NOOR Azizah bersama P. Ramlee dalam filem "6 Jahanam.'

Foto SYED YUSOF WAFA

SEJAK akhir-akhir ini stesen televisyen tempatan kerap menayangkan filem “6 Jahanam” arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee terbitan Studio Merdeka, Hulu Kelang.

Filem terbitan tahun 1969 yang menampilkan Seniwati Datin Noor Azizah,75, sebagai Masmera dan Mastika secara tidak langsung mengingatkan para peminat filem Melayu kepada pelakon berwajah cantik ini yang pernah muncul dalam dua babak filem “Dayang Senandong” dan pernah menjadi pujaan ramai pada zaman kegemilangan filem Melayu, Studio Jalan Ampas, terbitan Shaw Brothers di Singapura.

Bukan itu sahaja, malah filem “6 Jahanam” buat pertama kalinya menggandingkan beliau dengan P. Ramlee sebagai Tantari yang menuntut bela diatas kematian isteri, Masmera yang dibunuh oleh enam jahanam.

Tantari dengan dibantu Damburi (Yusof Latiff) menghapuskan enam jahanam akhirnya mengahwini adik Damburi, Mastika (adik kembar Masmera) dan anak kepada Mahaguru Sanggabuana (Idris Hashim) yang pernah mengajarnya ilmu pendekar.

Filem “6 Jahanam” sememangnya meninggalkan kenangan kepada Noor Azizah kerana buat pertama kalinya berpeluang berlakon dengan P.Ramlee dalam filem arahan pengarah yang telah mencipta nama besar dalam industri filem Melayu di Singapura dan meraih beberapa anugerah di luar negara pada tahun 1960an.

NOOR AZIZAH

Bagi Noor Azizah berlakon dibawah arahan P. Ramlee melengkapkan ‘direktori’ perjalanan beliau sebagai anak seni berlakon dibawah empat pengarah hebat filem Melayu ketika itu bermula dengan Allahyarham Datuk Jamil Sulong (Dayang Senandong – 1965) Allahyarham S. Kadarisman (Sri Andalas -1966), Allahyarham Omar Rojik ( A Go Go ’67) dan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin ( Di Belakang Tabir – 1969)

Bagaimanapun bagi Noor Azizah berlakon dibawah arahan P. Ramlee begitu bermakna dalam mewarnai perjalanan hidupnya sebagai ‘anak wayang.’

Noor Azizah yang pernah berlakon dalam tiga filem arahan P.Ramlee iaitu “6 Jahanam” (1969), “Dr. Rushdi (1970) dan “Jangan Tinggal Daku” (1971) ketika ditemui Khamis lalu bercerita;

“Semasa berlakon di Shaw Brothers (SB) saya bukan sahaja tidak berpeluang berlakon di bawah arahan P. Ramlee malah tidak pernah berjumpanya.

“Bagaimanapun apabila Studio Jalan Ampas ditutup dan P. Ramlee berhijrah ke Merdeka Studio, Jaafar Abdullah (Allahyarham) yang pernah bertugas di bahagian penerbitan Shaw Brothers memujuk saya berlakon dalam filem arahan P. Ramlee terbitan Merdeka Studio (yang juga milik Shaw Brothers bersama Shah Motel).

“Saya terima tawaran itu kerana beliau adalah ‘family friend’ dan setiap kali ayah adakan parti P. Ramlee akan datang bermain piano dan waktu itu saya masih bersekolah.

“Bagaimanapun setelah 49 tahun beliau meninggal dunia sehingga hari ini saya tidak dapat melupakan pengalaman berlakon di bawah arahan beliau sejak hari pertama di set penggambaran ‘6 Jahanam.’ Sebabnya para kru sentiasa mengingatkan saya agar ‘berhati-hati’ terutama bila hari Jumaat apabila beliau sudah mula mengecilkan matanya (sepet) itu tandanya beliau ‘badmood’ dan bersedia untuk dimarah.

“Alhamdulillah saya tidak pernah dimarah kerana seingat saya sepanjang penggambaran walaupun dialognya panjang saya tidak pernah lupa dialog. Iyalah ketika itu masih muda dan ingatan pun bagus.

“Bukan itu sahaja, malah saya difahamkan tidak ada seorang pun kru atau pelakon yang berani duduk di kerusi beliau tetapi saya buat tak tahu. Apabila tengok beliau tidak duduk di ‘director chair’ warna purple miliknya dengan bersahaja saya duduk walaupun sebagai pelakon kami sudah disediakan kerusi sementara menunggu penggambaran babak kami.

“Allahyarham tidak marah malah mendiamkan diri mungkin sebab beliau kenal keluarga saya. Tetapi jika orang lain dah kena denda. Dendanya senang sahaja iaitu belanja kopi ‘O’ ice kerana itulah minuman kegemaran beliau.”

NOOR AZIZAH

Noor Azizah memberitahu walaupun beliau sengaja ‘suka menyakat’ P. Ramlee dengan duduk di ‘director chair’nya namun beliau amat menghormati dan mengagumi pengarah berkenaan yang sentiasa mengambil berat dengan mereka yang terlibat di belakang tabir.

“Setiap hari bila sampai sahaja di set beliau tidak terus memulakan penggambaran sebaliknya beliau suka bergurau, ketawa dan bagi macam-macam pantun. Bila tengok semua happy barulah penggambaran di mulakan.

“Saya kagum dengan P.Ramlee bukan setakat ideanya malah beliau mempunyai ‘keistimewaan’ tersendiri. Pernah ketika mahu memulakan penggambaran babak bergaduh pelakon tambahan banyak gangster dan hampir nak bergaduh dengan S. Kadarisman. P. Ramlee ambil sebatang mancis saya tak tahu apa yang dibaca kemudian diletakkan ditepi sambil beritahu saya selagi mancis ini tidak dipatahkan selagi itulah mereka hanya berperang mulut dan tidak akan bertumbuk. Itulah keistimewaan dan kelebihan P. Ramlee.”

Apabila ditanya apakah panggilan beliau terhadap Allahyarham P. Ramlee, Noor Azizah berkata;

“Disebabkan beliau adalah ‘family friend’ dan saya kenal sejak zaman sekolah, saya panggil beliau Uncle Remy dan beliau panggil saya Noor. Ada satu kegemaran P. Ramlee yang mungkin ramai tak tahu iaitu beliau suka makan sireh yang dijual oleh orang india di sebelah Panggung Coliseum di Jalan Tunku Abdul Rahman. Sireh itu memang sedap rasanya lemak manis sebab dicampur dengan gula dan kelapa. Selalunya beliau beli tiga bungkus dan saya ambil satu sebab dengan campuran kelapa dan gula, sireh itu memang sedap dan mengasyikkan.”

ALLAHYARHAM Jamil Sulong dan S. Kadarisman

Ditanya mengenai pengalaman bekerja bersama pengarah lain Noor Azizah memberitahu;

“Allahyarham Pak Jamil seorang pengarah yang baik dan bersopan santun, pendiam, merendah diri serta penyabar. Kalau tidak mana mungkin untuk mengambil satu shot saya sebagai Puteri Mawarni (Dayang Senandong) tersenyum malu-malu hampir setengah hari baru siap itupun Pak Jamil ambil secara curi-curi tanpa beritahu saya.

“Allahyarham S. Kadarisman nampak garang tetapi baik. Walaupun pendengarannya ada masalah dan saya suka bergurau dengan mengusiknya tetapi beliau adalah seorang pengarah yang banyak membantu. Apa yang melucukan apabila saya bercakap kuat beliau tidak mendengar tetapi apabila bercakap perlahan tiba-tiba beliau akan bersuara…aku dengar tu Noor! Begitulaj kami yang suka bergurai di set penggambaran dengan beliau.

ALLAHYARHAM Omar Rojik dan Jins Shamsuddin.

“Sementara Allahyarham Omar Rojik adalah seorang pengarah paling pendiam dan pemalu. Setiap kali mahu memberi arahan kepada saya beliau tidak pernah bercakap sendiri sebaliknya melalui Penolong Pengarahnya. Saya pernah beritahu P.Ramlee tetapi begitulah Allahyarham dengan saya.

“Sementara Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin terlalu tegas. Hitam kata dia hitamlah! Saya selalu bergaduh di set ketika berlakon filem arahannya “Di Belakang Tabir” ada babak saya dah mati penggambaran di Hospital Assunta, beliau nak gunakan darah betul masukkan ke tangan saya, saya tak mahu lagipun filem hitam putih. Tetapi itulah Jins Shamsudin!”

NOOR Azizah dalam satu babak filem Indonesia “Malin Kundang” yang diterbitkan pada tahun 1971. Filem ini turut dibintangi Rano Karno dan Fifi Young.

Bercakap mengenai pengalamannya berlakon filem Indonesia “Malin Kundang,” kata Noor Azizah;

“Macam-macam rumours yang saya dengar kononnya apabila balik nanti nama saya akan disenaraihitamkan kerana berlakon filem Indonesia arahan D. Djajakusuma yang turut dilakonkan oleh Rano Karno, Fifi Young dan Puti Wijaya. Saya bersyukur bila balik ke Malaysia saya masih ditawarkan berlakon filem “Sayang Anakku Sayang, Cinta dan Lagu dan Pendekar.”

Apabila ditanya andaikata jika diundang sebagai ‘cameo’ dalam filem sambil ketawa kecil, Noor Azizah yang kini hidup bahagia disamping suami, Datuk Nik Hussein Nik Ali, 90, dan dua anak, Khairena, 36, Khairy Azri, 32, dan isteri, Nur Zulaikha dan anak, Khaiza, tiga tahun setengah, berkata;

“Walaupun dibayar mahal tidak mungkin saya terima sebab saya selesa hidup sebagai suri rumah apalagi penggambaran filem sekarang tidak sama seperti dahulu. Saya pernah lalui pada tahun 2000 untuk satu babak saya terpaksa menunggu sampai 4.00 pagi masih tak selesai! Taubat saya!

NOOR AZIZAH

“Dahulu penggambaran di studio. Pukul 8.00 pagi kami dimekapkan. Pukul 9.00 pagi loceng dibunyikan kami masuk set. Pukul 12.00 tengahari loceng berbunyi tanda rehat kemudian pukul 1.00 petang masuk studio dan pukul 5.00 petang loceng dibunyikan menandakan penggambaran dihentikan. Sama ada habis atau tidak babak berkenaan memang kami ‘stop’ dan shooting akan disambung esok. Itulah kenangan indah bagi kami anak wayang ketika itu yang ‘bekerja’ ikut waktu pejabat.”

– BebasNews

Leave a Reply