SINGAPURA — Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengeluarkan arahan kepada semua pemegang sijil halalnya untuk berhenti serta-merta mengimport dan menggunakan produk daging daripada pusat penyembelihan di Australia, Thomas Foods International Lobethal (TFIL).

Menurut kenyataan Facebook MUIS, pihaknya mendapati terdapat sebab yang munasabah untuk merumuskan bahawa kesahihan daging halal daripada pusat penyembelihan TFIL sudah dikompromi.

“Keputusan kami berdasarkan fakta dan pandangan daripada pihak-pihak berkuasa yang berwenang dan diyakini, selepas menjalankan siasatan dengan beberapa pihak terlibat,” kata Sharifuddin Mohamed Ali, Ketua Rangkaian Bekalan Halal MUISbseperti yang dilapor Berita Mediacorp.

Pihak MUIS juga menghubungi pemegang sijil halal yang mengimport daging daripada TFIL untuk mendapatkan sumber-sumber halal alternatif demi memastikan bekalan makanan halal dalam negara tidak terkesan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada masyarakat atas keprihatinan mereka terhadap isu ini,” jelasnya.

Dalam catatannya di Facebook itu juga, MUIS kekal komited untuk mempertahankan dan melindungi integriti serta kesahihan bekalan makanan halal untuk masyarakat Islam Singapura dan akan terus memberikan kemas kini serta nasihat kepada masyarakat berhubung perkara tersebut. — BebasNews

Leave a Reply