Tun Arshad Ayub

SALAH seorang pelajar Institut Teknologi MARA pertengahan 1970an kursus Diploma Pentadbiran Awam, serta rakan sekolah saya dari Sekolah Penang Free menghantar mesej apakah saya akan menulis mengenai kepergian Tun Arshad Ayub? Jawapan saya adalah “ya,” lalu mengucapkan terima kasih atas ingatan tersebut.

Beliau kemudian terus mengingatkan kepada satu peristiwa antara beberapa ahli politik dan Arshad. Dalam cerita tersebut, Arshad telah disoal oleh beberapa orang ahli politik kenapa Institiut Teknologi MARA masih menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran, sedangkan universiti awam lain sekurang-kurangnya mengikuti dasar penggunaan bahasa Melayu. Jawapan beliau ialah “saya di sini untuk menyelamatkan bangsa Melayu, bukan Bahasa Melayu.” Ramai di kalangan pejuang Bahasa Melayu melenting mendengar pendiriannya itu.

Dalam hal ITM, seterusnya penglibatan dalam pengajian tinggi dan pentadbiran awam, Arshad seorang tokoh dan pengawai awam yang berani, beriltizam tinggi, pragmatik, percaya kepada visinya. Mereka yang pernah bekerja bersamanya akan melihatkan beliau amat cermat, dan beramanah.

Saya telah beberapa kali menulis mengenai beliau dalam majalah, suratkhabar dan dalam bab buku. Biografi yang saya maksudkan bertajuk Arshad Ayub: Menanam Pokok Tempat Berteduh, terbitan Universiti Malaya tahun 2018. Tulisan saya yang terakhir sebelum ini merujuk kepada peluncuran biografinya oleh Sultan Perak. Dalam majlis tahun 2020 itu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah bertitah mengenai pendekatan tokoh tersebut dalam membina dan menerajui Institut Teknologi MARA (ITM) sebagai ‘serapah hikmah’.

Pendekatan yang diamalkan Arshad disifatkan memiliki imuniti daripada tohmahan, selaran dan kritikan pejuang dan pencinta bahasa, sama ada dalam kalangan individu mahu pun pertubuhan Melayu. Ini ialah susulan pendekatan Arshad menetapkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di ITM. Arshad menongkah arus.

Sultan Nazrin bertitah, status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terus didaulatkan dan sama sekali tidak dikompromikan dalam majlis dan urusan rasmi di ITM dan UiTM, pada setiap masa.

Saya mula mengenali Arshad sebagai tokoh yang telah merobah sikap dan pemikiran orang-orang Melayu. Kita terlupa. Arshad adalah bapa kemerdekaan Melayu pasca 1970an, dalam memulakan inisiatif ‘social re-engineering’ yang terbesar melalui pendidikan, yang tidak tercabar sehingga ke hari ini.

Arshad adalah pemecah paradigma dan prejudis. Ramai yang terlepas pandang bahawa Arshadlah yang memperkenalkan pendidikan sains sosial di Malaysia. Beliau bukanlah orang yang terawal memperkenalkan “pendidikan profesional” di Malaysia. Pendidikan seperti itu telah wujud melalui kolej-kolej swasta. Orang Melayu tidak mampu dan tidak wujud dasar awam pada masa itu terhadap pendidikan professional. Jadi Arshad memindahkan penekanan pendidikan professional itu ke dalam wawasan dan gagasan ITM.

Pendidikan sains sosial ialah apabila Arshad meminjam dan menyesuaikan sistem pendidikan tinggi Amerika Syarikat, dengan sendirinya, beliau memperkenalkan konsep dan pembelajaran ‘Liberal Arts’ dan ilmu kemanusiaan.

Misalnya, lawatan Arshad ke Ohio University di Athen, Ohio pada 23 Jun 1970, amat signifikan kepada kursus komunikasi massa dan kewartawanan di ITM. Dari situlah lahirnya apa yang mula dikenali sebagai pengajian Sebaran Am di Malaysia. Silibus asal berdasarkan kepada bahasa, “Liberal Arts” dan pengkhususan profesional. Hasratnya memulakan kursus kewartawanan di Malaysia tercetus sebelum itu, dalam pertengahan dekad 1960an. Ini jauh lebih lama sebelum beliau melawat College of Communication dan School of Journalismnya di Ohio University.

Bapa intelektual graduan komunikasi massa dan kewartawanan UiTM ialah Tun Arshad Ayub. Tahun ini ialah tahun ke 50 penubuhan sekolah komunikasi massa di UiTM. Semasa saya menjalankan penelitian mengenai permulaan pendidikan kewartawanan di Malaysia beberapa tahun lalu, saya dapati banyak bahan berkaitan disimpan di arkib ITM.

Antaranya ialah beberapa laporan mencadang pendidikan kewartawanan dan komunikasi massa, dan jurnal ITM Quarterly yang membincangkan beberapa tema berkaitan pendidikan tinggi, peranan ahli akademik, bahasa dan kebebasan bersuara. Dalam Jilid 2, isu 1-3, tahun 1970 jurnal tersebut, Arshad membincangkan mengenai masa depan Malaysia melalui pendidikan adab dan nilai. Tajuk makalah beliau ialah “Intellectuals and the Future of Malaysia” (Intelektual dan Masa Depan Malaysia).

Saya pernah menganggotai satu panel dengan beliau mengenai topik pendidikan di Malaysia. Dalam perbincangan tersebut, kita dapat lihat bahawa Arshad adalah orang yang mempercayai kepada kebaikan bersama (The collective good). Dan seolah-olah mencerminkan peranan beliau selama beberapa dekad dalam membina ITM, beliau menegaskan bahawa kepimpinan pendidikan bukannya usaha seorang. Ia merangkumi kepimpinan politik, kepimpinan akademik dan kepimpinan perniagaan. Dalam ungkapan beliau “…political leadership, academic leadership and business leadership.” Inilah yang nampaknya wujud dalam diri Arshad semasa ditugaskan oleh Tun Razak.

Dalam panel itu, Arshad mengakhiri perbincangannya dengan merujuk kepada buku Tenas Effendy bertajuk Pemimpin dalam Ungkapan Melayu. “Siapakah pemimpin?” tanya beliau meminjam soalan itu dari Pak Tenas. Lantas Arshad menyatakan bahawa:

Pemimpin lazimnya disebut orang yang dituakan oleh kaum dan bangsanya. Pemimpin hendaklah dekat dengan umatnya sebagaimana tercermin dalam ungkapan yang didahulukan selangkah, yang ditinggikan hanya seranting, yang dilebihkan serambut dan yang dimuliakan sekuku.

Beliau menjelaskan ungkapan tersebut dengan tegas menunjukkan kaitan antara pemimpin dengan umatnya, mereka yang dipimpin jaraknya hanya sekadar “didahulukan selangkah” – “ditinggikan seranting,” “sehingga mudah dilangkau atau dihubungi.” Bahkan dalam ungkapan adat yang lain di tegaskan lagi: (1) “Jauhnya tidak berjarak, dekatnya tidak berantara dengan demikian akan terjamin hubungan dengan akrab dan pemimpin dengan umatnya” (2) Yang dinomborkan keakraban dan persebatian sebagaimana yang disebutkan dalam ungkapan; bagaikan aur dengan tebing, bagaikan kuku dengan isi, bagaikan mata putih dengan mata hitam yang diberikan kepercayaan; (3)”yang diberikan kepercayaan, kuasa, beban yang berat, tanggungjawab; yang diikat janji, sumpah dan amanah.

Ungkapan-ungkapan tersebut menunjukkan bahawa seorang pemimpin ialah orang yang diberi kepercayaan dan kekuasaan penuh oleh umatnya agar dia mampu melaksanakan tugas beratnya untuk mensejahterakan umatnya. Seorang pemimpin juga perlu menjamin bahawa kepimpinannya tidak berlaku sewenang-wenangnya. Dan seterusnya dia diminta untuk berjanji dan bersumpah serta disimpan dengan beragam petua dan amanah yang wajib.

Tanpa kepimpinan yang sebegitu, tidak akan ada pemecahan paradigma. Beliau membuka ruang budi. Malah, Arshad meluaskan maksud budi kepada sentimen orang Melayu. Dan dengan itu, merobah identiti dan nilai.

Dalam salah satu ucapan beberapa tahun lalu, beliau menegaskan bahawa pendidikan bukan sebuah hakcipta khas sesebuah organisasi. Ia tidak ada sempadan, Dan inilah falsafah Arshad dalam memimpin ITM pada masa itu. Katanya, bagaimana dan caranya itu terletak kepada saya.” Itulah kepercayaan Tun Razak kepada beliau.

Dalam jiwa beliau, dibawanya kepercayaan dan visi untuk masa depan orang-orang Melayu. Keadaan masa itu memerlukan kepintaran, keputusan dan tindakan yang pantas. Buat dulu, baru fikir – itulah nampaknya iltizam Arshad Beliau bukan saja seorang strategis. Beliau juga seorang pemikir. Dalam dalam keadaan yang dilaluinya, dicantumkan strategi dan pemikiran, seperti pantun Melayu yang mengandungi bayangan dan maksud pada masa yang sama.

Tahun lalu dalam sebuah siri syarahan Universiti Islam Antarbangsa, saya bertindak sebagai moderator untuk “Murrabi Talk Series” yang disampaikan oleh Arshad. Diakhir majlis itu, saya bertanya kepada beliau, apakah masa depan UiTM. Jawapan beliau, UiTM mesti berfikir jauh hingga 50 tahun ke hadapan. Salah satu gesaan beliau, dan ini bukan pertama kali dilontarkan, ialah Universiti itu menerima pelajar-pelajar bukan Melayu; secara berperingkat; dan bermula dengan pengajian pasca siswazah. Itu tahun 2015.

Apakah masyarakat Melayu masih memerlukan tongkat? Menurut laras pemikiran dan sentiment beliau, Melayu mesti bersedia tidak bertongkat. Mungkin juga kita boleh fikirkan mengubah nama UiTM kepada Universiti Arshad Ayub. Al-fatihah.

— BebasNews

Leave a Reply