facebook Page JKKN TV.

Semua kandungan sepanjang dua hari program berlangsung dirakam terlebih dahulu dengan pematuhan SOP yang ketat. Acara perasmian dilakukan secara fizikal bertempat di Kompleks JKKN Perlis pada 21 Mei 2022.

JKKN sentiasa berusaha dalam menyemarakkan dan mengangkat kembali keunikan kesenian serta warisan tradisi rakyat Malaysia melalui aktiviti dan pengisian yang dilaksanakan PAT [email protected] kepada generasi muda agar ia tidak ditelan zaman dan pada masa yang sama, dapat mempromosikan gaya hidup sihat melalui acara-acara yang dianjurkan.

Sidang akhbar PAT 2022 yang diadakan baru-baru ini selepas majlis perasmian.

PAT 2022 @ Hibrid dimeriahkan dengan persembahan Kumpulan Kesenian JKKN Perlis seperti tarian kesenian Negeri Perlis, persembahan kesenian Siam, deklamasi sajak berkisarkan bendang serta persembahan nyanyian oleh artis-artis tempatan. Persembahan kesenian autentik negeri Perlis seperti teater Hadrah, Ali Bunyi dan Ghazal Party turut disusun sebagai pengisian PAT 2022 @ Hibrid. Program ini turut dilengkapi dengan persembahan khas oleh artis jemputan iaitu Ezad Lazim.

Sepanjang dua hari penganjuran, pelbagai program sisipan disusun untuk para penonton antaranya beberapa siri dokumentari seperti Pembuatan Pekasam Perlis, permainan Cakplong, Pembuatan Baju Kurung Perlis, Kerbau Besi dan Si Penjerat Burung Bendang.

Selain itu turut dipaparkan dokumentari tokoh dan penggiat seni negeri Perlis. Antaranya ialah Tharumaraj – Permata Seni Perlis, Pak Yaakob- Seniman Serba Boleh, Mencari Tokoh- Pak Romli Si Awang Batil dan Pak Yus Dalam Kenangan.

Di samping itu, diselitkan juga segmen Jualan Produk yang mana pelbagai produk-produk usahawan negeri Perlis dipromosikan dan dijual secara dalam talian.

Program ini juga turut memaparkan segmen Imbasan PAT di mana Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Perlis, Asmaiza Ahmad, bercerita mengenai penganjuran Pesta Angin Timur bermula tahun 2014 sehingga kini.

Semua program PAT 2022 @ Hibrid yang berlangsung selama dua hari dirakam terlebih dahulu.

Program ini turut dilengkapi dengan segmen Forum Santapan Rohani yang akan diserikan dengan kehadiran Ustaz Shamsul Debat dan Da’i Aiman.

PAT 2022 @ Hibrid dirasmikan secara bersama oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri dam Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

“Matlamat utama pesta ini adalah untuk mempromosikan aktiviti kebudayaan tempatan sebagai salah satu produk industri pelancongan Negeri Perlis serta menyemarakkan kesenian, kebudayaan dan tradisi masyarakat tempatan kepada masyarakat luar.

“Di samping itu ianya sebagai satu usaha menjadikan negeri Perlis sebagai sebuah negeri yang masih utuh dengan mempamerkan kesenian tradisional sebagai tarikan kepada pelancong,” kata Nancy semasa majlis pelancaran.

Program Pesta Angin Timur Perlis menurutnya juga, banyak menyumbang kepada penjanaan pendapatan negara serta merancakkan rantaian ekosistem sektor yang terlibat.

Pada tahun 2020 Pesta Angin Timur Perlis telah mencatatkan pulangan pendapatan berjumlah RM492,000 dengan kehadiran khalayak seramai 127,160 orang sepanjang tiga hari pelaksanaannya. Pencapaian ini telah menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2019 yang mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM481,000 dan khalayak seramai 122,182 orang.

“Saya bangga dengan pencapaian [email protected] tahun lalu. Walaupun dilaksanakan secara maya selama dua hari, acara yang mendapat sambutan luar biasa khalayak antarabangsa ini berjaya menjana pulangan yang tidak jauh bezanya dengan pulangan semasa penganjuran secara fizikal pada tahun-tahun sebelumnya, iaitu sebanyak RM468,540.00 melalui syarikat telekomunikasi atau TELCO.

“Jumlah khalayak yang hadir secara maya pula adalah seramai 82,200 orang termasuk pelancong luar negara yang telah mengikuti perkembangan Pesta Angin Timur Perlis sebelum ini,” jelasnya. — BebasNews

Leave a Reply