Corruption loves money. EURO banknote bank bill
Photo by Markus Spiske on Unsplash Gambar hiasan

KHAMIS lalu saya sempat menghadiri program pemantapan wartawan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagi saya program itu berjaya dan cukup membuka mata para peserta.

Selain saya memberi ceramah dalam salah satu slot, saya juga sempat mengikuti satu ceramah yang disampaikan oleh seorang pengarah besar suruhanjaya itu.

Beliau ialah timbalan pengarah siasatan yang menyiasat kes-kes besar membabit rasuah negara termasuk kes pembelian kapal selam Scorpene, yang belum selesai siasatannya; pembelian hotel dan hartanah oleh Felda dan Mara serta banyak lagi kes-kes membabitkan pegawai-pegawai kerajaan.

Bisiknya kepada saya selepas sesinya selesai, “negara kita akan hancur jika gejala tamak haloba ini berterusan.”

Katanya, apa akan jadi dengan anak-anak cucu kita kelak? Apakah Malaysia akhirnya akan jahanam seperti Sri Lanka?

Saya terdiam. Memang saya sedar gejala rasuah, makan duit haram ini terlalu menjadi-jadi di negara ini. Kes rasuah terbesar dalam sejarah negara, telah memporak-perandakan negara sehingga ke hari ini.

Dalam ceramahnya beliau menceritakan salah satu kes yang beliau berjaya selesaikan.

Katanya, ia berlaku secara tidak disengaja.

“Semasa tragedi MH370 hilang, kerajaan mengerahkan kapal-kapal TLDM dari Lumut keluar mencari kapal terbang itu. Tapi kapal-kapal itu tidak dapat belayar kerana banyak kerosakan berlaku. Tandas tak boleh guna dan sebagainya.

“Akhirnya baru timbul cerita, kapal itu tidak diselenggara dengan sempurna. Orang yang dipertanggungjawabkan menyelenggara telah menggunakan alat ganti yang dibuat di Sungai Besi, di Taiping, di Penang — sedangkan tuntutan dibuat dengan alat ganti buatan dari England dan Amerika Syarikat.

“Sepatutnya alat-alat ganti itu perlu diimport dari negara-negara itu. Tapi pandai mereka ciplak di bengkel-bengkel besi di belakang rumah.”

Setelah disiasat didapati, cara hidup pegawai-pegawai itu luar biasa.

Isteri-isteri pula asyik menunjuk-nunjuk dalam Facebook kemewahan mereka. Bercuti Business Class ke sana ke mari.

“Kami memang memerhati di laman-laman media sosial itu. Beli kereta mewah, motosikal besar, barang kemas dan sebagainya.”

Beliau juga berkongsi banyak lagi pengalaman. Perubahan mendadak cara hidup pegawai-pegawai itu sepatutnya disedari oleh orang sekeliling mereka. “Jangan biarkan.”

Beliau menyeru orang ramai jangan takut mendedahkan salah-laku rasuah yang mereka nampak itu kepada SPRM.

“Ini yang saya sedih kerana ramai yang tidak mahu ambil peduli dengan perlakuan salah yang berlaku di hadapan mata mereka,” katanya kepada para wartawan yang mengikuti program itu di Putrajaya.

Saya sendiri pun cukup sedar hal itu. Banyak organisasi kerajaan terutamanya GLC dan badan-badan berkanun termasuk universiti-universiti awam yang besar menyembunyikan perlakuan salah pegawai-pegawai mereka kepada SPRM.

Pihak kepemimpinan organisasi itu malu jika siasatan dilakukan terhadap pegawai dan organisasi terbabit — sedangkan penyalahgunaan kuasa dan harta benda berlaku secara bermaharajalela.

Ada antara kes di sebuah universiti yang membina stadium tetapi didedahkan oleh pemberi maklumat bahawa besi-besi yang digunakan berkualiti rendah dan mudah reput — sedangkan tuntutan pembelian membabitkan besi yang berkualiti tinggi.

Juga ada kes, membina sistem data tetapi sistem itu tidak sempurna, sedangkan jutaan ringgit telah dibelanjakan. Membeli alatan-alatan yang tidak boleh digunakan dan memerlukan perbelanjaan tambahan.

Begitu juga dengan pegawai-pegawai tertinggi yang menggunakan kedudukan mereka menjalankan perniagaan — termasuk membabitkan urusniaga di organisasi mereka sendiri.

Orang begitu tidak tahu malu kerana wang ringgit sudah menjadi hamba mereka. Malangnya, rakan-rakan mereka sendiri dalam organisasi berpakat untuk melindungi antara satu sama lain.

Memang ada gosip-gosip dalam kalangan kakitangan mereka terhadap pegawai-pegawai mereka itu, tetapi ia kemudian dilupakan sahaja kerana takut untuk membuat aduan.

Lebih malang apabila rungutan-rungutan sebegini hanya bermain dan mati dalam laman whatsapp sahaja.

Oleh itu mulai sekarang, marilah seluruh rakyat yang cintakan negara, agama dan bangsa ikut apa yang dikatakan oleh pengarah siasatan SPRM itu. “Jangan takut untuk bongkarkan kegiatan jahat itu.”

Kita akan berdosa besar jika dengan sengaja menyembunyikan perlakuan jahat itu.

Ingatlah, negara akan kembali gilang-gemilang tanpa rasuah.

— BebasNews

Leave a Reply