- BebasNews

PUTRAJAYA — Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (ANGKASA) menceburi bidang penternakan ayam sebagai menjamin sekuriti makanan negara.

Kedua-dua pertubuhan masing-masing mempunyai seramai sejuta dan tujuh juta ahli melalui 14,835 koperasi diyakini dapat membantu kerajaan menangani masalah kenaikan harga ayam dan bekalan makanan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kedua-dua organisasi itu akan terlibat dalam ekosistem penternakan yang menyeluruh bermula dengan anak ayam hinggalah pengedaran bekalan kepada pengguna.

“NAFAS menyasarkan untuk menguasai 20 peratus pasaran dengan pengeluaran sebanyak 144 juta ekor setahun manakala ANGKASA sebanyak 30 juta ekor setahun.

“Kerajaan menyambut baik inisiatif tersebut selaras dengan saranan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang mahukan kerjasama awam dan swasta diperkukuh bagi meningkatkan hasil pertanian khususnya industri ternakan ayam,” kata Ismail Sabri dalam kenyataannya di sini hari ini.

Perdana Menteri sebelum itu, mengadakan pertemuan dengan Ahli Jemaah Pengarah Nafas dan Anggota Lembaga Angkasa yang berkunjung ke pejabatnya bagi membincangkan mengenai langkah-langkah menjamin sekuriti makanan negara.

Ismail menambah, kedua-dua pihak juga akan lebih proaktif dalam industri penanaman jagung bijirin bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bahan mentah untuk makanan ayam.

“Bagi tujuan itu, NAFAS mengenal pasti kawasan seluas 12,140 hektar di Kelantan dan Terengganu yang sebelum ini ditanam dengan tanaman tembakau untuk tanaman jagung bijirin.

“ANGKASA pula mengenal pasti kawasan seluas 4,000 hektar tanah di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

“Setiap hektar mampu mengeluarkan lima tan jagung bijirin dan menampung 20 peratus daripada keperluan import bijirin berkenaan dalam tempoh lima tahun ini. Usaha kedua-dua organisasi ini diyakini dapat membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap jagung bijirin bagi kegunaan makanan ayam,” tambah Perdana Menteri.

— BebasNews

Leave a Reply