Mohd.Zawawi (dua dari kiri) dan Zainor Rashid (kiri) berbual dengan pengamal undang-undang selepas majlis perasmian penutup Konvensyen Perundangan Jenayah Syariah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

SHAH ALAM — Kerajaan negeri Selangor khususnya pihak berkuasa agama sentiasa memantau sebarang percubaan menyebarkan ajaran agama yang terpesong daripada agama Islam di dunia nyata dan dunia maya.

Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd.Zawawi Ahmad Mughni berkata, buat masa ini pihaknya sedang memantau penyebaran lebih 40 ajaran sesat yang dilaporkan wujud di negeri ini.

“Kita tidak pernah berhenti daripada memantau ajaran sesat yang dibimbangi memesong akidah umat Islam. Ia termasuk ajaran Al-Arqam yang difatwakan bercanggah dengan ajaran Islam.

“Antara ajaran sesat yang dikenal pasti adalah Ajaran Ibu Yati, Asma Al Husna, Millah Abraham, Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) atau ajaran Sittah Annur dan Rasul Melayu,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Perundangan Jenayah Syariah Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Yang hadir sama ialah Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Zainor Rashid Hassin.

Mohd.Zawawi memaklumkan, pihaknya sentiasa memantau dunia siber kerana dibimbangi ajaran yang disebar melalui medium tersebut menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat Islam.

Mengulas mengenai perbuatan yang dianggap terpesong dari ajaran Islam di media sosial, beliau berkata, ajaran agama tidak wajar dijadikan bahan jenaka.

“Sebelum ini tular ritual buah kelapa dan teropong beberapa tahun lalu yang dianggap sebagai perkara melucukan oleh sesetengah pihak.

“Begitu juga video tular, kipas angin dijadikan makmum solat oleh pihak tertentu. Jika ada keperluan kita akan siasat walaupun ada yang menganggap ia sekadar gurauan,”katanya.

— BebasNews

Leave a Reply