ATM - Pix via Blogspot.com

KUALA LUMPUR — Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengadakan perhimpunan secara aman selepas lapan tahun cuba menegakkan hak mereka mengikut saluran betul.

Menurut pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Meor Rosli Meor Mohd. Jaafar, desakan yang mereka zahirkan bukanlah bermotifkan politik dan tindakan mereka bertujuan untuk mendapatkan tumpuan Kementerian Pertahanan supaya tidak terus mengetepikan hak veteran ATM.

“Saya telah berjumpa ramai ahli politik serta pemimpin tidak kira dalam kerajaan ataupun pembangkang, namun di sini saya hari ini masih berjuang menegakkan hak kami.

“Kami adalah kumpulan yang tidak mempunyai kaitan dengan politik. Sekitar 330,000 veteran yang masih dinafikan hak mereka dan daripada jumlah itu, sekitar 135,000 yang tidak mempunyai pencen.

“Perhimpunan hari ini bukan satu bentuk ugutan terhadap Kementerian Pertahanan tetapi sudah lapan tahun saya menggunakan saluran betul untuk perjuangan ini tapi tiada hasil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Tugu Negara hari ini.

Pihak Veteran ATM mengemukakan tiga tuntutan utama iaitu penyelerasan pencen, pemberian pencen kepada veteran yang tidak menerima pencen dan buka ruang untuk beri pengampunan kepada veteran ATM supaya mereka dapat menerima pencen serta diiktiraf sebagai veteran.

Dalam perhimpunan secara aman itu, dianggarkan 500 veteran hadir, malah terdapat juga orang awam turut serta bagi bersolidariti bersama bekas-bekas perajurit negara.

— BebasNews

Leave a Reply