Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Jawa

KUALA LUMPUR — Sekolah Amanah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Jawa di Klang, Selangor tercalon bagi kategori ‘Menangani Cabaran’ bagi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia.

Sebuah Sekolah Amanah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang di Kuantan, Pahang tercalon bagi kategori ‘Inovasi’.

Pengasas T4 Education dan Anugerah Sekolah Terbaik Dunia, Vikas Pota berkata, dua Sekolah Amanah Malaysia tersebut disenarai pendek sebagai 10 teratas bagi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia.

“Anugerah yang dilancarkan pada tahun ini dengan kerjasama Yayasan Hasanah, Templeton World Charity Foundation, Accenture dan American Express itu menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai ASD250,000.

“Tiga finalis terbaik akan dipilih untuk setiap lima kategori Anugerah Sekolah Terbaik Dunia iaitu Kolaborasi Komuniti, Tindakan Alam Sekitar, Inovasi, Menangani Cabaran dan Menyokong Kehidupan Sihat,”jelas kenyataan tersebut hari ini.

Katanya lagi, pemenang bagi setiap kategori yang akan diumum pada Minggu Pendidikan Dunia, 16 hingga 21 Oktober depan akan menerima ASD50,000.

Mengulas lanjut, Vikas Pota berkata sekolah yang disenarai pendek tersebut dipilih menerusi penceritaan kisah-kisah inspirasi sekolah yang mengubah kehidupan murid, membawa perubahan sebenar kepada komuniti serta menjadi sekolah contoh kepada orang ramai.

“Saya ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada SK Kempadang dan SMK Kampong Jawa atas kejayaan disenarai pendek dalam 10 teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia yang julung kali diadakan. Kini, para pendidik di seluruh dunia akan dapat belajar daripada sekolah-sekolah Malaysia yang cemerlang ini,” katanya. — BebasNews

Leave a Reply