Roslan Arifin

KUALA LUMPUR 27 Mei — Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada 29 Mei setiap tahun merupakan pengiktirafan kerajaan dan masyarakat kepada sumbangan profesion kewartawanan kepada negara.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Roslan Ariffin berkata sambutan tersebut sekali gus akan menyuntik semangat golongan wartawan yang mempunyai peranan besar, terutama dalam membantu pembangunan negara dan memelihara keharmonian masyarakat.

“Dalam 365 hari setahun ada satu Hari Wartawan (HAWANA), ini adalah satu pengiktirafan kepada kita (wartawan)…Sambutan Hari Wartawan ini yang amat bermakna, pada setiap 29 Mei apabila kita bangun setiap tahun, kita akan ingat (hari) ini adalah Hari Wartawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Koresponden Bernama terbitan Bernama TV bertajuk ‘HAWANA: Suntikan Semangat buat Golongan Wartawan’ sempena HAWANA 2022.

Roslan turut mencadangkan agar diadakan persidangan para wartawan pada sambutan HAWANA akan datang, bertujuan melatih kumpulan itu menjadi lebih baik dan berdaya saing dalam pelaksanaan tugasan.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) menjadi penggerak utama penganjuran HAWANA 2022, disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), selain turut melibatkan organisasi, persatuan dan pengamal media lain.

Sambutan HAWANA 2022 yang bakal berlangsung Ahad ini di Melaka, juga merupakan platform kepada kepada pengamal media untuk berkongsi pendapat dan meningkatkan pembangunan dan pertumbuhan industri media di Malaysia.

— BERNAMA

Leave a Reply