MATLAMAT tiga mata tercapai, tiket pusingan akhir 2023 dihampiri dan 21,591 penyokong Ultras Malaya bergembira!
Skuad bola sepak negara melakukannya di Stadium Nasional, Bukit Jalil dalam pertembungan Kumpulan E pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia, malam tadi.
Rembatan kaki kiri Safawi Rasid diikuti penyudahan tenang Faisal Halim lantas dilengkapkan jaringan La’Vere Corbin-Ong pada minit ke-11, 16 dan 45+2 turut melonjakkan Harimau Malaya sebagai peneraju kumpulan ini.
Biarpun Turkmenistan yang digelar ‘Si Hijau’ merapatkan jurang gol menerusi Altymyrat Annadurdyyev, minit ke-38, kemaraan tuan rumah kendalian warga Korea Selatan, Kim Pan-gon ke puncak itu jelas sukar dibendung lagi.

Dipetik daripada siaran sebuah saluran TV, katanya: “Saya amat bangga dengan semua pemain kita dan Ultras Malaya. Kita berhak untuk menang dan berseronok bersama.
“Kita bermula dengan amat hebat menerusi dua gol. Tentang Bahrain (perlawanan Malaysia berikutnya, Sabtu ini), saya fikirkan kemudian,” katanya yang kini mengutip kemenangan keempat bersama Harimau Malaya sejak 23 Mac lalu.
Langkah kanan tuan rumah dibuat Safawi yang merembat masuk selepas percubaan Arif Aiman Hanapi ditampan penjaga gol pelawat, Mammet Orazmuhammedov.
Faisal atau digelar Mickey, melebarkan kedudukan 2-0 selepas menyambar bola daripada kawalan Abdy Bashimov dan Corbin menyudahi larian solonya sejauh lebih 30 meter dari tengah untuk merembat gol terakhir Malaysia.

Kesilapan individu menggamamkan seketika skuad Pan-gon dan Ultras Malaya apabila Altymyrat Annadurdyyev meluru untuk menolak tampanan muntah penjaga gol negara, Farizal Marlias akibat tandukan ke gawang oleh bek tengah, Dion-Johan Cools pada minit ke-38.
Rakan bek tengah, Shahrul Saad pada mulanya cuai dalam mengawal bola sehingga dirampas oleh Elman Tagayev yang pantas membuat hantaran lambung sebelum cuba ditanduk keluar oleh Cools, pemain berdarah kacukan yang berpangkalan di Belgium.
Jika menang dengan Bahrain di ranking ke-89 dunia, Harimau Malaya sudah menjamin tiket pusingan akhir Piala Asia yang kali terakhir dikecapinya secara merit menerusi kelayakan pada 1980 di Kuwait.
Bahrain, pilihan utama Kumpulan E dan dikendalikan Helio Sousa dari Portugal, terdahulu menewaskan Bangladesh (ke-188) 2-0 hasil jaringan Ali Haram dan Ka

mil Al Aswad pada minit ke-34 dan 42.
MALAYSIA: Farizal Marlias, Dion-Johan Cools, Shahrul Saad, Matthew Davies, La’Vere Corbin-Ong, Nor Azam Azih (Safiq Rahim), Syamer Kutty Abba, Safawi Rasid (Junior Eldstal), Faisal Halim (Syafiq Ahmad), Arif Aiman Hanapi (Mohamadou Sumareh), Darren Lok (Guilherme de Paula).

Sementara itu, skuad Bawah 23 Tahun negara menamatkan kempen Kumpulan C Piala Asia Bawah 23 di Stadium Lokomotiv, Tashkent, Uzbekistan, malam tadi (waktu Malaysia) tanpa sebarang mata dan satu gol sagu hati sahaja.
Skuad Bradley Maloney ini tewas 2-0 kepada juara Sukan SEA 2022, Vietnam untuk kekal menghuni anak tangga corot kumpulan selepas turut dikalahkan Thailand 3-0 dan juara bertahan, Korea Selatan 4-1 pada Khamis dan Ahad lalu.

[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.