Gambar hiasan - Foto blogspot.com

SANA-sini spekulasi bila pilihan raya bakal diadakan menjadi bahan perbincangan formal dan informal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa Konvensyen Barisan Nasional (BN) 1 Jun lalu dilaporkan berkata akan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 apabila BN sudah bersedia.

Sememangnya menjadi hak istimewa Perdana Menteri untuk memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Dewan Parlimen bagi membolehkan mandat baharu diperoleh daripada majoriti rakyat Malaysia.

Soalnya adakah saranan pucuk pimpinan parti UMNO atau Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar PRU-15 segera diadakan bertepatan dengan kehendak semua ahli di akar umbi. Bagi mereka kesukaran mencari kerja dan kos barang yang meningkat lebih penting dari segala-galanya.

Perlukah, isu Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa tidak bangun ketika Ahmad Zahid berucap tentang keperluan mengadakan PRU-15 segera sewajarnya tidak digembar-gemburkan seolah-olah BN tidak sebulat suara dalam menghadapi proses demokrasi tersebut.

Begitu juga pandangan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar agar pelaksanaan PRU-15 ditangguhkan beberapa bulan lagi sehingga fasa peralihan endemik ketika ini berjaya membuktikan tiada gelombang baharu yang serius.

Khairy Jamaluddin berkata, banyak faktor perlu diteliti selain gesaan untuk mengadakan PRU-15 dalam masa terdekat ini juga bukan desakan rakyat, sebaliknya lebih kepada desakan parti politik.

Soalnya pada saat ini desakan untuk PRU-15 diadakan bukan disebabkan oleh saranan Ahmad Zahid mahupun pemimpin UMNO lain semata-mata.

Kesesuaian masa untuk PRU-15 diadakan disebabkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) terutama DAP dan PKR baru sahaja bertukar tampuk kepimpinan dan sedang mengatur kekuatan dalaman sesama kepimpinan baharu.

Kekalutan yang dibuat-buat lebih kepada kepentingan masing-masing.

Sedangkan UMNO telah berada dalam satu saf sejak lebih tiga tahun lalu, berjuang bersama di beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) demi memperoleh mandat baharu untuk mentadbir negeri mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.

Majoriti besar 15,086 PRK Parlimen Tanjung Piai yang diperoleh BN tiga tahun lalu, bukan omong kosong tetapi titik peralihan perjuangan sebenar untuk kembali meraih sokongan rakyat sehingga kini.

Walau apa pun disebut oleh pemimpin politik BN mahupun penganalisis politik bahawa momentum sekarang sesuai untuk PRU-15 segera diadakan, yang pasti rakyat sebagai pengundi perlu menjadi hakim bukan sekadar membantah dalam diam hingga menyebabkan masa depan mereka sendiri menjadi gelap.

Pada pengakhirannya masa yang sesuai untuk PRU-15 terletak pada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk menasihati Yang Dipertuan Agong.

Hingga saat itu tiba, teruskan perjuangan masing-masing demi kelangsungan nyawa politik mahupun denyut nadi untuk terus berdetik. — BebasNews

Leave a Reply