BERIKUT ialah kenyataan media yang dikeluarkan Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill yang dikirim kepada BebasNews, hari ini.
Kenyataan ini ialah susulan mesyuarat Majlis PKBM di Melaka, semalam yang meluluskan undi sebulat suara menyokong penuh kepemimpinan Presidennya, Datuk Abu Samah Abd Wahab yang terpalit insiden perbicaraan tuduhan rasuah.
Mesyuarat itu dihadiri 16 Ahli Majlis yang menuntut diadakan undi percaya terhadap Abu Samah bagi memastikan kepemimpinan PKBM tidak terganggu akibat perbicaraan kes rasuah yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Amarjit berkata, beliau telah mengemukakan usul undi percaya terhadap Abu Samah yang mula menjadi Presiden PKBM pada 26 Februari 1990 dan disokong oleh Timbalan Presiden PKBM, Yunus Ibrahim dan Ahli Majlis dari Kedah, Zaim Ahmad.
“Majlis sebulat suara menyokong dan mahukan Abu Samah meneruskan tugasnya sebagai Presiden sehingga perbicaraan SPRM selesai.
“Kami menyokong penuh dan menghormati jasa beliau yang terlalu banyak kepada PKBM sejak 1990,” kata Amarjit dalam kenyataan itu.

Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA) semalam dituduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka di bawah dua tuduhan menggunakan jawatannya bagi memperoleh suapan dengan memilih syarikat keluarga berkaitan sewaan kenderaan logistik dan penginapan atlet berbasikal bernilai keseluruhan RM48,811.85 dalam tempoh 2013-2019.
Beliau tidak mengaku salah dan memohon pertuduhan dibicarakan.
Amarjit yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) berkata, “menuduh seseorang di mahkamah itu satu perkara tetapi kita harus ingat seseorang itu tidak bersalah sehingga beliau didapati bersalah oleh mahkamah.
“Jadi, biarlah proses mahkamah berjalan dan kita hendak lihat saksi-saksi yang akan tampil ketika perbicaraan berkenaan,” katanya.
Hampir semua ahli Exco PKBM katanya, telah dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut sejak 2020.
“Kami telah memberi kerjasama penuh kepada SPRM sejak 2020. Kami telah menjelaskan bahawa semua keputusan melibatkan pertuduhan berkenaan, telah mendapat kelulusan mesyuarat Exco PKBM,” katanya.

Turut hadir Naib Presiden 1 PKBM, Firdaus Arshad.
Yunus pula menjelaskan, PKBM memerlukan kepemimpinan Abu Samah kerana persekutuan akan menganjurkan beberapa kejohanan besar termasuk Kejohanan Lumba Basikal BMX Asia ACC 2022 di Nilai, Negeri Sembilan.
“Kejohanan ini akan diadakan pada Ogos ini dan beliau ialah Naib Presiden Kehormat ACC. Jadi eloklah kalau kita biarkan semua kejohanan ini berjalan lancar tanpa sebarang isu,” katanya. — BebasNews

[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.