TIGA pelajar dari China yang belajar di sekolah antarabangsa di Malaysia turut mengadakan persembahan di Pawagam Mini P. Ramlee, FINAS, Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini. Dari kiri: Zhang Xuan Rui, Lee Yu Xuan dan Wang Le Er.

SENI dan budaya bukan setakat mampu memberi hiburan kepada masyarakat malah ia juga mampu menjalin hubungan diplomatik antara sesebuah negara.

Ia bukan sahaja boleh dilaksanakan oleh pemimpin negara malah melalui pertandingan pertukaran seni dan budaya yang disertai oleh kanak-kanak ia mampu mengeratkan hubungan Malaysia dan China.

Bagi tujuan itu satu pertandingan dikenali “Asia’s Kids Star” yang diadakan buat kali kedua (kali pertama pada tahun 2021) sebagai jambatan kebudayaan bagi mencapai matlamat ‘satu jalur satu jalan’ merupakan usahasama antara Malaysia dan China.

Pertandingan itu yang diadakan sempena ulangtahun hubungan dialog China-ASEAN ke-31 dan Ulang tahun hubungan diplomatik China-Malaysia yang ke-48, adalah satu pertandingan rasmi pertukaran budaya antara Malaysia dan China.

“Asia’s Kids Stars” diadakan dengan kerjasama sebuah syarikat di Malaysia, NQ Cultural Commercial Sdn. Bhd. dan syarikat dari China, Dou Kou International Media Co. Limited turut sama ialah China Beijing Qianyu Culture Media dan CIC Global Sdn. Bhd. dalam usaha sebagai platform antarabangsa untuk pertukaran seni budaya untuk kanak-kanak berumur antara tiga tahun hingga 16 tahun di Asia dan seluruh dunia.

PELAJAR dari Malaysia Thaaqib Kamarudin (kiri) dan Izza Alzahra Kamarudin menunjukkan bakat menari mereka di Pawagam Mini P. Ramlee, FINAS, Hulu Kelang.

“Asia’s Kids Star” yang menjadi pentas impian untuk kanak-kanak menampilkan bakat mereka disertai oleh sekumpulan kanak-kanak terpilih dari Malaysia dan China yang mempersembahkan beberapa tarian tradisional negara masing-masing melalui lagu tema pertandingan ini iaitu “Light Chase.”

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Antarabangsa pertandingan ini yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah NCQQ, Mazlan Goh Ahmad Goh ketika ditemui pada Jumaat lalu di pejabatnya di Petaling Jaya berkata;

“Melalui pertandingan ini kanak-kanak yang merupakan tonggak masa depan negara bukan sahaja mampu mengejar impian malah dapat mempromosikan seni dan budaya asli bukan sahaja ke Asia malah ke seluruh dunia.

“Saya yakin dengan ini secara tidak langsung ia dapat membantu industri pelancongan, ekonomi dan fesyen kerana kebudayaan Malaysia mempunyai daya tarikannya yang tersendiri.”

Menurut beliau, kini siri “Asia’s Kids Star” iaitu ‘Awakening of Dance Souls’, Pertandingan Tarian Kanak-Kanak Antarabangsa, ‘Comprehensive Talent Contest’ (Pertandingan Bakat) dan ‘Film Art Independent Space Exhibition’ dan Pertandingan Seni Kanak-Kanak Antarabangsa masih berlangsung dan mendapat sambutan menggalakkan.

MAZLAN Goh Ahmad Goh bersama Sijil Penghargaan diatas kejayaan NQ Cultural Commercial Sdn. Bhd. menganjurkan “Asia’s Kids Star” pertama pada tahun 2021.
AZLIE Halim menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Mazlan Goh Ahmad Goh diatas penganjuran musim pertama “Asia’s Kids Star” di Pawagam Mini P. Ramlee, di FINAS, Hulu Kelang, Selasa lalu.

Katanya, acara hebat ini telah memasukki peringkat uji bakat dan pendaftaran dilakukan secara dalam talian dan para peserta yang berminat hanya perlu memuat naik video ke facebook: NQ Cultural Commercial Sdn. Bhd.

Mazlan Goh berkata, apa yang membanggakan acara berprestij yang menampilkan kepelbagaian budaya ini bukan sahaja menarik minat kanak-kanak pelbagai kaum di Malaysia malah ia turut disertai ramai kanak-kanak dari Singapura, Sweden, New Zealand, Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun.

Beliau yakin meskipun para pesertanya berbeza warna kulit, bangsa dan bahasa namun ia mampu menanam semangat yang sama untuk mencapai impian dan cita-cita mereka bersandarkan lagu tema “Light Chaser” hasil ciptaan pemuzik dari empat negara berbeza yang diketuai oleh Li Guanghong dari Chin diikuti pemuzik dari Taiwan, Filipina dan penyanyi juga penulis lagu China iaitu A BEN, Kent dan Li Guowei.

Sebagai destinasi acara di luar negara, Kuala Lumpur akan mengadakan rakaman program CCTV di Megastar Arena pada 16 Julai ini. Manakala kanak-kanak di China akan menjalani rakaman di Hengdian World Studio.

Program ini akan disiarkan di Saluran Pelajar Sekolah Rendah dan Menengah Xinying dari CCTV pada cuti Hari Kebangsaa China.

Adalah difahamkan disebabkan epidemik dan China telah menutup sempadannya buat sementara waktu, peringkat akhir “Asia’s Kids Star” akan diadakan di Malaysia

Beliau memberitahu program ini mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.

Menurut beliau satu sidang akhbar mengenai pertandingan ini telah diadakan di Pawagam Mini P. Ramlee di FINAS pada Selasa lalu dengan dihadiri Timbalan Presiden Pelancongan Malaysia, Prof. Datuk Azlie Halim, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Syirfan Indra Mitra Surya, Penolong Pengarah Kanan/ Ketua Seksyen Pendidikan Awal Kanak-Kanak Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Wan Zumaiza Wan Mustapha, Pengarah Bahagian Seni Budaya JKKN, Ruhani Mamat dan Timbalan Presiden Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia, Datin Dorph Peng Wen Yin.

Sementara itu ketika ditanya mengenai pembinaan Kota Filem yang dirancang oleh NQCC untuk memulakan pembinaannya tahun ini dan terletak empat kilometer dari pantai Port Dickson di atas tanah seluas 350 ekar dengan kos pembinaan sebanyak RM30 billion, Mazlan Goh berkata;

“Jika mengikut perancangan sememangnya pembinaannya akan bermula pada tahun ini tetapi disebabkan epidemik dan China menutup sempadan maka rakan kongsi saya tidak boleh datang ke Malaysia.”

REKABENTUK Kota Filem yang dijangkakan memulakan kerja-kerja pembinaannya di Port Dickson pada tahun 2022 terpaksa ditangguhkan.

Rekabentuk dan konsep Kota Filem idea asal Mazlan Goh yang dikatakan akan menjadi mercu tanda Malaysia dan menjadi hub untuk para penerbit dan pengarah dalam dan luar negara menjalani penggambaran dengan segala kemudahan yang diperlukan mengikut skrip.

“Adalah menjadi harapan saya agar impian untuk membina Kota Filem yang dijangka mengambil masa lima tahun untuk menyiapkannya akan menjadi kenyataan.”

– BebasNews

Leave a Reply