REHAN Mohamad Din (depan, dua dari kiri) bersorak meraikan kejayaan skuad negara memenangi pingat emas regu berpasukan sepak takraw Sukan Asia Beijing 1990.

RAJA Libas Malaysia era akhir 80-an dan awal 90-an, Rehan Mohamad Din meninggal dunia akibat sesak nafas dan jangkitan kuman dalam paru-parunya kira-kira pukul 8.40 malam tadi di Felda Air Tawar 3, Kota Tinggi, Johor.

Allahyarham yang juga pemenang dua pingat emas regu berpasukan dan antara regu Sukan Asia Beijing 1990, menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 54 tahun, kata anak bongsunya, Mohd. Syahir Hazmi Rehan kepada BebasNews, hari ini.

“Allahyarham meninggalkan seorang balu, Noor Masita Amir dan enam anak (Noor Aliya Basirah, Mohd. Syabil Hanif, Mohd. Syafiq Haziq, Mohd. Syafie Hazim, Mohd. Syahir Hazmi dan Noor Afiqah Bazilah)

“Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 3, esok,” kata Syahir, 17.

ABD. Malik Samsudin (kanan) menziarahi Rehan Mohamad Din di Teluk Intan, Perak pada 17.Julai 2020. – Foto Malik

Rehan, Nordin Sabarudin (tekong) dan Abd. Malik Samsudin (apit kiri pengumpan) menewaskan Thailand 2-1 dan 2-0 di Gimnasium Fengtai, Beijing, China dalam temasya pelbagai sukan edisi ke-11 itu.

Dua emas skuad sepak takraw negara itu turut melonjakkan kontinjen negara ke tempat ke-10 dalam pungutan pingat keseluruhan.

Turut sepasukan dengan mereka ialah Ahmad Jais Baharun, Shaari Hashim, Rosli Ab. Rahman, Noor Rani Adnan, Raziman Hassan, Ku Halim Ku Musa, Mohd. Noor Abdullah, Baharum Jahar dan Suhaimi Yusof.

Perejam handalan itu turut pernah mengalungkan negara, dua pingat emas kedua-dua acara sepak takraw itu dalam Sukan SEA Manila 1991 sekali lag dengan Nordin dan Malik atau digelar ‘Regu 3 Din’.

Rehan yang dilahirkan pada 28 Julai 1967 di Johor Bahru, Johor, turut pernah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Petronas.

Beliau turut bergandingan dengan Azman Ismail dan Malik dalam skuad negara yang merampas Piala Raja Thailand daripada musuh tradisi Thailand pada 1988 selain memenangi pingat emas antara regu Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 dan Pesta Sukan Merdeka Brunei 1990.

REHAN Mohamad Din (tiga dari kiri) bersama-sama lima daripada 12 pemain skuad pemenang pingat emas Sukan Asia Beijing 1990 ketika satu kejohanan, Liga Jemputan Kelab Sepak Takraw Media Massa 2009 di Taman Keramat, Kuala Lumpur.

Rehan menyarung jersi negara dari 1987 hingga 1992 yang era itu menyaksikan persaingan hebat dengan perejam lain negara seperti Shaari, Raziman, Baharum Jahar, Iskandar Arshad dan Zabidi Sharif.

Beliau juga pernah dilantik sebagai penolong jurulatih skuad wanita negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Pada 23 Jun 2020, legenda sepak takraw negara ini selamat menjalani pembedahan jantung akibat tersumbat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur yang berlangsung hampir enam jam. — BebasNews

Leave a Reply