“HARI ini saya lihat pemain-pemain Malaysia seperti harimau sebenar.
“Saya minta sesuatu tetapi mereka berikan tiga kali ganda atau 120 peratus. Saya bangga dengan Harimau Malaya. Terima kasih kepada Ultras Malaya (para penyokong setia pasukan). Apa yang mereka buat itu hebat!”
Ulasan jujur ini datang daripada mulut ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon dalam sidang media selepas anak-anak buahnya ‘membaham’ Turkmenistan 3-1 dalam saingan Kumpulan E pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia, semalam.
Warga Korea Selatan ini menambah, “para pemain kita telah berikan tenaga, minat, emosi dan semangat juang yang membanggakan rakyat Malaysia.
“Saya lihat semua orang gembira dan saya amat gembira,” katanya selepas kemenangan terhadap ‘Si Hijau’ yang menghuni ranking ke-134 dunia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, berbanding tuan rumah, 154.

Akui Pan-gon, barisan penolong jurulatih dan pasukan teknikalnya turut menyokongnya dengan rancangan rapi dan memberinya laporan analisis yang baik dan tepat dalam mencapai tiga mata berharga di hadapan 21,591 hadirin itu.
“Biarpun dengan pelan yang rapi itu, jika tanpa minat, semangat juang dan kerjasama, sukar memperoleh kejayaan ini. Saya tidak boleh jelaskan semua taktik tetapi saya melihat semangat semua pemain kita.
“Ini kejohanan, kadangkala kita kena perlahankan rentak permainan dan ada masanya kena agresif,” ulasnya mengenai kemenangan keempatnya ini bersama Harimau Malaya selepas menewaskan Filipina 2-0 (23 Mac lalu), Brunei 4-0 (27 Mei lalu) dan Hong Kong 2-0 (1 Jun lalu).

Mengenai gol tunggal ‘hadiah’ kepada Turkmenistan gara-gara kecuaian Shahrul Saad dan tandukan Dion-Johan Cools yang menyukarkan rakan penjaga gol, Farizal Marlias, katanya, “sudah tentu kita manusia boleh buat kesilapan tetapi ini sebahagian permainan.
“Mereka cepat pulih selepas itu yang turut membanggakan saya. Kadangkala apabila kita buat kesilapan, kita tanggung padahnya (namun) anda boleh lihat reaksi pemain, mereka bangkit dengan gagah, menangkis dan maju. Pemikiran inilah yang kita perlukan.
“Saya tidak kira satu kesilapan itu. Secara amnya kami berhak menang dengan kecintaan pemain,” katanya sambil enggan mengulas mengapa Darren Lok yang terlepas satu peluang keemasan gol awal babak pertama, diturunkan dan bukannya Syafiq Ahmad dalam kesebelasan utama.
Rembatan kaki kiri Safawi Rasid diikuti penyudahan tenang Faisal Halim lantas dilengkapkan jaringan La’Vere Corbin-Ong pada minit ke-11, 16 dan 45+2 turut melonjakkan Harimau Malaya sebagai peneraju kumpulan ini.

Mengenai Bahrain yang bakal ditentang Malaysia, Sabtu ini, kata Pan-gon, “praktikalnya mereka di ranking ke-89 dunia. Kami perlu dekati lawan ini dengan bijak kerana mahu dapatkan mata dan mencapai sasaran layak (ke pusingan akhir Piala Asia 2023).
“Setiap perlawanan, pendekatan kami sama, mahu cuba kuasai dan kawal perlawanan. Saya tidak tahu dan tidak mahu fikir apa yang tidak muncul lagi (kemungkinan jika gagal).
“Mungkin kami cuba raih satu atau tiga mata, siapa tahu ada kejutan. Seperkara yang pasti, kami bukan pasukan mudah tetapi yang akan menyukarkan mereka (Bahrain),” katanya.
Bahrain yang mengalahkan Bangladesh di stadium sama, petang semalam, menewaskan Malaysia 2-0 dalam persahabatan tahap 1 antarabangsa di Riffa pada 28 Mei tahun lalu, menjelang pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai.


[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.