Pix - Din Jerman/BebasNews

POLITIK Peribumi, Melayu dan Islam yang sedang terumbang-ambing pada hari ini amat memerlukan pemimpin yang tegas, jujur, ikhlas dan berfikiran strategik demi rakyat dan negara.

Kepimpinan seperti ini sangat diperlukan untuk menangani budaya siasah Peribumi, Melayu dan Islam yang kelihatan sedang rosak akibat gejala rasuah, gila kuasa dan keruntuhan akal-budi yang kian berleluasa.

Ia juga sangat diperlukan untuk memulihkan kestabilan politik, mencergaskan semula pembangunan sosioekonomi yang lumpuh akibat serangan Covid-19, dan memulihkan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia.

Keperluan yang mendesak ini menyebabkan beberapa pihak menyambut baik cadangan penyatuan dan pengukuhan kuasa politik Peribumi, Melayu dan Islam diadakan segera sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Tetapi, mereka menjangka usaha ini akan gagal jika pembesar politik Peribumi-Melayu-Islam terus bercakaran dan menganggap rakyat seperti lembu cocok hidung yang boleh mereka pergunakan demi kepentingan peribadi.

Ada juga yang berpendapat, usaha ini mungkin gagal dan PRU15 mungkin menyaksikan keruntuhan kuasa politik Peribumi, Melayu dan Islam yang lebih parah berbanding PRU14.

Lantas, mereka mendesak agar pihak yang mempelopori cadangan di atas baru-baru ini, bertindak tanpa penglibatan sebarang pemimpin politik Peribumi-Melayu-Islam; sebaliknya hanya melibatkan seluruh pertubuhan akar umbi Peribumi-Melayu-Islam dari Perlis sampai ke Sabah.

Penganjur yang seharusnya didukung oleh para ilmuan pelbagai disiplin ini perlu menyediakan kertas kerja ringkas, padat dan menyeluruh, untuk merincikan penyatuan kuasa politik Peribumi, Melayu dan Islam dari sudut agama, keselamatan, politik, sosioekonomi, perpaduan dan pembinaan negara.

Kertas kerja ini perlu dibentangkan kepada wakil pelbagai pertubuhan akar umbi di seluruh negara untuk membolehkan mereka membuat rumusan dan perakuan ke arah penyatuan dan pengukuhan kuasa politik yang direncanakan.

Seluruh pembesar politik yang waras hanya dilibatkan untuk menghalusi seluruh rumusan dan perakuan ini di peringkat akhir usaha tersebut.

Rumusan dan perakuan ini juga wajar dirundingkan dengan wakil pertubuhan bukan Melayu yang tidak cauvinis, khususnya komponen Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), untuk mendapatkan perspektif kepelbagaian bangsa, agama dan kepentingan.

Tindakan ini penting kerana perkongsian kuasa politik dengan bukan Melayu yang rasional adalah kunci utama kepada kelangsungan dan keselamatan nasional Malaysia.

Setelah itu, rumusan dan perakuan ini perlu disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk mendapatkan restu serta perkenan mereka.

Tindakan di atas juga hendaklah digandingkan dengan pelbagai pendekatan akar umbi yang tersusun, terselaras, bersepadu dan berkesan; termasuklah menerusi strategi berikut.

Satu, menerusi desakan dan kata-dua daripada pertubuhan rakyat akar umbi kepada semua pemimpin yang sudah terpalit dengan tuduhan rasuah supaya mereka berehat dan tutup mulut rapat-rapat.

Dua, menerusi kecaman pertubuhan akar umbi kepada semua pemimpin dalam kategori di atas, jika mereka terus menegakkan benang basah atau menggunakan politik untuk menyelamatkan tengkok masing-masing.

Tiga, menerusi desakan dan kata-dua daripada pertubuhan akar umbi kepada pihak berkuasa supaya pemimpin di atas tidak lagi dicalonkan dalam PRU15, dan mereka akan dipulaukan jika terus bertanding dalam PRU tersebut.

Empat, menerusi desakan dan kata-dua daripada pertubuhan akar umbi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) supaya bakal-bakal calon PRU15 disaring secara tuntas, tegas dan menyeluruh.

Lima, menerusi ledakan suara pertubuhan akar umbi yang dizahirkan secara berhemah, berwibawa dan berterusan; bahawa mereka mungkin tidak akan keluar mengundi jika golongan politik yang songsang dan bermasalah terus dicalonkan dalam PRU15.

Pendekatan di atas dikemukakan supaya PRU15 dijadikan proses untuk menyingkirkan seluruh pemimpin Peribumi, Melayu dan Islam yang songsang, rasuah dan rendah akal-budinya.

Pendekatan ini juga diketengahkan supaya pengundi akar umbi boleh menggunakan kuasa demokrasi mereka untuk memperkasakan kuasa politik Peribumi, Melayu dan Islam menerusi PRU15, demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

Ini kerana kekuatan kuasa politik Peribumi, Melayu dan Islam adalah strategik kepada kemantapan politik negara, kepada perpaduan rakyat, kepada kemakmuran ekonomi, dan kepada keselamatan nasional Malaysia.

Rumusannya yang pertama adalah, proses penyatuan kuasa politik Peribumi, Melayu dan Islam mesti disegerakan penganjurannya. Kedua, usaha penyatuan ini perlu dilaksanakan oleh para ilmuan pelbagai bidang dengan kerjasama pertubuhan akar umbi dari Perlis sampai ke Sabah. Tiga, usaha penyatuan ini jangan sekali-kali melibatkan mana-mana pemimpin politik.

Empat, penyertaan wakil pertubuhan bukan Melayu perlu turut dilibatkan. Lima, rumusan dan perakuan mengenai penyatuan politik ini perlu dipersembah dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Lima, PRU15 mesti dijadikan proses untuk menyingkirkan seluruh pemimpin yang songsang, bermasalah dan rasuah. Enam, para pengundi dalam PRU15 perlu menggunakan kuasa demokrasi mereka secara strategik, bijaksana dan berkesan. — BebasNews

Leave a Reply