Selak Hassan Md NoorSILIH berganti, entah kali ke berapa isu jalan sesak di ibu kota serta usaha mengatasinya menjadi tajuk perbincangan. Suatu masa dulu, agak popular juga cadangan golongan pekerja ‘kongsi kereta’ atau ‘car pool’ ke tempat kerja.

Tidak pasti sejauh mana cadangan itu mendapat sambutan tetapi realitinya jalan raya di ibu kota sesak sepanjang masa, dari pagi hingga ke malam lebih-lebih lagi ketika hujan dan musim cuti. Hanya semasa pandemik Covid-19, keadaan sepi.

Kita mengalu-ngalukan sebarang usaha untuk mengurangkan kesesakan di ibu kota termasuk mengenakan bayaran kesesakan ke atas kenderaan yang masuk ke ibu kota selepas sistem jaringan pengangkutan awam siap pada 2030.

Maknanya lapan tahun lagi! Sehingga tempoh itu, apakah usaha untuk mengurangkan kesesakan di sekitar ibu kota? Sampai bila jalan raya kita terus sesak walaupun di Lembah Klang sudah ada sistem pengangkutan rel?

Kita mempunyai pelbagai sistem pengangkutan rel iaitu kereta api Komuter, Transit Aliran Ringan (LRT), Monorel, Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS), Transit Aliran Massa (MRT) dan Pengangkutan Rel Ekspres (ERL).

Pada masa yang sama, perkhidmatan di jalan raya juga dipertingkatkan dengan pengenalan perkhidmatan Grab di samping teksi serta bas transit yang dihubungkan dengan pengangkutan darat lain.

Rangkaian pengangkutan ini menghubungkan antara satu sama lain tetapi sejauh mana pengguna memanfaatkannya dalam urusan harian? Kenapa jalan raya kita terus sesak walaupun sudah ada rangkaian pengangkutan rel ini?

Hari ini selepas pandemik, adakah sistem pengangkutan awam kembali normal atau semakin lembab, masih terasa tempias pandemik dengan mengurangkan kekerapan manakala tambang Grab pula dikatakan semakin menggila?

Rasanya tidak ada sesiapa yang mahu menghabiskan masa di atas jalan raya menempuh kesesakan untuk ke satu-satu destinasi sekiranya sistem pengangkutan benar-benar bersedia memudahkan perjalanan orang awam.

Langkah mengenakan ‘kadar harga jalan’, iaitu bayaran yang dikenakan untuk masuk ke dalam zon sesak di bandar besar disifatkan antara langkah terbaik dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama di ibu negara.

Tetapi ia juga bergantung kepada sejauh mana sistem sokongan pengangkutan awam dapat membantu menggalakkan orang ramai meninggalkan kereta mereka di rumah dan menggunakan pengangkutan awam untuk urusan di ibu kota.

Realiti yang dihadapi hari ini dan mungkin seterusnya adalah sistem sokongan pengangkutan awam yang masih belum cekap dan memuaskan.

Walaupun sistem rel dapat melancarkan pergerakan tetapi untuk sampai ke sesuatu destinasi terutama melibatkan pertukaran sistem contoh MONOREL – MRT – Komuter mengambil masa yang panjang sehingga pengguna lebih selesa membawa kenderaan sendiri.

Tempoh menunggu itu amat penting. Pertukaran antara satu sistem ke sistem lain, tidak seharusnya ‘mencuri’ masa pengguna yang amat berharga.

Ketika ini, kekerapan sistem pengangkutan rel ada yang masih lembab selepas negara memasuki fasa peralihan endemik. Tempoh menunggu terlalu lama menyebabkan penumpang bosan dan mengubah fikiran.

Dan kelancaran sistem rosak apabila satu sistem itu baik, sistem lain pula kurang membantu dengan perkhidmatan yang lembab atau lemah.

Tidak dinafikan ada waktu tertentu penumpang kurang dan ini menyebabkan pengendali perkhidmatan menyusun jadual yang sesuai tetapi janganlah kekerapan itu mengambil masa menunggu yang terlalu lama.

Contohnya, sistem komuter. Mengambil destinasi Seremban ke Kuala Lumpur. Mengikut jadual perkhidmatan dari Bangi ke KL Sentral, waktunya bermula pada pukul 6.09 pagi diikuti setiap setengah jam sehingga 9.36 pagi.

Selepas itu kekerapannya satu jam sehingga 12.39 tengah hari dan berikutnya 14.04 ; 14.59; 15.54 ; 16.36 ; 17.19 ; 17.50 ; 18.15 ; 19.09; 19.44 ; 20.44 dan 21.54.

Maknanya selepas waktu puncak orang Bangi yang ingin ke Bukit Bintang menggunakan MRT terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan komuter sedangkan keadaan sebaliknya ketika menunggu MRT di Kajang.

Bagi yang tiada kenderaan sendiri di stesen terakhir, mengharapkan bas perantara yang menyambung perjalanan sama ada secara percuma atau berbayar bukan juga mudah. Masa terbuang kerana ‘menunggu’.

Sebaik turun komuter, LRT, MRT atau Monorel belum pasti sudah tersedia bas yang menyambung perjalanan ke destinasi. Jika ada pun menunggu, mungkin satu jam. Apatah lagi apabila sukar mendapatkan teksi atau kadar tambang Grab pula naik.

Sistem yang baik dan pantas apabila turun di mana-mana stesen MRT, LRT, Monorel atau komuter, masa menunggu pengangkutan seterusnya tidak seharusnya melebihi 15 minit. Jika tidak sistem pengangkutan awam kita tidak ke mana, sekadar ada dan jalan raya kita tetap sesak. — BebasNews

Leave a Reply