ANGKA keputusan yang tidak memberikan gambaran yang adil, kata ketua jurulatih skuad bola sepak Bawah 23 Tahun Malaysia, Bradley Maloney.

Anak-anak buahnya kecundang 4-1 ketika membuka tirai Kumpulan C Piala Asia Bawah 23 Tahun, 2022 di Stadium Lokomotiv, Tashkent, Uzbekistan, semalam.

Warga Australia ini mengakui menentang Korea Selatan memang dijangkakan getir apatah lagi lawan ialah juara bertahan.

“Angka skor tidak memberikan gambaran yang adil. Pasukan kami memberikan persembahan yang membanggakan biarpun kami sudah jangkakan dan diberikan perlawanan yang getir daripada juara bertahan.

MUKHAIRI Ajmal Mahadi menolak masuk jaringan tunggal B23 Malaysia di Stadium Lokomotiv, Tashkent. – Foto FAM

“Pemain-pemain tidak putus asa. Ketinggalan 2-0, mereka kejar malangnya dengan peluang yang terlepas kepada pasukan yang sebagus Korea, mereka menyambar dan menghukum kami,” katanya dalam video sidang media yang diperoleh BebasNews, semalam.

Maloney menambah, anak-anak buahnya masih berdisiplin dalam bertahan untuk memaksa Korea Selatan bekerja lebih keras ketika mendapat gol mereka menerusi jaringan Lee Sang-min selepas setengah jam babak pertama.

BRADLEY Maloney (kanan) bersama bek kanan B23 negara, Quentin Cheng. – Foto FAM

Kim Tae-hwan melebarkan kepada 2-0 pada minit ke-48 sebelum dua gol dijaringkan Cho Young-wook, minit ke-89 dan 90+2.

Kapten B23 negara, Mukhairi Ajmal Mahadi sempat merapatkan jurang 1-2 dengan gol minit ke-83 setelah memanfaatkan hantaran lambung jauh daripada Nik Akif Syahiran Nik Mat.

NIK Akif Syahiran Nik Mat (8) bijak mengumpan untuk gol Malaysia dengan hantaran lambungnya. – Foto FAM

Malaysia akan berdepan Thailand di Stadium Bunyodkor, Tashkent pada Ahad ini yang dalam satu lagi perlawanan Kumpulan C, mengikat Vietnam 2-2 yang mirip ulangan final Sukan SEA Hanoi, 22 Mei lalu.

Dua pertembungan lalu menyaksikan skuad Maloney seri 0-0 dalam Kelayakan Piala Asia B23 di Ulaanbaatar, Oktober 2021 dan menewaskan Thailand 2-1 pada saingan Kumpulan B Sukan SEA yang turut membenarkan khidmat tiga pemain lebih usia.

KESEBELASAN B23 Malaysia berdepan Korea Selatan di Tashkent, Uzbekistan, semalam. – Foto FAM

— BebasNews

Leave a Reply