Dua wira negara terkorban akibat jerangkap samar. Dari kiri: Allahyarham 302175 Kpl Derashid bin Latiff, 303847 Spr Madun bin Fadzil. Sumber: Mej Baharudin bin Noryat (B)

SAMBUNGAN dari  SINI

Antara kejayaan Op Selamat Sawadee ialah pasukan komando, Skuadron Zulu yang diketuai oleh Mej Duraisamy a/l Vellaisamy, telah berjaya menawan sebuah kem utama komunis di Sg Lasoh pada 21 Jun 1978. Kem tersebut boleh memuatkan lebih kurang 60-70 orang Tetapi penawanan itu terpaksa dibayar  dengan harga yang mahal!

Untuk misi ini, 2 orang FOO, Lt Raja Musa bin Raja Abdul Rahman  dan Lt Basri bin Asari (Allahyarham), serta satu Tim Pemusnah Jerangkap Samar (TPJS) terdiri daripada 10 orang anggota yang diketuai oleh Lt M Mohd Ali bin Husin telah ditumpangkan kepada Mej Duraisamy. Mereka semua bertolak dari Kroh dengan kenderaan  pada waktu malam dan tiba di Ban Chan Tharat hampir tengah malam. Beliau seterus mengatur gerak trup beliau ke kawasan masing-masing.

Mej Duraisamy bersama elemen Markas Skuadron seterusnya meredah menaiki bukit dalam kegelapan dan tiba di destinasi awal pagi. Elemen yang ditumpangkan kepada beliau Tim Pemusnah Jerangkap Samar (TPJS) yang diketuai oleh Lt M Mohd Ali dan 10 orang anggotanya serta seorang FOO, ialah Lt Raja Musa bin Raja Abdul Rahman.

Apabila tiba di kem itu, Mej Duraisamy mendapati musuh baru beredar dari kem. Ini terbukti bila mereka menemui bubur kacang dan ayam goreng yang masih panas. Kedudukan kem pula sukar dikesan dari udara kerana ia dilindungi oleh kanopi hutan tebal. Kem ini  dilengkapi dengan dewan makan, gelanggang bola keranjang, tempat rawatan kecemasan dan sebuah pentas. Malahan mereka menemui sebuah motosikal ‘scrambler’ dan alat muzik seperti organ ‘Yamaha’ dan klarinet. Bukan itu sahaja, bekalan air pula disalurkan dari sungai di kaki bukit ke kem dengan menggunakan kuasa penjana elektrik.

Apabila memasuki kem itu, musuh menyambut para komando dengan ucapan “Selamat Datang Anjing-Anjing Hussein Onn” terpapar pada papan hitam. Mej Duraisamy seterusnya telah mengarah Lt M Mohd Ali untuk  membersihkan jerangkap samar di kawasan kem bagi memudahkan pergerakan dalam kem.

Bagi melaksanakan tugasan, Lt Muda Ali memecahkan anggotanya kepada 3 kumpulan. Antara kumpulan itu diketuai oleh 302175 Kpl Derashid bin Latiff dan terdiri daripada 303847 Spr Madun bin Fadzil dan 303800 Spr Ghazali. Mereka ditugaskan untuk membersih dewan makan di mana terdapat satu almari. Kpl Derashid memasuki dewan itu diikuti oleh Spr Madun manakala Spr Ghazali mengekori Spr Madun.

Jam lebih kurang 11:40 pagi. Apabila Kpl Derashid memegang pintu almari tersebut,  Spr Ghazali ternampak wayar di pintu almari.

“Jangan buka Koperal. Ada wayar.” Menjerit Spr Ghazali. Tetapi…terlambat!

Boom.” Satu letupan yang kuat apabila Kpl Derashid menarik daun almari tersebut yang telah mengaktif jerangkap samar. Letupan itu membuat Kpl Derashid melambung ke udara dengan perutnya terburai. Manakala Spr Madun mengalami cedera parah di bahagian mukanya dan rebah di tempat kejadian. Tetapi beliau masih bernafas. Namun beliau telah menghembus nafas terakhir sebelum ketibaan Nuri! Spr Ghazali tidak mengalami sebarang kecederaan. Sebaliknya, Lt M Ali dan L/Kpl Muslim (Allahyarham), anggota komando yang turut berada berhampiran tercedera akibat terkena serpihan jerangkap samar.

Kpl Mohsain bin Mohammed, anggota komando yang berada di luar dewan, segera membalut perut Kpl Derased. Sebelum Nuri datang membawa beliau keluar, Kpl Derashid menyuarakan kesedihannya kepada Kpl Mohsain: “Siapalah yang nak menjaga isteri dan anak saya!” Sungguh sedih dan pilu!

Mej Duraisamy telah memohon sebuah Nuri untuk membawa keluar kesemua mangsa bagi mendapatkan rawatan. Misi casevac dan bodevac dipertanggungjawabkan kepada saya dan kru, Lt M (U) Fong Chan Kwee dan Sjn Mohsain bin Hashim yang ketika itu membuat detasmen di Kroh. Kesemua tiga mangsa dinaikkan dengan kaedah winching kerana ketiadaan tempat mendarat. Mangsa telah diterbangkan ke Alor Setar. Semasa dalam penerbangan, tiba giliran Kpl Derased pula menghadap Penciptanya! Lt M Ali menanggal baju celorengnya untuk menutup muka Kpl Derased.

Nuri mendarat di ‘Kotak Tee-off, lubang #2,’ Kelab Kedah Diraja. Sebaik sahaja ambulans bergerak ke hospital berhampiran, kami berlepas balik ke Kroh.

Bersambung…In syaa Allah.

— BebasNews

Leave a Reply