Patriotisme - Foto via thepatriots.asia
DR. Amerjit Singh A/L S. Bhag Singh
Oleh
Dr. Amerjit Singh A/L S. Bhag Singh
Pengarah
Bahagian Media dan komunikasi Korporat
Jabatan Penerangan Malaysia

MASIH segar-bugar dalam ingatan kita  perihal peristiwa Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada 11 Februari 2013. Tragedi  tersebut menyaksikan pencerobohan pengganas bersenjata dari Selatan Filipina di mana beberapa orang perwira negara kita terkorban dalam Operasi Daulat ketika itu. Sesungguhnya, episod ngeri ini tidak dapat dijarak-pisahkan dalam kehidupan seharian kita lantas merupakan pembuka mata mengenai betapa pentingnya kita sama-sama mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara kita.

Apakah sebenarnya patriotisme? Patriotisme bukan semata-mata simbolik. Patriotisme bukan semata-mata luahan perasaan. Patriotisme bukan semata-mata berdiri tegak. Patriotisme bukan sekadar ungkapan di bibir sahaja. Sebaliknya, patriotisme merangkumi keberanian, keyakinan serta jati diri yang utuh lagi kukuh terhadap bangsa dan  negara. Patriotisme merangkumi usaha menghayati nilai-nilai murni demi kemakmuran negara. Individu yang patriotik ialah individu yang sedia berkorban untuk bangsa dan negara, lantas sanggup mempertahankan kedaulatan negara. Justeru, tidak dapat disangkal bahawa semangat patriotisme memainkan peranan yang sangat penting dalam diri rakyat Malaysia agar negara tercinta ini sentiasa aman-damai, harmoni dan sejahtera.

Dewasa ini timbul kebimbangan bahawa semangat partiotisme nampak kurang penghayatan, khususnya dalam kalangan generasi muda.. Mereka nampaknya kurang menitiberatkan semangat patriotisme. Remaja menyaksikan fenomena fata morgana dan mereka disilau kemilau dunia. Mereka dikhabarkan terlalu sibuk dengan kepentingan kerjaya mereka lantas kurang memberi sambutan terhadap kempen-kempen hari kebangsaan yang diadakan. Hakikatnya,walau apa jua fakor atau alasan yang dilontarkan, nescaya kita tidak boleh berpeluk tubuh dan membiarkan semangat patriotisme ini luntur. Apatah lagi, golongan remaja bakal mendukung halatuju dan masa depan negara. Oleh hal yang demikian, kita semua bertanggungjawab melakukan pelbagai usaha dan inisiatif  untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.

Benar kata pepatah, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Justeru,  salah satu kaedah menyuntik semangat patriotik adalah semenjak dari bangku sekolah lagi. Rangkaian aktiviti patriotik di sekolah, lebih-lebih lagi  sepanjang bulan kemerdekaan, seperti pertandingan trivia, deklamasi sajak, nyanyian dan pertandingan hiasan adalah beberapa inisiatif yang boleh dianjurkan untuk merangsang minat remajar dan menggalakkan semangat perpaduan yang lebih erat.

Untuk memperkukuhkan lagi usaha meningkatkan semangat patriotisme, belia dan mahasiswa di institusi pengajian tinggi diberikan peluang untuk berjumpa dengan pemimpin negara dan tokoh dalam pelbagai bidang. Program dan sesi libaturus sebegini dapat meningkatkan daya juang remaja demi negara dan mampu memberikan motivasi untuk terus mencapai kejayaan dan matlamat dalam kehidupan.

Aktiviti percutian seperti melawat tempat bersejarah bersama ahli keluarga juga merupakan cara untuk menyuntik semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Inisiatif ini dilakukan dengan mempromosikan tempat-tempat percutian yang mempunyai sejarah dan cerita mengenai tokoh-tokoh yang berjasa di negara dengan mengaitkan kehidupan masyarakat pada masa lalu dan kini. Promosi tersebut boleh dilakukan melalui segmen video berkonsepkan trivia sejarah di aplikasi media sosial untuk lebih lagi menarik masyarakat menghayati sejarah tanah air kita. Ini pasti akan menanam rasa hormat dan rasa cinta akan negara disebabkan pengorbanan yang dilakukan telah menjadikan negara menjadi sebuah negara yang aman dan makmur.

Penganjuran program yang dipenuhi dengan aktiviti yang memupuk semangat patriotik seperti kawad kaki dan latihan berkumpulan juga boleh disertai oleh generasi masa kini. Program ini adalah gabungan latihan ketenteraan dan memupuk semangat patriotik dan kesepunyaan dalam masyarakat. Menerusi program-programs seumpama ini , generasi muda dapat mempelajari nilai-nilai murni seperti tanggungjawab, saling kerjasama dan hormat-menghormati antara satu sama lain iaitu mereka akan berkumpul berbilang kaum, budaya dan agama yang berbeza. Hal ini akan membentuk semangat perpaduan dalam diri yang merupakan elemen yang penting dalam semangat patriotik. Selain itu, program ini akan melahirkan generasi yang mengetahui hal kenegaraan berkaitan dengan kedaulatan negara.

Selain itu, program memakai pakaian tradisional dalam kalangan masyarakat merupakan usaha untuk memupuk semangat patriotik. Hal ini membolehkan masyarakat untuk mengenali pelbagai budaya dan etnik yang ada di negara. Ini juga akan melahirkan perasaan cinta dan menghargai budaya kaum lain. Program nyanyian, mencipta lagu patriotik dan tayangan video khas kisah tokoh pejuang kemerdekaan dan peranan petugas barisan hadapan boleh dijalankan kerana mampu untuk menyemarakkan  semangat cinta dan bangga kepada negara.

Di samping itu, kempen penghayatan Rukun Negara perlu dipergiatkan dalam kalangan masyarakat. Ini kerana jika dilihat masih ada segelintir yang tidak mengetahui 5 Prinsip Rukun Negara jika ditemu bual. Oleh itu, melalui kempen penghayatan ini membolehkan rakyat lebih memahami, mempraktikkan dan menerapkan semua prinsip tersebut dalam kehidupan. Ia boleh dilakukan melalui program temu bual di televisyen atau radio.

Dalam pada itu, program sukan adalah platform terbaik memangkin semangat patriotisme dan melentur semangat kekitaan tanpa mengira latar belakang, agama serta keturunan. Jika dilihat kini anak muda ataupun masyarakat kini lebih gemar bermain gajet yang menjadikan masyarakat kurang bergaul. Oleh itu, galakan dalam penyertaan ramai dan berbilang etnik dalam program-program sukan seperti senam robik, sukan larian, berbasikal dan sukan rakyat boleh mewujudkan sebuah negara yang berbudaya sukan, malah kelangsungannya adalah untuk melahirkan masyarakat yang sihat, cergas, patriotik dan bersatu-padu.

Kempen hari kebangsaan secara besar-besaran melalui pelbagai platform media sosial umpamanya, Facebook, Twitter, IG, dan Tiktok juga merupakan usaha yang penting dalam menggelorakan lagi semangat patriotisme. Promosi kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik, seperti yang acap kali dianjurkan, antara lain, oleh Jabatan Penerangan Malaysia ini akan meningkatkan kesedaran betapa pentingya semangat patriotisme dipupuk dalam kalangan masyarakat. Media elektronik menerusi kaca televisyen dan corong-corong radio haruslah menyiarkan lagu-lagu patriotik, rancangan atau program seperti dokumentari, rencana atau filem mengenai pejuang kemerdekaan negara. yang boleh meningkatkan lagi semangat juang dan patriotisme rakyat. Selain itu, pembingkaian naratif dalam papan-papan iklan, banner dan e- bunting di tempat-tempat yang strategik turut boleh memberi ketampakan yang jelas dalam usaha mempromosikan kempen hari kebangsaan.

Kesimpulannya, usaha-usaha meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat haruslah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk membina nilai persefahaman dan penyatuan antara kaum serta menjadikan pemacu kepada kemajuan negara selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

— BebasNews

Leave a Reply