Arul Kanda - Foto via Wikipedia

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi menetapkan pada 3 Julai atau Jumaat ini bagi mendengar permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy sebagai saksi perbicaraan kes pindaan laporan akhir pengauditan 1MDB.

Bekas CEO 1MDB tersebut merupakan tertuduh dalam kes itu kerana turut didakwa bersubahat dengan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pindaan laporan audit syarikat itu bagi mengelakkan bekas Perdana Menteri dikenakan tindakan undang-undang.

Permohonan tersebut sepatutnya didengar di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan hari ini namun ditangguhkan selepas peguam utama, Tan Sri Dr. Muhammad Shafe Abdullah tidak hadir pada prosiding disebabkan mengalami sakit tekak dan demam.

Menurut Peguam Rahmat Hazlan, beliau menerima panggilan telefon daripada Muhammad Shafee bahawa peguam itu tidak dapat hadir manakala suaranya kedengaran seperti Sean Connery (pelakon Hollywood).

Hakim Mohamed Zaini bagaimanapun berkata, pelakon itu sudah meninggal dunia dan beliau bukan contoh yang baik kerana sudah tiada.

Pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib bagaimanapun tidak membantah penangguhan itu.

Mohamed Zaini membenarkan penangguhan prosiding dan kemudiannya menetapkan pada Jumaat ini untuk mendengar permohonan berkenaan.

Terdahulu 20 Mei lalu, pihak pendakwaan mengemukakan permohonan lisan agar Arul Kanda dipanggil memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berdasarkan Seksyen 63(1) akta tersebut, apabila dua tertuduh atau lebih didakwa atas suatu kesalahan, pendakwa raya melalui permohonan bertulis boleh memohon agar salah seorang atau lebih untuk memberi keterangan sebagai saksi untuk pihak pendakwaan.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram, Arul Kanda mempunyai maklumat penting yang boleh mengukuhkan pendakwaan terhadap Najib.

Sri Ram menyatakan, Arul Kanda mempunyai maklumat yang boleh mempengaruhi kes pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri terutama berhubung mesyuarat yang diadakan pada 24 Februari 2016.

Allahyarham Tan Sri Ali Hamsa dalam keterangannya dalam kes tersebut berkata, pada mesyuarat penyelarasan yang diadakan pada Februari 2016 atas arahan Najib, terdapat empat perkara yang perlu digugurkan daripada laporan audit tersebut.

Antara empat perkara yang diarahkan Najib untuk digugurkan adalah mengenai kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho dalam mesyuarat 1MDB dan dua versi laporan kewangan 2014 syarikat terbabit yang bercanggah.

Peguam Najib Muhammad Shafee mahukan pihak pendakwaan mengemukakan asas terhadap permohonan tersebut.

Peguam bela turut menyifatkan permohonan itu sebagai sesuatu yang luar biasa dan pertama kali berlaku dalam sejarah.

Muhammad Shafee menyatakan terdapat kes dan prinsip undang-undang yang menyokong peruntukan permohonan berkenaan yang perlu dihujahkan di mahkamah.

Dalam kes tersebut, Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. — BebasNews

Leave a Reply