Noraini (empat dari kanan) berharap lebih banyak program yang diakreditasi akan dipecah kecil dan disenaraikan dalam portal Micro-credentials.

DALAM usaha mempromosi pendidikan fleksibel sebagai satu daripada teras utama bagi mendukung agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) melancarkan Portal Micro-credentials.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, portal itu akan menjadi pusat sehenti dan sumber rujukan utama kepada pelajar serta calon pelajar tempatan mahu pun antarabangsa bagi mendapatkan maklumat mengenai program Micro-credentials yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia.

Beliau berkata, portal itu dijangka akan memberi kemudahan kepada IPT membuat semakan lanjut mengenai Micro-credentials bagi tujuan pemindahan kredit calon pelajar untuk menganugerahkan kelayakan akademik.

Katanya, portal berkenaan akan memperkukuh ekosistem PSH yang mana inisiatif bukan hanya ditumpukan kepada perluasan akses, malah menekankan aspek kualiti bagi maksud memudah cara pengiktirafan kepada pelajar.

Noraini sarankan IPT perkukuhkan kerjasama dan sinergi penawaran Micro-credentials bersama dengan MQA.

“Diharap lebih banyak program yang diakreditasi akan dipecah kecil seterusnya disenaraikan dalam portal ini untuk rujukan semua pihak.

“IPT disarankan untuk memperkukuh kerjasama dan sinergi penawaran Micro-Credentials bersama dengan MQA agar semua garis panduan dan prinsip ekosistem Micro-Credentials dapat diperkukuh berlatarkan kepada Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF),” katanya ketika berucap merasmikan Portal Micro-credentials, di Mercu MQA, di Cyberjaya hari ini (3 Jun).

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Dr. Mohd Zabri Yusoff; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar; Pengerusi Majlis MQA, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran.

Sementara itu, Mohammad Shatar berkata, dalam siri pertemuan pihaknya dengan badan jaminan kualiti antarabangsa di Dubai, India dan United Kingdom (UK) sebelum ini, micro-credentials menjadi topik utama perbincangan.

Beliau berkata, kursus jangka pendek menjadi tunjang kepada permintaan industri dalam ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ sekali gus memberikan petunjuk bahawa micro-credentials ialah pendidikan masa hadapan.

Lebih membanggakan, katanya apabila negara kita menjadi pelopor dan hal ini terbukti apabila Malaysia muncul sebagai carian kedua tertinggi dunia dalam Google Trend mengenai micro-credentials selepas Australia.

“Di peringkat Asia Tenggara pula, barisan eksekutif ASEAN Quality Assurance Network (AQAN) juga sudah mula berbincang mengenai micro-credentials dan sebagai Presiden AQAN, saya percaya Malaysia dan MQA akan menjadi pusat rujukan inisiatif ini.

“Ini akan dapat menarik minat pelajar antarabangsa untuk mengikuti program micro-crentials di Malaysia seterusnya membantu menjadikan negara ini sebagai hab pendidikan global,” katanya. –BebasNews

Leave a Reply