Arul Kanda - Pix via yahoo.com

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi menetapkan 14 Jun ini untuk mendengar permohonan pihak pendakwaan memanggil bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy sebagai saksi perbicaraan kes pindaan laporan akhir pengauditan 1MDB.

Arul Kanda adalah tertuduh dalam kes tersebut kerana turut didakwa bersubahat dengan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meminda laporan audit syarikat itu bagi mengelakkan bekas Perdana Menteri dikenakan tindakan undang-undang.

Menurut Peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed ketika ditemui wakil media di luar mahkamah menjelaskan, Muhammad Shafee memperoleh keputusan Ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) pada Selasa lalu.

“Tarikh pendengaran hari ini dilapangkan. Hakim (Mohamed Zaini Mazlan) mahu mendengar permohonan ini didengar secepat mungkin, jadi satu tarikh tambahan ditetapkan iaitu 14 Jun ini, “ katanya.

Terdahulu Isnin lepas, mahkamah menangguhkan permohonan selepas dimaklumkan bahawa Muhammad Shafee tidak dapat hadir kerana mengalami sakit tekak dan demam.

Sebelum itu, 20 Mei lalu, pihak pendakwaan mengemukakan permohonan lisan agar Arul Kanda dipanggil memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berdasarkan Seksyen 63(1) akta berkenaan, apabila dua tertuduh atau lebih didakwa atas suatu kesalahan, pendakwa raya melalui permohonan bertulis boleh memohon agar salah seorang atau lebih untuk memberi keterangan sebagai saksi untuk pendakwa.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, Arul Kanda mempunyai maklumat penting yang boleh mengukuhkan pendakwaan terhadap Najib.

Jelas Sri Ram, Arul Kanda mempunyai maklumat yang boleh mempengaruhi kes pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri terutama berhubung mesyuarat bertarikh 24 Februari 2016.

Dalam prosiding terdahulu, bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Allahyarham Tan Sri Ali Hamsa dalam keterangan beliau menyatakan, pada mesyuarat penyelarasan yang diadakan pada Februari 2016, atas arahan Najib, terdapat empat perkara yang perlu digugurkan daripada laporan audit tersebut.

Empat perkara yang diarahkan Najib untuk digugurkan adalah mengenai kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho dalam mesyuarat 1MDB dan dua versi laporan kewangan 2014 syarikat itu yang bercanggah.

Walaubagaimanapun, Muhammad Shafee mahukan pihak pendakwaan mengemukakan asas terhadap permohonan tersebut.

Peguam bela menyifatkan permohonan itu sebagai sesuatu yang luar biasa dan pertama kali dalam sejarah.

Muhammad Shafee memaklumkan terdapat kes dan prinsip undang-undang yang menyokong peruntukan permohonan berkenaan yang perlu dihujahkan di mahkamah.

Di dalam kes terbabit, Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. — BebasNews

Leave a Reply