P. Ramlee and Kasma Booty, 1955 - Wikipedia

SUDAH sampai masanya bagi kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan yang menaungi Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di Kuala Lumpur agar menyegerakan pemasyuhuran akademi tersebut dinaik taraf menjadi universiti yang dikenali sebagai Universiti P. Ramlee pula.

Gesaan ini berasas kerana hasrat untuk menukar nama Aswara sebagai Universiti P. Ramlee itu sudah mendapat kelulusan sebulat suara di Parlimen dalam satu sidang Dewan Rakyat dahulu dan turut dimasukkan ke dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 2018.

Malangnya usaha untuk merealisasikan pemasyhuran Universiti P. Ramlee itu tergendala apabila BN tumbang dalam PRU-14 digantikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) diketuai oleh Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri yang lebih memberi keutamaan kepada pengekalan kuasa politik.

Setelah 22 bulan memerintah, PH pula tumbang kerana Dr. Mahathir meletakkan jawatan sebagai ketua kerajaan itu yang kemudiannya dibentuk pula kerajaan baharu di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dari parti Bersatu) dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN) dianggotai sama oleh parti serpihan PH dan bekerjasama dengan BN.

Pemerintahan Muhyiddin kemudiannya digantikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Ke-9 bermula 21 Ogos 2021. Justeru inilah masa yang terbaik dalam tahun 2022 bagi kerajaan PN diketuai Ismail Sabri dari UMNO (BN) untuk mengembalikan usaha merealisasikan pemasyhuran Universiti P. Ramlee itu.

Aswara bermula dengan nama Akademi Seni Kebangsaan (ASK) di Kuala Lumpur ditubuhkan pada 1994 di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (nama dahulu), kemudian dikenali sebagai Aswara berkuat kuasa pada 1 Ogos 2006 melalui Akta Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan 2006 (Akta 653).

Selain itu Aswara kini dikenali sebagai institusi pengajian tinggi yang tunggal melahirkan graduan peringkat sijil, diploma, ijazah dan ijazah tertinggi dalam bidang berhubung dengan industri kreatif bersesuaian dengan kehendak pasaran tenaga profesional dalam membangunkan sektor berkenaan.

Jika pemasyhuran Universiti P. Ramlee dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat atau selepas PRU-15 kelak, bermakna kerajaan dilihat prihatin menghargai jasa seniman agung tersebut diabadikan kepada perkara bersifat akademik.

Langkah bijak itu juga sekali gus mengangkat martabat P. Ramlee sebagai anak seni yang terkenal di rantau Asia mengharumkan nama Malaysia (berdasarkan banyak karya seninya menang anugerah utama Festival Filem Asia), malah karya-karya seninya yang mengandungi elemen pendidikan terus menjadi kajian dan malar segar hingga kini.

P. Ramlee dilahirkan di Pulau Pinang pada 22 Mac 1929 mula mencipta nama di Malay Film Productions (Shaw Brothers), Singapura 1948.

Kemudian kerana berjiwa patriotik terhadap tanah air sendiri, P. Ramlee sanggup meninggalkan kemewahannya di Singapura apabila beliau mengambil keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur menyambung kerjaya perfileman di Studio Merdeka, Hulu Klang, Selangor pada 1964.

Ketika kemerosotan filem Melayu, Studio Merdeka ditutup lalu menjadi bangunan usang. Oleh kerana khuatir tapak Studio Merdeka itu jatuh ke tangan lain, maka pelakon handalan Tan Sri Jins Shamsudin (Allahyarham) bersama beberapa tokoh lain bangkit memperjuangkan agar tapak studio dan tanahnya itu diambil alih segera oleh kerajaan untuk dibangunkan pula sebagai tapak bangunan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang tersergam indah mula dibina pada tahun 1980-an.

Jika P. Ramlee masih hidup, sudah pasti beliau tersenyum penuh kesyukuran kerana bekas Studio Merdeka berdekatan Zoo Negara itu berjaya diselamatkan menjadi tapak bangunan Finas yang amat releven dengan bidang pembangunan industri perfileman negara.

Malangnya P. Ramlee pergi lebih awal menyahut panggilan Ilahi dalam usia 44 yang boleh dikategorikan masih muda akibat serangan jantung pada 29 Mei 1973 di kediamannya di Taman Forlong (kini Taman P. Ramlee, Setapak, Kuala Lumpur). Bekas kediamannya itu juga telah bertukar menjadi mini muzium dikenali sebagai Pustaka Peringatan P. Ramlee di bawah kendalian Arkib Negara Malaysia bermula tahun 1986.

Sama-samalah kita sedekahkan dengan bacaan surah al-Fatihah kepada roh Allahyarham P. Ramlee yang bersemadi di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang, Kuala Lumpur bersetentangan dengan Menara KLCC.

P. Ramlee tidak meninggalkan harta wang berjuta kerana hidupnya lebih banyak dihabiskan kepada kerja-kerja seni yang tidak ketinggalan diselitkan dengan mesej dakwah, pendidikan, moral, kebudayaan dan kesenian berkualiti kekal diminati sepanjang zaman kerana ia dihasilkan menerusi hati suci ikhlas.

Sepanjang kariernya (1948-1973), P. Ramlee (Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh) menerupakan insan ‘genius’ serta maksimum daya kreatif itu sempat menghasilkan 66 buah filem, termasuk 35 filem arahan dan lakonannya. Beliau juga mencipta 250 buah lagu dan lebih 30 lagu itu dinyanyikan sendiri.

Filem pertama lakonannya ialah ‘Chinta’ (1948) dan filem terakhir arahan serta lakonannya ‘Laksamana Do Re Me’ (1972). Lagu pertama nyanyiannya ‘Azizah’ (1948) dan lagu terakhir ciptaannya ‘Air Mata Di Kuala Lumpur’ pernah dinyanyikan isterinya, arwah Puan Sri Saloma (1973).

Selain itu sudah banyak tempat mengabadikan nama P. Ramlee termasuklah Auditorium P. Ramlee RTM dan Jalan P. Ramlee (dulu Jalan Parry), Kuala Lumpur.

Jika mahu diceritakan riwayat hidup dan jasa serta perkara pelik mengenai P. Ramlee ini, maka dari pagi hingga petang pun tak akan habis, termasuklah kisah sang burung pun terbang datang hinggap di pohon berdekatan kerana kagum dengan kemerduan suara seniman agung itu, namun biarlah artikel ini berhenti dahulu di sini setakat ini.

— BebasNews

Leave a Reply