KETUA jurulatih skuad Bawah 23 Tahun Malaysia, Bradley Maloney mengakui anak-anak buahnya hanya mampu mengawal permainan dalam 20 minit pertama sedangkan Thailand berhak mendapat pujian atas kemenangan 3-0 dalam pertemuan Kumpulan C Piala Asia Bawah 23 Tahun itu, semalam.
Beliau juga menganggap tersingkirnya skuad belia negara lebih awal selepas dua perlawanan sahaja, amat mengecewakannya apatah lagi mereka masih gagal membolosi gawang lawan selain sudah dibolosi sebanyak tujuh kali.
Lenyap dengan kekalahan kedua ini ialah tiket suku akhir sebagai antara dua pasukan teratas kumpulan yang turut menjadi sasaran warga Australia ini.
“Nasib tidak baik itu satu hal. Satu hal lagi, ada kesilapan benteng kami yang melepaskan gol.
“Kami mengawal 20 minit pertama permainan (namun) pada akhirnya Thailand yang berhak dipuji kerana menang.
“Apabila ketinggalan, kami perlu kejar kedudukan untuk dapatkan mata minimum (sedangkan) Thailand menyambar peluang kerana ruang yang kami dedahkan.
“Itulah yang akan dilakukan pasukan yang bagus. Pada akhirnya, kami yang tidak cukup bagus,” kata Maloney dalam video sidang media, semalam yang diperoleh BebasNews.

Di Stadium Bunyodkor, Tashkent, Uzbekistan itu, Thailand memperoleh gol-golnya menerusi Suphanat Mueanta pada minit ke-23 dan 73 serta satu lagi oleh Channarong Promsrikaew (69).
Skuad B23 negara kini di anak tangga corot kumpulan tanpa sebarang mata termasuk selepas dibenam juara bertahan, Korea Selatan 4-1 pada Khamis lalu.
Mereka hanya akan melengkapkan jadual perlawanan terakhir dengan Vietnam di Stadium Lokomotiv, Tashkent pada Rabu ini (9 malam waktu Malaysia).
“Saya tidak fikir lagi untuk menentang Vietnam. Saya perlu menilai semula kumpulan pemain kami sebelum bersedia bagi perlawanan berikutnya.
“Tiada kecederaan yang besar bagi kami, mereka hanya penat dan saya akan cuba buat perubahan taktikal,” katanya.

Vietnam, pemenang pingat emas Sukan SEA 2022 di Hanoi, baru-baru ini, masih mengintai tiket suku akhir biarpun hanya mengumpul dua mata setelah mengikat Korea Selatan dan Thailand 1-1 (semalam dan Khamis lalu).
Ditanya sama ada akan terus bersama pasukan belia negara menghadapi Kelayakan Olimpik kata Maloney, “saya fikir begitulah (tetapi) belum terlintas pada fikiran saya.
“(Ini) sesuatu yang perlu dibincangkan dengan pengurusan (Persatuan Bola Sepak Malaysia – FAM) apabila kami balik.”


[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.