ROZITA Ramelan bersama pes Ratu Tumis Gulai, Sup, Sambal dan Asam Pedas.

PERTAMA kali bertemu figura ini saya terkesima seketika. Sebabnya ketika itu saya sendiri tertanya-tanya dengan kecantikan yang dimilikki dan kulit mulusnya yang mempesonakan, saya cuba mencari jawapan mengapa beliau memilih menghasilkan pes masakan Ratu Tumis.

Sebabnya beberapa wanita cantik yang pernah saya temui sebelum ini lebih suka menghasilkan produk kecantikan bukan sahaja ia merupakan keperluan dalam membantu penampilan mereka malah ia dianggap lebih glamour dan pasti mendapat sambutan ramai.

Tetapi tidak bagi figura ini, Ketua Pengarah Eksekutif yang juga pengasas Rasa Rosz Sdn Bhd., Datuk Sri Rozita Ramelan yang mempunyai sebab tersendiri mengapa Ratu Tumis menjadi pilihan beliau dalam mempelbagaikan rangkaian perniagaannya.

ROZITA RAMELAN

Majlis pelancaran Ratu Tumis mempunyai empat jenis pes iaitu Ratu Tumis Sambal, Sup, Asam Pedas dan Gulai telah berlangsung di Restoran Rebung baru-baru ini dengan dihadiri bukan sahaja rakan perniagaan dan sahabat handai, para artis veteran antaranya Aznah Hamid, Datuk Wazata Zain, Zaiton Sameo, Zalifah Ibrahim, Siti Aishah (Margaret Gan), Mak Jah dan Datuk Jeffridin malah turut diserikan dengan kehadiran ayahnya, Ramelan Lamijan dan isteri, Kamsiah Saad berserta adik beradik dan keluarga mereka yang sentiasa menyokong usaha murninya.

Rozita Ramelan, isteri kepada Datuk Mohd. Omar Mustapha dan ibu kepada lima orang anak, Ziad Iman,20, Iman Fatimah,17. Mawar Mikaila, sembilan tahun, Muhammad Fayyadh Ajmal, enam tahun dab Maiya Melati, empat tahun, ketika ditemui selepas majlis berkenaan baru-baru ini apabila ditanya mengapa memilih Ratu Tumis dengan tenang namun penuh yakin berkata;

“Ratu Tumis banyak mempengaruhi perjalanan hidup saya sejak zaman kanak-kanak kerana ketika usia saya sembilan tahun saya sudah pandai memasak.

“Memasak menyelamatkan saya dan adik beradik daripada lapar. Saya bukan dilahirkan dalam keluarga mewah kerana ayah adalah seorang penoreh getah sebelum menjadi guru.

“Setiap hari saya harus memasak untuk kami sekeluarga demi menjimatkan duit dan saya biasa berniaga makanan untuk menambah pendapatan sampingan.

“Jika kanak-kanak lain pada usia sembilan tahun mungkin maaih bermain dengan kawan-kawan tetapi saya sudah pandai memasak pelbagai lauk pauk untuk keluarga kerana bonda saya sejak lahir mempunyai masalah jantung dan sering keluar masuk hospital dan ayah yang menjaga bonda.

“Walaupun keluarga kami tidak mewah tetapi saya dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan penuh dengan makanan. Makanan tidak pernah putus. Ayah pergi memancing untuk lauk kami sekeluarga dan saya tahu jenis-jenis ikan untuk masak apa yang sedap.

“Bukan itu sahaja, malah di sekeliling rumah kami dipenuhi dengan pelbagai tanaman untuk digunakan sebagai bahan masakan.

DARI kanan: TIGA beradik yang akrab dan nama mereka bermula dengan huruf ‘R’ – Rafizah, Raihani dan Rozita.

“Kami hidup berdikari dan bonda seorang wanita yang bijak sebab itu kawasan rumah kami bagaikan kebun bukan sahaja ada pokok durian malah segala bahan untuk memasak semua ada ditanam antaranya lengkuas, serai, daun limau purut, bunga kantan dan segala-galanya yang memudahkan kami untuk memasak. Itulah antara bahan penting untuk menghasilkan pes ini.

“Saya ke pasar hanya untuk membeli sayur-sayur yang tidak ada di kebun rumah kami.”

Menurut Rozita Ramelan, bondanya, Jaliah Mohamed (meninggal dunia ketika berusia 46 tahun pada 2003) adalah seorang isteri dan ibu yang pandai memasak. Bukan itu sahaja, malah beliau juga suka menonton program masakan dan menyalin di sebuah buku khas setiap resipi daripada cef-cef yang sering muncul di kaca televisyen.

“Setelah menyalin resipi berkenaan, bonda akan memasak untuk kami adik beradik. Tetapi yang pasti bonda adalah seorang yang kreatif kerana selalunya setelah masakan itu siap bonda akan rasa dahulu. Kemudian bonda mengolah resipi itu kombinasi resipi bonda dan moyang kemudian disesuaikan dengan menambah bahan-bahan pilihannya dari kebun rumah kami untuk menjadikan masakan tersebut enak dimakan.

“Bonda selalu ingatkan kami sebagai perempuan kami mesti pandai memasak. Resipi yang bonda dapat melalui program masakan disalin dengan kemas siap ditulis mukasurat.

“Bonda selalu beritahu buku resipi itu adalah harta yang tidak ternilai buat saya dan sememangnya buku resipi peninggalan arwah bonda memberi inapirasi kepada saya menghasilkan pes Ratu Tumis.

“Ratu Tumis mempunyai nilai sentimental yang tersendiri buat saya. Tanpa buku resipi kreatif bonda mungkin Ratu Tumis tidak ada. Syukur alhamdulillah dan terima kasih Bonda,” kata Rozita Ramelan dalam nada yang amat perlahan.

DARI kiri: Pes Ratu Tumis Gulai, Sup, Sambal dan Asam Pedas.

Beliau memberitahu untuk menghasilkan Ratu Tumis tidak semudah membilang satu, dua dan tiga kerana beliau mengambil masa setahun untuk memastikan ianya tahan lebih lama.

“Sebelum itu apabila dihasilkan Ratu Tumis hanya tahan tiga bulan. Hampir setahun saya menjalankan kajian untuk mendapatkan formula agar boleh bertahan setahun.

“Alhamdulillah…setelah melakukan beberapa pengubahsuaian dari segi packaging, family testing dan public testing barulah ia memasukki kilang bagi proses ‘menerbitkannya’ untuk memasuki pasaran,” jelas Rozita Ramelan.

DARI kanan: Pengacara majlis, Syed Wafa dengan bakat dan kebolehannya telah memeriahkan sepanjang acara majlis pelancaran Ratu Tumis yang berlangsung di Restoran Rebung, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Amy Mastura (pengacara undangan) Rozita Ramelan dan Cef jemputan, Datuk Ismail
Ahma.

Bagaimanapun katanya pelancaran Ratu Tumis yang dirancang pada tahun 2020 terpaksa ditangguhkan kerana negara dilanda pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipenalkan.

Biarpun PKP berlanjutan dalam waktu yang panjang namun ia sedikitpun tidak mematahkan semangat beliau kerana Ratu Tumis berjaya dan mendapat sambutan hangat melalui jualan online.

ROZITA Ramelan bersama artis veteran yang menjadi tetamu undangan, Aznah Hamid dan Siti Aishah (Margaret Gan) memasak sambal udang dengan menggunakan pes Ratu Tumis Sambal.

Menyentuh mengenai empat pes Ratu Tumis yang kini boleh menghasilkan 400 resipi dalam waktu yang singkat dan telah memilikki Sijil Halal daripada JAKIM serta mendapat pengiktirafan di Anugerah Jenama Halal Asia 2019 bagi kategori Bahan Masakan Terbaik, Rozita Ramelan berharap ia dapat membantu para peniaga kecil dan suri rumah untuk menjana pendapatan walaupun kini Ratu Tumis boleh didapati di 41 outlet AEON, Sogo, Shoppee dan Lazada.

“Saya sedar akibat pandemik Covid-19 ianya banyak menjejaskan kehidupan masyarakat dan Rasa Rosz menawarkan kepada mereka untuk menjadi agen kami yang mana boleh menjana pendapatan antara RM168 sehingga RM40,000 sebulan.

“Berniaga produk makanan yang telah ada Sijil Halal mudah apalagi jika ia sedap pasti pembeli tidak ragu-ragu untuk terus membeli dan memberi sokongan.

“Citarasa orang di Malaysia dan Asia hampir sama. Mereka sukakan masakan yang mempunyai rasa masam dan semestinya pes asam pedas dan sup yang mengandungi halia dan bawang bukan sahaja mampu membangkitkan aroma yang menyelerakan malah ia memang sedap dimakan,” kata Rozita Ramelan penuh yakin.

Selain menceburi bidang perniagaan pes masakan, Rozita Ramelan juga mempunyai perniagaan hartanah, syarikat kapal layar, perniagaan batu permata mewah dan Kabinet Prive yang menjual barangan mewah.

Mengenai rancangan masa depannya, Rozita Ramelan memberitahu;

“Insyaa-Allah saya akan menerbitkan buku resipi “Ratu Tumis,” E-Recipe Book dan Rosz IGNITE sebuah platfom motivasi untuk memperkasakan kaum wanita dalam bidang perniagaan.”

– BebasNews

Leave a Reply