
KETIADAAN perantara naturalisasi, Liridon Krasniqi menimbulkan kejutan apabila skuad 23 pemain Harimau Malaya bagi kempen pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia Kumpulan E, diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini.
Turut diketepikan bersama-sama bekas pemain Kosovo itu ialah penyerang veteran, Norshahrul Idlan Talaha atau turut dikenali sebagai Matyo, Kogileswaran Raj Mohana Raj, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Afiq Fazail dan Shahrul Nizam Ros Hasni.
“FAM mengucapkan terima kasih atas komitmen yang telah diberikan para pemain ini sepanjang kem latihan pusat sejak 20 Mei lalu.

“Pemain yang tidak terpilih ini, tetap akan berada dalam senarai bersedia sekiranya penggantian pemain perlu dilakukan,” lapor FAM dalam laman sesawang rasminya.
Antara enam pemain ini, hanya Mat Don (julukan Liridon), 30, yang masuk sebagai pemain gantian minit ke-46 ketika Malaysia membenam Brunei 4-0 dalam perlawanan persahabatan tahap 1 antarabangsa di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 27 Mei lalu.
Dia walau bagaimanapun sekadar memanaskan bangku simpanan skuad negara yang menewaskan Hong Kong 2-0 menerusi jaringan penalti Safawi Rasid dan sepakan bebas Safiq Rahim di stadium itu, Rabu lalu.

Skuad kendalian Kim Pan-gon ini akan menghadapi Turkmenistan pada Rabu ini, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) di stadium sama untuk memburu tiket pusingan akhir Piala Asia, tahun depan.
Muka baharu skuad negara kali ini ialah penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang turut memintas Kalamullah yang pernah disenaraikan dalam Piala AFF, Disember lalu dan persahabatan Siri Tiga Negara menentang Filipina (menang 2-0) dan Singapura (kalah 2-1), Mac lalu.
Turut menambat hati Pan-gon, warga Korea Selatan ini ialah bek kiri PJ City FC, V. Ruventhiran yang mengumpan gol pertama tandukan Syafiq Ahmad menerusi sepakan sudut ketika menewaskan Brunei.

HARIMAU MALAYA DALAM KELAYAKAN PIALA ASIA
Farizal Marlias, Khairulazhan Khalid, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (penjaga gol), Shahrul Saad, La’Vere Corbin-Ong, Matthew Davies, V. Ruventhiran, Ahmad Khuzaimi Piee, Dominic Tan, Dion-Johan Cools, Junior Eldstal (benteng), Nazmi Faiz Mansor, Syamer Kutty Abba, Safiq Rahim, Nor Azam Azih (perantara), Mohamadou Sumareh, Akhyar Rashid, Safawi Rasid, Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim (sayap), Guilherme de Paula, Syafiq Ahmad, Darren Lok (penyerang). — BebasNews

[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.