Foto via NotaSejarah.com

Sambungan dari SINI

Keadaan gerila Chin Peng bak seperti sandwic. Penempatan mereka di sempadan dihimpit oleh dua negara. Kedua-dua negara itu pula agresif memburu untuk memusnahkan mereka. Namun demikian, seperti sandwic masih ada intinya yang tiris. Sama juga gerila komunis. Mereka masih berjaya melepasi sempadan masuk ke Malaysia walaupun sepanjang sempadan negara di kawal oleh pasukan keselamatan. Tetapi kehadiran mereka tetap dapat dihidu oleh pasukan keselamatan yang sentiasa dalam keadaan siap siaga untuk menyambut kedatangan mereka dengan senjata terbuka. Bukan dengan tangan terbuka. Mereka terus diburu baik dalam hutan belantara mahu pun di bandar.

Hutan belantara tidak lagi mampu memberi perlindungan kepada mereka sepenuhnya. Mendapatkan sokongan kaum Orang Asli tidak lagi semudah yang difikirkan. Kerana pasukan keselamatan, khususnya  PDRM telah mengatur gerak anggotanya, Cawangan Khas (SB) dan Pasukan Polis Hutan (PPH) di beberapa pos dalam kawasan Op Bamboo. Satu-satunya operasi yang diwarisi daripada British dan berterusan selama 38 tahun. Operasi tersebut  telah  dilancar pada Oktober 1959[1] semasa darurat (1948-1960) dan berakhir pada 1997.[2] Kawasan operasi ini merangkumi dari permulaan Sungai Perak di sempadan Malaysia-Thailand hingga Kuala Kangsar/Sungai Siput (Utara) dan ke sempadan Perak–Kelantan.

Lokasi beberapa kubu dan pos tertentu di Kawasan Op Bamboo. Sumber: A. Navaratnam. (2001). The Spear And The Kerambit.

Mengapa British dan disusuli negara memberi perhatian serius terhadap kawasan pedalaman yang dihuni oleh kaum Orang Asli? Apakah signifikannya?

Kerana tindakan agresif pasukan keselamatan semenjak era darurat telah memaksa pengkhianat negara  mencari perlindungan di kawasan pedalaman. Ketika berada di kawasan pedalaman ini, mereka telah mengambil kesempatan untuk mengeksploitasi Orang Asli supaya membantu mereka mendapatkan makanan, ubat-ubatan dan maklumat mengenai pergerakan pasukan keselamatan. Selain itu, mereka merekrut Orang Asli untuk diberi latihan ketenteraan supaya kaum ini boleh menyertai pasukan dari kalangan mereka dengan tujuan menentang kerajaan. Bagi mendapat sokong mereka, petualang negara telah mewujudkan satu unit khas yang diberi gelaran Kumpulan ASAL (ASAL Group) yang memberi makna bahawa komunis mengiktiraf Orang Asli sebagai penghuni asal Tanah Melayu, bukannya sebagai hamba.  Namun objektif sebenar penubuhan kumpulan ini adalah untuk mewujudkan tenaga kerja sebagai porter dan gerila untuk berjuang bersama pengganas komunis.  Di samping itu, kaum ini juga dijadikan  sebagai skrin radar di penempatan musuh.

Keadaan ini membimbangkan ‘supremo’ di Malaya, Jen Sir Gerald Templer selaku Pesuruhjaya Tinggi merangkap Pengarah Operasi (Januari 1952-Mei 1954). Beliau  akui faktor Orang Asli mampu menewas musuh dengan menyatakan: “Orang Asli adalah faktor penting semasa Darurat (The aborigines of Malaya was that they had become a vital factor in the Emergency.”).[3] Lantas beliau telah mengarah pembinaan beberapa kubu (fort) di kawasan penempatan Orang Asli yang dianggap paling sukar di dunia untuk diakses. Kubu-kubu tersebut dijadikan pangkalan untuk pasukan infantri dan PPH melancarkan operasi dan rondaan, selain mengawal kegiatan Orang Asli.

Apakah strategi  Jen Gerald Templer? Bagi  memenangi hati dan pemikiran (heart and mind) dalam agenda Perang Saraf atau Perang Psikologi (Psychological Warfare). Di samping itu, beliau telah mewujudkan Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Services) dan Hospital Orang Asli Gombak.

Bersambung…In syaa Allah.

 [1]           Jackson, Robert. (1991). The Malayan Emergency & Indonesian Confrontations: The Commonwealth’s Wars 1948-1966. South Yorkshire: Pen & Sword, hlm. 63. Penulis mencatatkan PK telah melancarkan Op Bamboo di sempadan Kedah-Thailand pada Oktober 1959; juga Kertas kerja oleh Ruslan Iskandar Carey, Paper: Operation Bamboo And Trans-Malayan/Thai Border Problem, (Secret), Senoi Pra’aq, 11.6.1963, hlm. 1. Ruslan adalah Pesuruhjaya Jabatan Orang Asli ketiga menggantikan R.O.D. Noone. Beliau mencatatkan bahawa Op Bamboo dilancarkan pada lewat 1959.

[2]           Dokumen Sejarah Operasi-Operasi PPH/PGA Briged Utara (Ops Bamboo)-(PR)85/9/1/37, tanpa tarikh, hlm. 6, mencatatkan operasi in berakhir pada 19 Disember 1997.

[3]           Holman, Dennis. (1959). Noone Of The Ulu. UK: Travel Book Club, hlm. ix.

— BebasNews

Leave a Reply