Datuk Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau menghormati setiap pandangan yang disuarakan oleh pelbagai pihak berhubung keputusan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurutnya, kemelut yang berlaku selepas Zuraida keluar parti tersebut akan dirungkai selepas beliau pulang dari luar negara.

“Semua orang mempunyai pandangan berbeza-beza dalam soal ini, tetapi keputusan akhirnya adalah kepada Perdana Menteri.

“Jadi, oleh kerana terlalu awal untuk saya membuat keputusan kerana belum ada perjumpaan dan perbincangan, saya tidak mahu komenlah apa tindakan seterusnya, tunggu saya balik,” katanya.

Terdahulu kelmarin Zuraida mengumumkan keluar daripada Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Kedudukan Zuraida sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi hanya ditentukan selepas beliau bertemu dan berbincang dengan Perdana Menteri.

Ismail Sabri bagaimanapun berkata, tarikh pertemuan untuk berbincang mengenai peletakan jawatannya selepas memaklumkan menyertai PBM belum ditetapkan dan ia diketahui selepas Perdana Menteri tiba ke tanah air dalam masa terdekat.

“Setakat ini, beliau masih boleh menghadiri mesyuarat Kabinet, sebab Zuraida tidak meletak jawatan sebagai menteri Kabinet dan saya pun tidak memecatnya sebagai menteri.

“Jadi, beliau masih lagi menteri sehingga mesyuarat Rabu ini (minggu depan), sehingga beliau berjumpa saya. Walaupun akan berjumpa saya, tidak tahulah sama ada saya membuat keputusan atau tidak sehingga saya memutuskan untuk Zuraida berhenti dan saya lantik (bakal) menteri yang lain. (Itupun) kalau saya lantik menteri yang lain,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir ke persidangan Nikkei ke-27 di Tokyo, Jepun hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pihak media sama ada mesyuarat Kabinet yang diadakan setiap Rabu masih boleh dihadiri Zuraida selepas beliau memutuskan meletak jawatan dari kementerian tersebut.

Untuk rekod, PBM dipimpin oleh Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien didaftarkan sebagai badan politik rasmi pada 27 Oktober tahun lalu antara lain adalah parti dijenamakan semula daripada Parti Pekerja Sarawak (SWP).

Zuraida dilaporkan kini berada di Turki bagi memenuhi undangan Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin serta dijangka berucap pada majlis pembukaan.

Keputusan Zuraida keluar Bersatu menyebabkan Presiden parti tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhasrat mengemukakan kepada Ismail Sabri dalam masa terdekat calon pengganti Zuraida untuk dilantik sebagai menteri baharu. — BebasNews

Leave a Reply