Filem Rompak melakar sejarah kerana memanfaatkan teknologi NFT.

FILEM Rompak melakar sejarah apabila diterbitkan dengan memanfaatkan teknologi baharu NFT (Non-Fungible Token) yang didokong oleh ribuan ahli komuniti yang menjadi pemegang NFT bagi filem ini.

Karya terbitan portal kewangan Intraday.my dengan syarikat produksi 4ward Pictures itu menampilkan barisan pelakon seperti Zizan Razak, Tony Eusoff, Daiyan Trisha, MK K-Clique, Azhar Sulaiman, Ezlyyn, Niezam Zaidi, Siti Khadijah Halim, dan Chubb E.

Malah filem yang mengangkat tema isu penipuan dan ‘scam’ yang seringkali berlaku di kalangan masyarakat negara ini bakal menjadi karya filem pertama di Asia Tenggara yang memanfaatkan teknologi NFT.

Sewaktu majlis tayangan perdana di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur Sabtu lalu, selain dihadiri barisan penerbit dan pelakon utama ia turut dimeriahkan dengan kehadiran ratusan pemegang NFT filem ini.

Pada majlis itu juga telah berlangsung pelancaran iklan digital NFT 3D, runut bunyi lagu filem berkenaan berjudul Tragis dan juga treler filem. Filem Rompak akan ditayangkan di Astro First bermula 16 Jun 2022.

Sesuai dengan arus teknologi dunia masa kini, permintaan terhadap karya seni dalam bentuk NFT semakin meningkat dan penggunaan teknologi berasaskan ‘blockchain’ atau blok rantaian ini semakin mendapat perhatian ramai termasuk selebriti dan jenama terkemuka di dunia.

Moshed Mohamad bergambar bersama-sama dengan NFT komuniti semasa pelancaran filem Rompak, baru-baru ini.

Mungkin ada yang masih kabur, NFT dalam erti kata mudah seperti salah satu bentuk geran yang memberikan hak cipta terhadap aset secara digital. Ia agak popular dalam bentuk perkongsian gambar.

Malaysia turut mengorak langkah menjadikan NFT sebagai dagangan utama yang menyaksikan token digital sebegini membolehkan sesiapa saja menjual dan membeli hak milik aset digital.

Produksi filem Rompak terbitan Intraday.my menjadi yang pertama memanfaatkan NFT dengan utiliti khas kepada pemiliknya dan bukti pemilikan NFT ini disimpan di dalam rantaian blok, menjadikannya “tidak boleh diubah” dan unik sehingga mempunyai nilai tersendiri yang boleh mencecah puluhan ribu ringgit.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Moshed Mohamad berkata, sudah tiba masanya NFT diterima dan diguna pakai di negara kita.

“Dalam erti kata mudah, NFT ini boleh difahami melalui situasi sebegini. Bayangkan ada sebuah karya seni digital yang mempunyai pesona dan tarikan tersendiri tiba-tiba tular dan menjadi perhatian ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif Moshed Tech Sdn. Bhd., Moshed Mohamad.

“Tapi kita tahu, karya digital sebegitu mudah saja ‘dicuri’ sesiapa dengan kepesatan teknologi sekarang. Ada saja pihak yang sewenang-wenang ‘merompak’ tanpa memberikan kredit atau maklumat sumber diperolehi.

“Jadi melalui penggunaan NFT itu, karya seni ini boleh dilindungi dan disifatkan sebagai aset yang ada nilai tersendiri,” kata Moshed.

Tambah Moshed lagi, NFT ini terikat dalam satu kontrak yang berada dalam blok rantaian sampai bila-bila.

Katanya, pengguna atau peminat juga mempunyai hak milik tertentu ke atas karya filem itu bergantung cara pemilikan yang ditentukan pihak penerbitan.

“Umpama orang guna barang ‘rare’ atau barang koleksi edisi terhad. Barang itu tentunya asli dan kita boleh menjejaki siapa pemilik asalnya menerusi NFT. Blok rantaian itu pula dilihat seperti kod di mana orang luar dapat lihat dan tahu ia kepunyaan siapa.

“Seperti projek filem Rompak, kita keluarkan NFT yang dipanggil sebagai pemegang projek. Bererti mereka yang menyokong filem ini, kita boleh kesan mereka.

Barisan pelakon dan tenaga kerja filem Rompak akan ditayangkan di Astro First mulai 16 Jun ini.

“Sebagai contoh, kita jual 1000 saham atau pegangan sebelum ini tanpa boleh tahu siapa mereka. Tapi sebaliknya dengan NFT kita boleh tahu. Mereka yang beli dan memiliki NFT filem ini juga dapat merasakan ia seperti karya kepunyaan mereka. Malah mereka juga mendapat manfaat termasuk keuntungan 20 peratus daripada royalti filem apabila ia ditayangkan nanti,” katanya.

Moshed menambah, menerusi NFT ini juga boleh mencetuskan revolusi baharu buat pengkarya seni untuk mempelbagaikan pendapatan daripada karya filem dihasilkan.

“NFT diperkenalkan juga untuk mendidik orang ramai sebagai ‘financial market media’ untuk melakukan benda yang diterima ramai. Kita mahu mendidik mereka yang menonton filem ini untuk sertai NFT.

“Kita mahu wujudkan komuniti ini dengan mengajar dan mendedahkan mereka fasal NFT sekitar tiga keempat bulan. Bukan sekadar ‘melabur’ beli NFT begitu saja, tapi kita mahu mereka memahami ilmu dan kepentingannya. Kita mulakan dengan projek filem ini sebagai mukadimah. Kita sasar 50,000 komuniti NFT ini di Malaysia dapat diraih dalam masa terpantas,” katanya.

Katanya lagi, menerusi Intraday, pelbagai instrumen seperti kadar tukaran saham, pembelian emas dan pelaburan lain mahu disebar luaskan.

“Harus diingat NFT ini satu teknologi yang berdasarkan kadar tukaran wang. Mungkin dua ketiga tahun lagi, akan lebih ramai faham apa yang cuba kita lakukan menerusi NFT ini.

NFT Komuniti di tayangan perdana filem Rompak.

“Macam harga filem Rompak ini dijual berdasarkan harga penawaran pasaran. Kita buka harga pengenalannya dengan pelbagai peringkat termasuk ‘private sale’ , ‘pre-sale’ dan ‘public sale’.

“Sebagai contoh, beli dengan harga RM400 secara ‘private’. Tapi apabila ia dibuka umum, harga itu boleh mencecah ke RM1000. Komuniti yang membelinya boleh meletakkan RM1000 sebagai harga lantai,” katanya.

Moshed berkata lagi, teknologi NFT ini menggabungkan banyak benda seperti sebuah pusat dagangan pasaran saham.

“Contohnya apabila membeli sesuatu benda dengan harga tertentu, pasti ada turun naik. Semua boleh berpakat tak mahu menjualnya dengan harga rendah.

“Makin lama, harga itu akan melambung naik. Kita juga akan memperkenalkan projek seterusnya yang menjadikan NFT sebagai utiliti.

“Sesiapa yang membeli Rompak secara NFT juga berpotensi untuk mendapat peluang membeli dengan harga murah untuk projek seterusnya,” katanya.

Jualan unit-unit NFT untuk filem Rompak sejak dilancarkan pada sesi ‘private sale’ pada Januari lalu sehingga sekarang telah mencecah RM1 juta terkumpul. Kepada mereka yang ingin mendapatkan NFT filem Rompak boleh layari intradaynft.io sekarang. — BebasNews

Leave a Reply