BRADLEY Maloney (bertopi) meletakkan sasaran buat skuad B23 Malaysia mara ke pusingan kalah singkir Piala Asia B23. - Foto FAM

UMAR Hakeem Suhar Rezwan yang diketepikan daripada Sukan SEA Vietnam 2022 yang berakhir Isnin lalu, seperti mendapat ‘talian hayat’ apabila tersenarai dalam skuad 23 pemain Malaysia ke Piala Asia Bawah 23 Tahun di Tashkent, Uzbekistan bermula Khamis ini.

Tuah menyebelahi Umar kali ini kerana ketua jurulatih, Bradley Maloney tidak menamakan mana-mana pemain baharu lagi sebaliknya cuma menyerapkan terus tiga orang daripada senarai bersedia di Hanoi termasuk pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) FC II itu.

Lain-lain yang terlepas aksi Sukan SEA tetapi tersenarai kembali ke Piala Asia B23 ialah penjaga gol lampai Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim dan Shafi Azswad Sapari daripada JDT III, lapor siaran media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini.

Namun nasib kurang baik buat seorang lagi pemain dalam senarai berkenaan, Fahmi Daniel Zaaim daripada Selangor FC 2 yang tidak mendapat tempat dalam skuad kejohanan anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ini.

RAHADIAZLI Rahalim (tengah) berlatih bersama-sama dua rakan penjaga gol B23 Malaysia di MSN, Bukit Jalil, pagi ini. – Foto FAM

Dua puluh pemain pasukan yang kempunan pingat gangsa Sukan SEA Ke-31 akibat tewas penentuan penalti 4-3 kepada Indonesia, 22 Mei lalu, turut mendapat kepercayaan semula Maloney, warga Australia ke Tashkent.

Antara yang menyerlah di Hanoi dan tonggak juara Kumpulan J Kelayakan Piala Asia B23 di Ulaanbaatar, Oktober lalu yang turut terpilih ialah Luqman Hakim Shamsudin, Nur Azfar Fikri Azhar, Hadi Fayyadh Razak, Quentin Cheng dan kapten, Mukhairi Ajmal Mahadi.

“Skuad B23 negara beraksi dalam Kumpulan C Piala Asia B23 dengan menentang pilihan utama, Korea Selatan di Stadium Lokomotiv, Tashkent (Khamis ini), Thailand di Stadium Bunyodkor (5 Jun) dan Vietnam di Stadium Lokomotiv (8 Jun).

“Dua pasukan teratas setiap kumpulan seterusnya akan layak ke suku akhir pada 11 dan 12 Jun, separuh akhir pada 15 Jun manakala perlawanan akhir, empat hari kemudian,” lapor siaran berkenaan.

Maloney meletakkan sasaran melepasi saingan peringkat kumpulan di Tashkent malah mengakui sudah mengumpul serba sedikit maklumat mengenai pemain-pemain Korea Selatan daripada ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon.

RAHADIAZLI Rahalim (tengah) berlatih bersama-sama dua rakan penjaga gol B23 Malaysia di MSN, Bukit Jalil, pagi ini. – Foto FAM

“Saya mahu kami layak daripada peringkat kumpulan ini. Selepas majlis undian Piala Asia B23 dibuat, saya ada berbincang secara ringkas dengan Pan-gon.

“Saya dapat tahu, ada beberapa pemain Korea Selatan yang berpengalaman Sukan Olimpik Tokyo (mara ke suku akhir) yang disenaraikan kali ini selain yang bermain Kelayakan Piala Asia B23 (juara Kumpulan H di Singapura).

“Namun kami akan harungi satu persatu lawan dengan pendekatan yang berdasarkan kekuatan dan kelemahan mereka,” jelasnya dalam rakaman audio temu bual selepas sesi latihan di Padang Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, pagi ini.

Skuad B23 Malaysia:
Mukhairi Ajmal Mahadi, Ahmad Zikri Khalili, Azrin Afiq Rusmini, Quentin Cheng, Harith Haiqal Adam Afkar, Ahmad Danial Ahmad Asri, Syahir Bashah (Selangor FC), Faiz Amer Runnizar (Selangor FC 2), Rahadiazli Rahalim, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Azam Azmi Murad, Syafik Ismail, Hairiey Hakim Mamat (Terengganu FC), Nur Azfar Fikri Azhar, Safwan Mazlan (Terengganu FC), Umar Hakeem Suhar Rezwan (JDT FC II), Shafi Azswad Sapari (JDT FC III), Azri Ab. Ghani (Kuala Lumpur City FC), Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk, Belgium), Aiman Afif Afizul (Kedah Darul Aman FC), Ubaidullah Shamsul Fazili (Projek FAM-MSN), Hadi Fayyadh Razak (Azul Claro FC, Jepun), Firdaus Irman Fadhil (PDRM FC).

— BebasNews

Leave a Reply